Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

ITULAH KERJA MEREKA, MEREKA DIARAHKAN

Oleh DR SYED HUSIN ALI 
Saya gembira kerana dapat menyertai perbahasan titah ucapan bagindaYang di-Pertuan Agong. Sebelum saya memulakannya, izinkan saya membuat sedikit komen tentang apa yang berlaku lebih awal. Sepanjang pagi tadi beberapa orang mengucap tahniah kerana kemenangan BN di Sarawak. Tiada salahnya ini, akan tetapi kurang enak didengar apabila pada masa sama diperkecilkan pula prestasi PAKATAN.


Seorang teman dari Umno bertanya saya: Syed, tidak mahu ucap tahniah ke? Saya tiada masalah mengucap Syabas. Akan tetapi, saya ingin mengingatkan bahawa kami berjaya meningkatkan bilangan kerusi yang dimenangi sekali ganda. Lebih penting lagi kami berjaya menurunkan 8 peratus undi yang diperolahi BN dari 63 ke 55 peratus. Benar BN mendapat lebih duapertiga kerusi, Akan tetapi ia gagal memperolehi dua-pertiga undi.
 
Ini berlaku walaupun Kerajaan Umno-Bn mengggunakan jentera Kerajaan, memperalat media electonik serta cetak, mengugut melalui SB, menabur wang dan seterusnya. Tidak habis-habis mereka gunakan isu fitnah sodomi dan video sex.
 
Saya teringat kepada sebuah tweet yang saya terima, berbunyi: Pakatan menang dengan maruah, Bn menang dengan rasuah. Ingatlah, Sarawak bukan lagi “fixed deposit” Bn.
 
Sekarang saya memulakan bahasan.
 A. Pertumbuhan Ekonomi dan Ketidaksaksamaan  
Sebuah laporan tentang Pertumbuhan Ekonomi oleh Commission on Growth and Development mengiktiraf Malaysia sebagai salah sebuah dari 13 buah negeri yang dapat mempertahan pertumbuhan selama 25 tahun. Pertumbuhan ini berjaya untuk menambah baik taraf atau kualiti hidup di negara ini.
 
Tidak dinafikan ini satu kejayaan. Akan tetapi perlu diingatkan dari segi pendapatan, Malaysia jauh tertinggal di belakang Singapura, Korea Selatan dan Taiwan
 
Perangkap Pendapatan Pertengahan: Ada dua masalah yang membimbangkan dan harus diatasi. Pertama, dari 13 buah negera ini cuma enam buah saja yang berjaya melangkah untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Malaysia gagal membuat langkahan ini. Ia masih terperangkap sebagai sebuah negara berpendapatan pertengahan (middle income trap).
 
Dalam perangkap ini Malaysia menghadapi pelbagai masalah. Seorang ahli ekonomi Dr Toh Kim Woon mengemukakan bahawa anataranya ialah:
 
i. Kekurangan kemahiran penting bagi transformasi ekonomi, terutama pekerja berpengetahuan tinggi dan pakar sains yang boleh menjalankan penyelidikan;
 
ii. Walaupun ada kumpulan berbakat yang terbatas, namun terdapat pelarian keluar sebilangan besar modal manusia; 
 
iii. Kumpulan berbakat ini perlu dibina, akan tetapi ini dipersulitkan oleh mutu pendidikan yang kian merosot dan peraturan serta amalan imigrasi yang tidak liberal;
 
iv. Kurang keyakinan bahawa Talent Corporation akan begitu berkesan untuk menyekat pelarian bakat yang ada, apatah lagi untuk menarik pulang yang berada di luar negara.  
 
Pemusatan Kekayaan: Yang kedua, biasanya pertumbuahan ekonomi diukur hanya dengan peningkatan pendapatan perkapita. Ia tidak mengambil kira jurang di antara pendapatan. Dalam keadaan seperti di Malaysia, kita dapati pertumbuhan juga mengakibatkan bertambah lebarnya jurang ketidaksamaan ekonomi.
 
