Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Catatan seorang penuntut IPTA:
Polis beri isyarat sertai perhimpunan?

MAR | Jul 14, 2011 01:10:45 pm

 
Saya tertarik dengan pengalaman yang ditulis oleh saudara Chen Shu Yong yang disiarkan oleh MerdekaReview pada 12 Julai 2011.  Maka saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya yang turut menyertai himpunan rakyat BERSIH pada tarikh keramat 9 Julai.

Pada saya,selain menunjukkan penyatuan kaum, dari sudut yang lain BERSIH turut memberi isyarat kebangkitan generasi muda.  Laporan akhbar menunjukkan hampir 80% peserta BERSIH terdiri daripada golongan muda.  Malah media arus perdana turut melaporkan penglibatan ramai mahasiswa mahasiswi IPTA dalam demontrasi ini.  Anak-anak muda yang digelar generasi facebook dan twitter ini memberi signal yang jelas kepada kerajaan supaya melakukan perubahan.

Mereka benci pada rasuah dan penyelewengan yang dibiarkan berleluasa.  Mereka marah dengan sikap pemerintah yang sesuka hati menaikkan harga barang tanpa memikirkan bebanan yang ditanggung rakyat.  Sikap kepedulian anak muda tentang masalah negara sering ditangani pemerintah dengan ugutan, mereka diugut dan digertak untuk dibuang universiti, digantung pengajian ataupun diambil tindakan oleh penaja biasiswa, tanpa terlebih dahulu mendengar suara dan rintihan anak-anak muda ini.  Namun BERSIH 2.0 jelas membuktikan generasi muda sudah tidak takut, malah bosan dengan politik ugutan dan pembohongan yang dilakukan pemerintah saban hari.

Pada pagi 9 Julai 2011, saya bergerak ke Masjid Jamek bersama empat orang rakan.  Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk mengelakkan kecurigaan.  Kami melihat ramai remaja hampir sebaya kami sedang berlegar-legar di sekitar Masjid Jamek.  Kami tertanya-tanya adakah mereka ingin menyertai BERSIH seperti kami atau mempunyai tujuan lain.  Dalam setengah jam kami di situ, kami melihat kehadiran ramai anggota polis seolah-olah Masjid Jamek telah diisytiharkan sebagai kawasan jenayah.  Berasa tidak selesa dengan situasi itu, kami mengambil keputusan untuk bergerak ke KL Central.

Setibanya kami di KL Central, kami melihat kewujudan lebih ramai anggota polis berbanding Masjid Jamek.  Mereka memeriksa orang ramai di pintu masuk.  Tidak lama kemudian, saya ditegur oleh seorang polis wanita.  Mungkin dia sudah lama memerhati saya dan kawan-kawan yang berjalan mundar mandir di dalam KL Central.  Polis bertanyakan asal saya dan tujuan saya ke KL Central.  Saya rasa kelakar, "sejak bila pula perlu ada tujuan spesifik untuk ke KL Central.  Suka hati sayalah kalau nak jalan-jalan kat mana-mana pun, ni negara saya", hati saya bersungut.
Mujur garam tidak ditemui...

Namun saya buat selamba saja dan menjawab semua soalan yang ditanya secara baik.  Sewaktu polis memeriksa IC saya dan kawan-kawan,ada seorang wanita datang. Beliau mengadu kepada polis ada seorang lelaki asyik mengambil gambar di KL central.  Akibatnya, lelaki tersebut dipanggil oleh polis.  Sekali lagi saya kehairanan, "sejak bila pula ambil gambar jadi satu kesalahan?".  Kami kemudiannya dibawa ke pintu masuk KL Central di mana terdapat ramai polis lain yang bertugas di situ.  Saya meminta izin untuk menggunakan telefon tetapi tidak dibenarkan.
Beg-beg kami diperiksa.  Saya bersyukur polis tidak menjumpai garam yang disimpan dalam beg kawan walaupun mereka memeriksa dengan agak teliti.  "Allah selamatkan kami," desis hati saya.  Kalau garam tersebut dijumpai polis, saya yakin itu akan jadi sebab untuk mereka menahan kami.  Pada masa itu saya lihat ramai lagi anak-anak muda yang diperiksa.  Lelaki muda yang mengambil gambar tadi dimarahi seorang polis lelaki, "kenapa kamu ambil gambar?!!"  Ada seorang remaja cuba bersoal jawab dengan polis namun dibalas dengan jawapan "kita tunggu black maria sampai!".

Kerana tidak menjumpai apa-apa barang yang mencurigakan, kami dilepaskan.  Polis sempat menasihati kami supaya meninggalkan KL Central.  Sebelum membeli tiket untuk beredar dari KL Central, saya dan kawan-kawan mengambil keputusan untuk solat Zohor terlebih dahulu di surau.