Ini ialah kerana di Malaysia dan negara-negara lain sepertinya, falsafah ekonomi adalah  bertunjangkan pasaran bebas atau laissez faire, di mana peranan modal swasta adalah besar dan mendapat galakan sepenuhnya, Akibat dari falsafah dan amalan ekonomi ini pelebaran jurang sosio-ekonomi tidak akan dapat dibendung.
 
Apa yang sering berlaku dalam sistem ekonomi sedemikian rupa ialah proses pemusatan kekayaan (concentration of wealth) yang berlaku dengan rakus. Kekayaan negara atau negeri dibolot oleh sebilangan kecil orang, terutama mereka yang mempunyai kuasa politik bersama keluarga dan kroni mereka.
 
Segelintir dari golongan atasan mempunyai keistimewaan ini menjadi bertambah kaya, manakala sebaliknya sebilangan besar rakyat menjadi bertambah miskin. Memang benar,  statistik rasmi menunjukkan pendapatan di kalangan rakyat terbanyak semakin meningkat dan kadar kemiskinan mutlak menurun.
 
Akan tetapi kemiskinan relatif menjadi bertambah buruk akibat melebarnya jurang sosio-ekonomi. Ketidaksamaan semakin ketara. Ketidaksamaan ini boleh wujud berasaskan wilayah, kaum ataupun kelas sosial. Dalam jangka panjang trend dan implikasi dari kemiskinan relatif ini tidak kurang seriusnya dari kemiskinan mutlak.
 
Seperti yang kita ketahui angka-angka rasmi menunjukkan bahawa kira-kira 40 peratus dari rumah tangga (household) berpendapatan kurang dari Rm1500 sebulan. Seterusnya, dari keseluruhan jumlah pekerja dalam negara ini 34 peratus berpendapatan kurang dari Rm700 sebulan, iaitu di bawah garis kemiskinan.
 
Seperti yang berkali-kali saya tegaskan, lebih 70 peratus dari kedua-dua kategori yang berpendapatan rendah  ini terdiri dari orang Melayu/Bumiputera. Sebaliknya di antara mereka yang disenaraikan paling kaya sekali di negara ini terdapat hanya beberapa kerat saja Melayu/ Bumiputea. Itupun sebahagiannya merupakan keluarga atau kroni PM sekarang dan dulu. Sepuluh peratus dari mereka yang terkaya ini menguasai 40 peratus dari kekayaan negara.
 
Kemunduran/Kemiskinan Sabah Sarawak: Di Malaysia, antara dua buah negeri yang dianugerahkkan Allah dengan banyak sumber kekayaan ialah Sabah dan Sarawak. Berdasarkan kajiannya, Bank Dunia  mengeluarkan sebuah laporan yang menunjukkan bahawa bagi tahun 2010 Sabah merupakan negeri yang termiskin dalam negara ini. Mengikut laporan ini walaupun dengan usaha-usaha mengatasi kemiskinan yang wujud, tidak ada harapan keadaan ini akan berubah dalam beberapa tahun akan datang.
 
Beberapa hari selepas laporan ini diumumkan, Unit Perancangan Ekonomi Neger (EPU)i, di bawah Jabatan Ketua Menteri megeluarkan kenyataan, yang dilapor oleh Borneo Post pada 15 November 2010, menafikan laporan Bak Dunia itu. Mengikutnya, dengan usaha Kerajaan Pusat dan juga negeri  kemiskinan dapat diturunkan dari 24.2 peratus pada 1976 ke 16.4 peratus pada penghujung 2004.
 
Namun begitu Emmanuel Jimenez, WB’s Human Development Sector Director (East Asia and pacific Region}menegaskan, “Although efforts by the government have somewhat lessened poverty, it’s still not enough”.
 
Tegasnya, walaupun bilangan penduduk Sabah hanya 10 peratus dari penduduk seluruh Malaysia, namun ia mempunyai 40 peratus dari seluruh jumlah kemiskinan dalam negara. Ini berbanding dengan Selangor, yang mempunyai bilangan penduduk hampir suku dari seluruh negara, akan tetapi mempunyai hanya 10 peratus dari golongan miskin itu.
 
Masalah pemusatan kekayaan pada sebilangan kecil elit politik dan ekonomi kelihatan dengan menjolok sekali di Sarawak. Di sini, sebagaimana yang sudah menjadi skandal umum, Ketua Menteri yang berkuasa selama 30 tahun muncul sebagai salah seorang yang terkaya di Asia. Sekarang beliau terus berkuasa.
 
Beliau memiliki hampir 40 buah syarikat dan harta di merata dunia. Di dalam negeri Sabah sendiri, beliau menguasai syarikat yang mempunyai monololi ke atas banyak aset dan hampir semua kontrak pembinaan. Selain itu sudah didedahkan bahawa beliau serta anak pinak dan adik beradiknya merampas tanah-tanah adat atau membelinya dengan harga paling murah, kononnya untuk tujuan pembangunan.
 
Memang benar bahawa setelah berbelanja “berpuluh-puluh billion” seperti yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri, kadar kemiskinan sudah dapat diturunkan kepada kurang dari lima peratus. Akan tatapi dari segi penumpuan kekayaan dan jurang melebar di antara kaya-miskin, Sabah dan Sarawak merupakan contoh kemiskinan relatif amat parah.
 B. Universiti, Camputangan Politik dan SB 
Saya telah beberapa kali menimbulkan soal kemerosotoan mutu pendidikan di peringkat universiti. Oleh kerana kemerosotan ini semakin teruk, izinkanlah saya menegaskan semula hal ini. Salah satu sebab utamanya kemerosotan berlaku ialah campur tangan politik pemerintah yang semakin bertambah. Sekaligus autonomi universiti terjejas.
 
Perlantikan Naib Canselor, Dekan, Ketua Jabatan: Antara campur tangan itu ialah dalam perlantikan Naib Canselor dan secara lebih terbatas perlantikan Dekan, Ketua Jabatan dan Pendaftar. Biasanya Naib Canselor yang dilantik ialah mereka yang diketahui tidak pernah dan tidak akan menentang pemerintah dan dasarnya. Bahkan ada di antara Naib Canselor ini lebih Umno dari Umno berhubung kawalan dan sekatan ke atas kebebasan mahasiswa.
 
Pemilihan Naib Canselor tidak dilakukan oleh “search committee” yang bebas dan neutral. Kelayakan Naib Canselor yang dilantik tidak mengambil kira kebolehan dari segi pentadbiran universiti dan pencapaian dari segi akademik. Penerimaan dari segi politik lebih diutamakan.
 
Begitu juga Dekan dan Jabatan tidak lagi dipilih oleh kakitangan akademik. Bahkan mereka dilantik oleh Naib Canselor, yang memastikan lantikan mereka itu boleh diterima dari segi politik oleh pihak pemerintah, khususnya Menteri yang berkaitan. Sering berlaku mereka yang diangkat ini bukannya ahli akademik yang kanan dan dihormati.
 
Bahkan ahli-ahli Senat Universiti, iaitu badan tertinggi akademik, juga dibataskan kebanyakannya kepada profesor-profesor yang boleh diterima dari segi politik. Dahulu semua profesor layak menjadi ahli Senat. Profesor pula semakin kurang yang diangkat berdasarkan prestasi akademik mereka –  pengajaran,  penyelidikan dan penerbitan.
 
Kenaikan Pangkat Profesor: Lebih mudah Dekan dan Ketua Jabatan kurang kelayakan akademik yang diangkat menjadi Profesor atas dasar jawatan pentadbiran yang mereka pegang. Dengan cara begini Naib Canselor beserta Dekan sering boleh menentukan siapa akan menjadi Profesor melalui cara melantiknya sebagai pentadbir.
 