Setibanya di surau, kami kecewa kerana surau dikunci.  Ada beberapa orang lagi di situ yang turut mahu menunaikan solat zohor. Tidak pernah sebelum ini surau KL Central dikunci sehingga menghalang pengunjung menunaikan solat.  Saya mengajak kawan-kawan bersolat di atas lantai di luar surau.  Tindakan kami diikuti orang lain yang turut berada di situ.  Saya terdengar seorang polis buat laporan tentang tindakan kami solat di luar surau menggunakan walkie talkie.
Ada orang mandi di surau?

Tidak lama selepas kami selesai solat, ada beberapa polis yang mengarahkan kami beredar.  Ada seorang remaja perempuan bertanya alasan surau dikunci.  Polis menjawab "kami dapat laporan ada orang mandi di surau".  Remaja perempuan tersebut membalas jawapan polis yang tidak logik itu.  Dia berkata, "Tipulah.  Mana ada orang mandi kat surau?"  Ada benarnya apa yang dikatakan remaja perempuan itu, mustahil ada orang yang tidak tahu malu mandi di tempat terbuka.  Bukan ada tandas pun dalam surau tu.  Polis yang berang dengan perkataan "tipu" yang dilontarkan bertindak mengekori perempuan itu sehingga ke pintu lif.

Ada sedikit pertelingkahan berlaku antara polis dan remaja perempuan itu.  Antara kata-kata yang keluar dari mulut polis adalah "orang dah kata jangan keluar hari Sabtu, nak keluar juga!".  Polis mengarahkan perempuan itu turun.  Tetapi sewaktu pintu lif terbuka, beliau masih bertelagah dengan polis.  Anak muda sudah tidak takut dengan polis nampaknya, sudah berani mengkritik secara berdepan segala tindakan tidak masuk akal.

Semasa berjalan di KL central, saya melihat ramai anak muda.  Seperti tadi, saya tidak tahu adakah mereka mahu berdemontrasi seperti kami, atau mempunyai tujuan lain.  Namun hati saya kuat mengatakan mereka datang untuk menyertai BERSIH.  Sebab rupa paras dan penampilan mereka seperti pelajar, bukan seperti kutu rayau, mat rempit atau kaki lepak.  Saya membuat andaian.

Saya dan kawan-kawan beratur untuk membeli tiket LRT untuk beredar dari KL central.  Kami rasa seperti mahu menangis.  Kami merasakan kami pasti gagal sertai himpunan BERSIH ini.  Sebab jam sudah menghampiri pukul 2 petang, sedangkan semua kawasan ada sekatan oleh polis.  Di KL Central pun kami sudah ditahan polis, bagaimana kami mahu lepas ke tempat lain.  Saya dapat sms dari kawan, FRU dan polis sudah ramai berkawal di Masjid Negara.  Sudah pasti kami dihalang ke sana bila turun dari LRT nanti.  Kami buntu.  Kami menahan air mata.  Kami rasa seperti anak muda yang tak berguna kalau tidak menyumbang pada kebangkitan rakyat negara kami.  Kami rasa bersalah.  Seperti kami, terdapat beberapa anak muda lain yang beratur membeli tiket.  Tiba-tiba, kami terdengar laungan takbir yang kuat bergema.  Kami berpandangan sesama kami.  "Wah, mereka buat demo di
KL Central!!!".  Kami terus berlari keluar dari barisan, bercadang mahu melihat apa yang berlaku.

Jika boleh,kami mahu menyertai kelompok demo di KL Central.  Tanpa kami sangka, anak-anak muda yang turut beratur tadi turut berlari seperti kami.  Orang ramai yang kami sangka "orang awam" tadi menzahirkan diri masing-masing.  Rupa-rupanya mereka juga seperti kami, menyembunyikan identiti.  Kami semua hakikatnya peserta BERSIH 2.0!
Polis beri isyarat?

Laungan BERSIH bergema di KL Central.  Polis tidak mampu mengawal orang ramai yang berpusu-pusu mahu melihat apa yang berlaku.  Ada seorang polis yang memberi isyarat membenarkan saya bergerak menyertai kelompok ramai yang sedang berdemo.  Mungkin dia sudah penat mengawal orang, atau dia juga merestui perjuangan BERSIH atau mungkin saya yang salah faham isyarat beliau.  Entahlah, saya tidak tahu.  Yang pasti saya cuba menyelinap masuk ke tengah-tengah barisan, namun sukar sekali.  Barisan mereka rapat-rapat.  Terpaksalah saya menunggu di belakang sekali.