Akibatnya nilai akademik tidak dipandang tinggi. Ini boleh menjejas dorongan kakitangan untuk bekerja kuat dalam bidang akademik. Ada yang mengambil sikap tidak guna bekerja kuat dalam bidang akdemik kerana tidak dinaikkan pangkat juga. Mutu universiti akan merosot apabila ia tidak lagi menilai tinggi ilmu.
 
Kita dapati bahawa politik parti ataupun pemerintah semasa yang berkuasa bukan saja mempengaruhi perlantikan dalam bidang pentadbiran universiti. Bahkan kita dapati ada juga campur tangan politik dalam bidang akademik. Sebenarnya soal kenaikan pangkat ke professor harusnya merupakan exercise akademik. Sekarang tidak lagi.
 
Selain itu kita dapati hal-hal yang harus sepenuhnya terletak dalam bidang akademik juga sudah “diperkosa” oleh politik. Sebagai satu contoh, misalnya, tidak lama dulu Kerajaan membuat keputusan untuk memperkenalkan kurikulum pengajian hubungan ethnik. Pihak berkuasa mengarahkan apa yang seharusnya dilakukan.
 
Sehubungan ini Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa terdiri dari beberapa orang akademik untuk menentukan silabus dan menyiapkan buku panduannya. Ini dilakukan di bawah arahan  Kementrian. Silabus dan buku panduan disesuaikan mengikut kehendak pemerintah. Bahkan ada mata-mata pelajaran atau penyelidikan dibuat hanya mengikut arahan atau selera pemerintah melalui kementrian berkenaan.
 
Campurtangan SB: Ada satu aspek yang lebih bahaya dan teruk dari campur tangan politik pemerintah. Ini ialah berhubung campur tangan dari pihak Cawangan Khas ataupun SB. Pada satu masa dulu pelajar-pelajar hanya diterima masuk ke Universiti jikalau mendapat “suitability certificate” yang berasaskan laporan SB. Peraturan ini dilawan oleh mahasiswa dan akhirnya ditarik balik.
 
Sekarang ini diketahui bahawa seseorang pemohon untuk menjadi pensyarah akan ditapis (vet). Sebelum ia boleh diterima, namanya dirujuk kepada pihak keselamatan (biasanya SB) untuk dikaji dan dihalusi latar belakangnya. Hanya selepas dibersih atau diluluskan oleh pihak SB barulah tawaran jawatan dihantar kepadanya. Biasanya hubungan dan pendirian politik calon itupun boleh menjadi alasan menyekat perlantikan.
 
Bahkan lebih buruk lagi diketahui bahawa SB campur tangan dalam hal perlantikan Profesor Emeritus. Gelaran ini diberi kepada seseorang yang telah berkhidmat selama tempoh tertentu di sesebuah universiti selepas ia bersara, atas dasar sumbangan dan kecemerlangannya dalam bidang akademik.
 
Adalah diketahui bahawa ada kes di mana seorang bekas Profesor yang terkenal telah tidak jadi diberi gelaran Profesor Emeritus oleh sebuah Universiti ulung oleh kerana disekat oleh pihak SB. Badan-badan akademik dalam Universiti itu bersetuju mengaugerahkan gelaran ini kepada bekas Profesor berkenaan. Akan tetapi, apabila sampai ke peringkat Lembaga Universiti, campur tangan SB berlaku. Maka tidak jadilah gelaran itu dianugrah.
 
Mendaftar Ahli Umno dan Pengundi: Selain itu ada juga badan luar yang dibenar melakukan aktiviti dalam  universiti sungguhpun tidak ada kaitan dengan urusan akademik dan pentdbiran universiti itu. Misalnya, sebuah badan pelajar dari luar sebuah universiti, yang dipimpin oleh beberapa orang tokoh Umno, dibenarkan untuk mendaftar pelajar-pelajar menjadi ahli Umno. Kerja mendaftar ini dibuat di bawah pemerhatian pihak berkuasa universiti itu.
 
Selain itu, di univesiti yang sama, beberapa orang kakitangan SPR telah dibenarkan mendaftar pelajar sebagai pengundi, tanpa mengira umur mereka. Ini dilakukan di bawah pengawasan pihak univesiti dan kelas belajar ditangguhkan untuk memungkinkan proses pendaftaran itu dilakukan. Mengapakah pendaftaran pengundi dilakukan hanya di universiti ini? Untuk apa atau siapakah undi yang didaftar itu digunakan?
    C. Darurat, ISA dan Batang Kali 
Baru-baru ini di Dewan Rakyat wakil Lembah Pantai, Nurul Izzah mengemukakan resolusi untuk membincang Perisytiharan Undang-undang Darurat. Resolusi ini ditolak. Saya ingin menimbulkan perkara sama dalam Dewan mulia ini dari sudut lain.
 
Perisytiharan Darurat dan ISA: Sebelum Merdeka, pemimpin-pemimpin Umno berjanji akan memansuhkan Undang-undang Darurat yang diisytiharkan oleh penjajah Inggeris pada bulan Jun 1948 untuk memerangi gerila komunis. Akan tetapi janji ini tidak dipenuhi.
 
Selepas Merdeka Kerajaan Perikatan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman mengambil langkah untuk memperkenalkan ISA. Disangka ISA akan menggantikan Darurat. Akan tetapi tidak.
 
ISA dikuatkuasakan pada tahun 1960. Ia mempunyai kuasa yang sama dengan Undang-undang Darurat, iaitu menahan tanpa bicara dalam mahkamah. Bukan saja ISA dikuatkuasa bahkan Perisytiharan Darurat diteruskan juga. Tidak dimansuhkan.
 
Semasa rang undang-undang ISA dibincngkan dalam Parlimen, Tun Abdul Razak dan juga Tun Dr Ismail  bejanji bahawa ISA akan digunakan hanya ke atas komunis militan. Akan tetapi tidak lama selepas diluluskan, ISA digunakan untuk menahan tokoh-tokoh politik seperti Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin Helmy.
 
Yang anehnya, bukan saja Undang-undang Darurat 1948 diteruskan, bahkan selepasnya empat lagi Undang-undang Darurat diisytihar iaitu: Untuk seluruh negara pada September 1964 berhubung Konfrontasi Indonesia; Untuk Sarawak berkaitan krisis politik di sana pada tahun 1966; Untuk seMalaysia berhubung Peristiwa  13 Mei 1969; untuk Kelantan berikutan pengambil alihan kuasa oleh Pusat pada tahun 1977.
 
Darurat Rekod Dunia: Berhubung Undang-undang Darurat ini, Malaysia memegang dua rekod dunia. Sebenarnya rekod ini sangat memalukan dari segi politik dan demokrasi negara.
 
Pertama, dengan Perisytiharan 1948, Malaysia mempunyai undang-undang darurat yang paling lama sekali berkuatkuasa dalam dunia. Selepas kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan Algeria, negara-negara tersebut mengumumkan sudah atau akan memansuhkan Undang-undang Darurat masing-masing. Undang-undang mereka ini telah berkuatkuasa hanya antara 20 hingga 40 tahun saja. Kita lebih 60 tahun.
 
Kedua, boleh dikatakan di semua negara lain mereka mempunyai hanya satu saja perisytiharan Undang-undang Darurat. Akan tetapi, seperti disebut tadi negara Malaysia yang kecil dan belum begitu panjang sejarah kemerdekaannya memegang rekod dunia dengan mempunyai lima perisytiharan Darurat. Selama berapa lama lagikah kita hendak memegang rekod yang sangat memalukan ini?
 