Saya mengambil gambar dan merakam video menggunakan telefon bimbit.  Ratusan anak muda berbilang kaum turut bersama ketika itu.  Melayu, Cina dan India.  Muda-muda belaka.

Beberapa minit kemudian, FRU melepaskan tembakan menyebabkan peserta bertempiaran lari.  Saya menelefon kawan-kawan saya (yang berpecah kepada kumpulan lain) untuk bertanyakan keadaan.  Mereka teruk terkena kesan gas pemedih mata.  Rupa-rupanya mereka berada di belakang pimpinan BERSIH sewaktu polis menembak gas.  Baru saya tahu bagaimana demontrasi boleh diadakan di KL Central, rupa-rupanya ada ramai pimpinan BERSIH dan Pakatan Rakyat.  Saya rasa marah dengan tindakan polis yang tergamak melepaskan tembakan gas pemedih mata dalam kawasan tertutup.

Situasi menjadi genting.  Polis mencetuskan huru hara dengan menangkap pemimpin BERSIH dan Pakatan Rakyat.  Kawan saya yang melihat sendiri Presiden PAS terkena gas pemedih mata, berasa sangat marah.  Saya menyelinap masuk dalam kelompok orang awam (ramai demonstran lain turut melakukan hal yang sama).  Sekali lagi polis membuat kecoh dengan mengejar peserta demontrasi.  Saya tidak dapat maafkan melihat cara seorang wanita berpurdah ditangkap secara kasar.  Mustahil perempuan itu mampu bertindak di luar kawalan, polis tidak perlu sekasar itu.  Sayangnya saya tidak sempat merakam perbuatan tidak berperikemanusiaan polis itu.  Namun, tindakan zalim itu tetap terpahat dalam ingatan saya.  Saya juga melihat seorang lelaki muda ditangkap.  Kenyataannya ialah: ramai anak muda ditangkap.  Maksudnya ramai sekali anak muda yang menyertai demontrasi BERSIH 2.0.

Setelah suasana kembali stabil, orang ramai menunggu kaunter tiket dibuka.  Tiba-tiba ada sekelompok remaja perempuan bertanya, adakah kami mahu mengikut mereka ke Stadium Merdeka.  Jelas tangkapan polis sebentar tadi gagal menakutkan mereka.  Saya kagum.  Namun melihat keadaan kawan-kawan saya yang masih teruk terkena semburan gas jarak dekat, saya dan kawan-kawan lain menolak permintaan mereka.  Mata mereka merah teruk.  Mereka kelihatan sangat lemah.  Kami mesti menjaga kawan-kawan kami.

Saya cuba mendapatkan maklumat dari kawan-kawan lain yang menyertai demontrasi di tempat lain.  Khabarnya di KLCC, lautan manusia berkumpul, juga ada yang berjaya sampai ke Dataran Merdeka.  Kesimpulan awal saya ketika itu ialah: BERSIH2.0 berjaya!
BERSIH 2.0: Kebangkitan orang muda!

9 Julai 2011 sudah berlalu.  Namun api semangat BERSIH masih membara dalam jiwa kami, anak-anak muda.  Walaupun saya tidak kenal semua anak muda yang menyertai perhimpunan aman ini, namun sinar mata kami memberi maksud yang sama.  Kami mahu selamatkan Malaysia.  Kami tidak rela Malaysia terus rosak.  Wahai pemerintah, hentikan pembohongan kalian di media-media massa.  Kami generasi internet tidak perlukan semua itu untuk tahu sesuatu kebenaran.  Kami tahu betapa teruknya sistem pilihan raya Malaysia bila kami bandingkan dengan negara luar.  Kami tahu betapa tidak adilnya media arus perdana.  Kami hanya mahukan satu sahaja: PERUBAHAN.

Selama ini, kamu tidak pernah bertanyakan kami apa yang kami mahukan.  Apa yang kamu tahu hanya,menggertak dan mengugut.  Merantai kaki kami dengan akta-akta yang mengongkong.  Memandang rendah pada keupayaan kami.  Apabila kami suarakan sedikit pandangan atau teguran sebagai tanda peduli kami pada negara, terus kami dilabel agen pembangkang.  Kami dihina dengan kata-kata yang memedihkan hati.  Adakah begini cara pemerintah melayan anak-anak muda yang sayangkan negara?  Sekarang anda lihatlah kesannya.  Majoriti demonstran yang mendesak kerajaan & SPR melakukan perubahan adalah anak-anak muda.  BERUBAHLAH SEKARANG, ATAU KAMI PENGUNDI-PENGUNDI BARU YANG AKAN MENGUBAH KEDUDUKAN KALIAN DARI TAMPUK KUASA.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.