Demi menegakkan demokrasi yang tulen di negara ini, Kerajaan UmnoBn hendaklah memansuhkan perisytiharan semua Undang-undang Darurat ini. Atau adakah kita hendak menunggu dulu sehingga rakyat bangkit beribu-ribu di jalanraya seperti di negara-negara Arab itu?
 
Mansuh ISA: Bahkan saya berpendapat bahawa ISA juga harus segera dimansuhkan. Undang-undang ini boleh dikatakan tidak relevan. Ia bertentangan dengan nilai agama yang tidak membenar seseorang itu dihukum tanpa dibicarakan; ia sekarang sering digunakan untuk menekan golongan politik dan golongan lain yang menentang kerajaan secara legitimate; tidak ada lagi ancaman dari komunis militan; dan ada kita-kira 30 undang-undng yang boleh digunakan bagi pendakwaan di mahkamah dengan tidak payah menggunakan ISA.
 
ISA ini juga, seperti Undang-undang Darurat, harus dimansuhkan. Tidak cukup hanya dengan meminda di sana sini. Tidak ada ertinya menampal sulam saja.
 
Pembunuhan di Batang Kali: Berkaitan dengan penguatkuasaan Undang-undang Darurat 1948, saya ingin merujuk kepada satu peristiwa zalim yang pernah dilakukan, iaitu Peristiwa Batang Kali. Pada 12 Disember 1948, seramai 24 orang lelaki dan perempuan dibunuh dengan kejam. Ada yang dipenggal kepalanya yang dipamerkan dalam sesetengah akhbar di luar negara. Rumah kediaman dan perkampung mereka di Batang Kali habis hangus dibakar.
 
Secara kebetulan mereka ini semuanya Cina dan dianggap sebagai komunis. Akan tetapi mereka terbukti hanya pekerja ladang biasa. Tiada apa senjatapun dijumpai pada badan, dalam rumah ataupun di kawasan mereka diami. Yang melakukan kezaliman ini ialah sebuah patrol 16 orang tentera British dari Scots Guard.
 
Pada tahun 1970 ada percubaan oleh Metropolitan Police di bawah seorang dari Scotland Yard bernama Detective Chief Superintendant Frank Willams untuk dihantar ke Malaysia bagi menyiasat perkara ini. Akan tetapi siasatan ini ditamatkan oleh Kerajaan Konservatif yang baru mengambil alih kuasa kerana tidak mahu sejarah hitam British ini didedahkan. Peristiwa ini sering disebut sebagai Mai Lai British. Mai Lai merujuk kepada kekejaman serupa yang dilakukan oleh tentera Amerika di Vietnam.
 
Seorang penulis British telah menerbitkan sebuah buku bertajuk Slaughter and Deception in Barang Kali pada tahun 2009. Beliau menyatakan pada tahun 1994 beliau mendapat nota-nota di antara dua orang pegawai tinggi dari Pejabat Luar British dengan seorang ketua polis dari Malaysia. Mereka berbincang tentang penutupan kes kezaliman ini.
 
Empat orang dari keluarga yang menjadi mangsa telah mengambil kes mahkamah melalui syarikat guaman Bindmans, antara lain untuk menuntut supaya penyiasatan awam dilakukan. Pihak Kerajaan British masih tidak mahu meminta maaf atas semua kekejaman dan kezaliman yang dilakukan.
 
Sekarang ini beberapa orang anggota Mau Mau yang menjadi mangsa kekejaman British di Kenya sedang memulakan tindakan unang-undang di London. Saya meminta supaya Kerajaan Malaysia tidak akan mengambil apa-apa tindakan untuk bersekongkol dengan Kerajaan British bagi menutup peistiwa kejam di Batang Kali. Berikanlah keadilan kepada mangsa serta keluarga mangsa kezaliman dan kekejaman ini.
  D. Ancaman Persekitaran dan Kesihatan 
Tenaga nuklear merupakan salah satu daripada contoh utama “high risk technology”, yang sangat mengancam. Oleh itu pembinaan kilang untuk menjana tenaga ini tidak harus dilakukan tanpa kajian yang mendalam dan juga tanpa merujuk kepada masyarakat sekitar mana kilang itu hendak didirikan.
 
Pusat Tenaga Nuklear: Tahun lalu, pada 4hb May, Menteri Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air dilaporkan oleh Benama sebagai berkata bahawa Malaysia merancang hendak membina pusat tenaga nuklear yang akan beroperasi menjelang tahun 2021. Saya tidak mengetahui sedalam mana kajian telah dijalankan untuk rancangan ini. Akan tetapi saya mengetahui bahawa pandangan awam tidak diminta sama sekali berhubungnya.
 
Salah satu alasan yang diberikan oleh pihak Kerajaan tentang keperluan pusat tenaga nuklear ini ialah untuk memenuhi keperluan tenaga yang bertambah di negara ini. Alasan tersebut tidak boleh diterima. Mengikut Menteri keperluan tenaga di Malaysia  pada tahun 2010 ialah sebanyak 14,000MW. Akan tetapi kita mempunyai kapasiti menjana 23,000MW. Ertinya kapasiti melebihi 64% daripada keperluan.
 
Begitu juga Tenaga Nasional Bhd mengakui bahawa ia mempunyai “electricity supply reserve margin” (margin simpanan bekalan elektrik)  sebanyak 66%. Namun begitu, masih beribu-ribu rumahtangga di kawasan desa serta pedalaman negara ini, terutama di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai bekalan elektrik.
 
Mengikut seorang pakar nuklear tempatan, Dr Idwar Baharuddin, Malaysia mempunyai lebihan penjanaan elektrik sebanyak 9000MW atau 9GW. Ini bererti Malaysia mempunyai lebihan penjanaan elektrik yang bersamaan dengan 9 reaktor kuasa nuklear, jika tiap-tiap satu boleh menjana 1GW elektrik. Oleh kerana itu tegasya, “Malaysia does not need nuclear power for electricity generation”.
 
Baru-baru ini, berikutan gempa bumi di Jepun, beberapa pusat tenaga nuklearnya di *****ushima telah terbakar dan menghadapi ancaman ketirisan/kebocoran bahan-bahan radioaktif. Ini menancam persekitaran dan kehidupan (terutama manusia) yang mencapai peringkat bahaya yang sama dengan tragedi nuklear akibat radioaktif yang berlaku di Chernobyl. Ramai menanggung penyakit cancer dan mati akibtnya.
 
Jepun boleh dikatakan memunyai taraf keselamatan teknologi binaan yang tinggi. Akan tetapi apabila berlaku malapetaka, tidak ada apa yang dapat menyelamatkan keadaan. Malaysia tidaklah tinggi sangat mutu teknologi pembinaan dan keselamatannya. Kita telah menyaksikan sebahagian stadium roboh dan bumbung mahkamah bocor dan banyak lagi. Apakah sebenarnya jaminan keselamatan yang betul-betul ketat di negara kita ini untuk menjamin keselamatan bagi pusat reaktor nuklear?
 
Kilang “Rare Earth”: Berkaitan soal bahaya nuklear ke atas persekitaran dan manusia ialah percubaan untuk mendirikan kilang “rare earth” di Gebeng, Kuantan. Perkara ini telah ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh dalam Dewan Rakyat pada bulan lalu. Saya ingin menyentuh sedikit tentang perkara ini.
 
Sehubungan perkara ini beberapa orang ahli Parlimen di Australia telah menyatakan kebimbangan mereka atas pengiriman bahan-bahan mengandungi radioaktif thorium dengan kapal melalui Kwinana untuk diproses di Malaysia. Operasi ini dilakukan oleh syarikat Lynas Mount Weld.
 
Anggota-anggota Parliamen ini menyatakan kebimbangan mereka tentang bahaya yang terdedah kepada penduduk-penduduk dari bahan radioaktif yang dibawa melalui masyarakat Kwinana dan sepanjang laluan pengangkutan itu. Pada masa yang sama YB Fuziah telah memberi amaran tentang bahaya radioaktif yang akan dihadapi oleh masyarakat di Gebeng. Beliau berpendapat bahawa bahan bahaya ini tidak harus dibawa masuk ke negara ini, bahkan harus diangkut pulang ke negara asalnya.
 
Bahaya “rare earth” ini telah dialami beberapa tahun dulu di Bukit Merah, Perak, apabila kilang untuknya telah dibina oleh sebuah syarikat Jepun di sana. Akibatnya, ramai yang mengidap cancer bahkan menghadapi maut akibatnya. Tidakkah kita belajar dari pengalaman? Kilang di Bukit Merah itu akhirnya ditutup berikutan bantahan kuat dari penduduk dan keputusan mahkamah. Mengapa kini mahu dibuka di Gebeng pula?
 
Saya berasa sangat kecewa kerana dalam dua-dua kes membina pusat tenaga nuklear dan kilang “rare earth” itu nampaknya kepentingan dan keuntungan perdagangan menjadi perkiraan utama. Kebajikan dan keselamatan manusia serta alam sekitarnya seolah-olah tidak diambil berat sedikitpun.
 
Percubaan Nyamuk GM: Sejak beberapa tahun lalu, negara kita ini diancam oleh penyakit demam denggi dari nyamuk aedes. Nampaknya ancaman ini tidak bekurangan bahkan semakin teruk. Dalam negara ini ia pernah digambarkan sebagai lebih bahaya dan teruk lagi dari penyakit H1N1, yang pada satu waktu begitu diheboh-hebohkan di di seluruh dunia.  
 
Untuk mengatasi ancaman denggi ini, National Biosafety Board of Malaysia melalui Institute of Medical Research (IMR) telah merancang untuk melepaskan nyamuk jantan aedes aegypti yang telah disesesuaikan secara genetik atau “genetically modified” (GM). Yang diketahui, hanya sekali saja nyamuk GM ini pernah dilepaskan.
 
Di Malaysia khabarnya pada tahun lalu telah dibuat satu percubaan untuk melepaskan nyamuk GM. Ini dilakukan secara senyap-senyap. Khabarnya lagi, percubaan ini telah ditarik balik. Kami berharap tidak akan ada percubaan yang akan dilanjutkan bila-bila masa nanti. Ini memandangkan akibat bahaya besar yang boleh timbul daripadanya.
 
Nyamuk GM ini merupakan apa yang boleh dikatakan sebagai spesi menyerang (invasive specie). Pemahaman dan pengetahuan sains mengenainya masih lagi pada peringkat terlalu awal. Ada kemungkinan nyamuk ini boleh membunuh nyamuk aedes yang sedia ada. Akan tetapi sebaliknya, ia boleh membiak dan menjadi liar sehingga tidak dapat dikawal. Apabila perkara ini berlaku tidak ada cara yang diketahui untuk menangkapnya semula.
 
Sekiranya Malaysia melepaskan nyamuk GM ini, ia akan merupakan negara pertama dalam dunia yang melakukannya. Nyamuk GM ini suduh diwujudkan kira-kira 10 tahun. Idea tentang menggunakannya bagi menyerang nyamuk aedes yang membawa denggi itu lebih lama lagi difikirkan. Akan tetapi, tiada negara lagi yang berani mencuba melepaskannya, kerana tidak tahu dan takut apakah akibatnya nanti.
 
Nyamuk GM ini dikeluarkan dan dibekalkan oleh sebuah syarikat British. Janganlah hendaknya Malaysia menjadi “guinea pig” semata-mata kerana ada golongan atau pihak yang mahu mendapat keuntungan dari perdagangan nyamuk GM ini. Sekali lagi kita perlu hindarkanlah menggadai keselamatan bahkan nyawa manusia semata-mata kerana kerakusan perdagangan!
 

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.