Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

UMNO agak gusar dengan konsep ini

Pandangan umum terhadap Konsep Asas Negara Berkebajikan PAS

Mohd Aizat bin Mohd Salleh | Sep 12, 2011 10:58:27 am


 
Pandangan ini bukanlah mengkritik atau memperbetulkan mengenai konsep asas Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS di dalam bukunya "Konsep Asas Negara Berkebajikan" tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang, namun satu komentar berkenaan pandangan awam yang lahir daripada pengamatan rakyat biasa.

Dokumen setebal 86 halaman dengan dibahagikan kepada tujuh bahagian tersebut mengambil semangat ucapan Presiden PAS (gambar kiri) iaitu: "PAS menerima hakikat masyarakat majmuk dan menjadikannya peluang keemasan bagi memperkenalkan Negara Berkebajikan yang berkonsepkan Adil Untuk Semua, dengan Kepimpinan Islam yang menekankan perpaduan kaum berasaskan persaudaraan kemanusiaan yang diwajibkan oleh Islam.." (Rujukan: Buku Konsep Asas Negara Berkebajikan)

Asas Transformasi Negara Islam kepada Negara Berkebajikan

Asas yang menjadi perkara penting kepada PAS adalah menerang, memperjelas dan memahamkan masyarakat dan rakyat berkenaan bagaimana dasar Negara Islam yang diperjuangkan sejak puluhan tahun dahulu berubah menjadi konsep Negara Berkebajikan.  Perlu diingatkan bahawa apabila PAS mempromosikan dasar tersebut, maka ia dinilai bukan sekadar daripada parti lawannya sahaja (UMNO-BN), bahkan seluruh rakyat Malaysia.  Dan rata-rata yangmenelitinya adalah generasi baru yang kritikal dan berfikiran luas serta terbuka.

Asas perubahan ini perlu dirujuk kembali kepada konsep fleksibeliti (keboleh-ubahan dan kelenturan) hukum serta syariat Islam terhadap perkara-perkara semasa.  Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya bertajuk: "Keunggulan Hukum Islam Menangani Cabaran Zaman" membawa kaedah fiqh: "Berubahnya sesuatu hukum (syariat Islam) kerana berubahnya masa, tempat dan keadaan (semasa)."

Itu dalam persoalan hukum fiqh - yang memerlukan perubahan-perubahan hukum - apabila timbulnya pelbagai masalah baru semasa yang kompleks dan rumit.  Malah lebih-lebih lagi dalam persoalan politik yang sangat memerlukan para pemimpin parti dan gerakan Islam mengemukakan sesuatu yang baru, segar dan boleh diterima masyarakat agar perjuangan dan dasar parti itu diterima baik dan murni oleh lapisan masyarakat.

Justeru, tidak syak transformasi yang dilakukan PAS menepati kehendak Islam agar Islam itu diterima masyarakat dengan kefahaman dan kejelasan, bukan atas dasar sokongan politik semata-mata.  Selain itu, perubahan itu (Negara Islam kepada Negara Berkebajikan) perlu diperjelaskan lagi bahawa ia bukanlah satu transformasi yang mengubah dasar dan kehendak Negara Islam, bahkan sebenarnya ia adalah proses merealisasikan Negara Islam tersebut.

Negara Berkebajikan adalah terjemahan Negara Islam

Apabila meneliti konsep-konsep asas bagi sebuah Negara Islam, maka ia boleh disimpulkan secara berikut: "Negara yang didiami oleh umat Islam (seluruh atau sebahagiannya), dan dilaksanakan dalamnya hukum-hakam (syariat) Islam." (Ibnu Qayyim di dalam bukunya Ahkam Ahli Az-Zimmah).

Terjemahan kepada perlaksanaan hukum-hakam Islam itu tidaklah semata-mata kepada perlaksanaan hukuman Hudud - memotong tangan bagi pencuri dan sebagainya - bahkan ia lebih luas daripada itu.  Apabila meneliti objektif - atau popular disebut maqasid syariah - di dalam perlaksanaan hukum Islam, maka kita mendapati bahawa tujuan perlaksanaan hukum Islam pasti akan menghasilkan - kepada seluruh manusia: 1) Mengambil segala kebaikan (Jalbal-Masalih), 2) Menolak segala keburukan (Dar al-Mafasid), 3)Menegakkan persamaan/hak asasi (al-Musawaat). (Rujukan: Ibnu 'Asyardalam bukunya Maqasid As-Syariah al-Islamiyyah).

Di samping itu, manfaat hukum Islam itu akan dirasai bersama kepada seluruh manusia - termasuk Islam dan bukan Islam serta hidupan lain - kerana Islam itu adalah rahmatan lil 'aalamin - rahmat kepada seluruh alam.

Daripada inilah lahirnya konsep kebajikan.  Takrif kebajikan tersangat luas merangkumi semua perkara.  Kata Yusuf Al-Qaradhawi: "Kebajikan itu termasuk apa sahaja yang menyerukan kepada kebaikan seperti kebajikan (perbuatan baik), kasih-sayang, sedekah, melapangkan kesulitan, menolong orang yang teraniaya, dan sebagainya." Dari konsep inilah kita dapat melihat bahawa di dalam Negara Islam itu tertegaknya Negara Kebajikan sebagaimana yang dibawa PAS.

Mengambil tiga asas di atas iaitu mengambil kebaikan, menolak keburukan dan menegakkan persamaan, kita dapat melihat banyak contoh di dalam merealisasikannya, dan inilah yang sewajarnya diperjelaskan oleh PAS dengan lebih proaktif dan berkesan.

1.Mengambil Kebaikan
 
Antara yang boleh diperjelaskan oleh PAS di dalam konsep mengambil kebaikan adalah dengan mengemukakan segala manifesto yang memberi kebaikan kepada seluruh rakyat.  Antaranya adalah dengan membentangkan belanjawan alternatif di dalam aspek ekonomi serta mengemukakan alternatif-alternatif kepada permasalahan ekonomi, undang-undang, pendidikandan sebagainya yang melanda negara dan masyarakat yang gagal dilakukan oleh UMNO-BN.

Di samping itu juga, dalam konsep ini, PAS juga boleh mengekalkan apa sahaja dasar serta tindakan yang baik daripada usaha kerajaan sekarang tanpa perlu membuat perubahan secara drastik yang akan memeningkan rakyat.  PAS juga perlu mengambil peluang daripada sistem yang sudah sedia ada, misalnya bagaimana PAS boleh bergerak dengan lebih berkesan di dalam kerangka perlembagaan.

2. Menolak Keburukan
 
Menolak keburukan bererti menolak segala dasar yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat.  Misalnya dasar ekonomi yang memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada syarikat-syarikat besar, serta memiskinkan lagi rakyat yang sudah sedia miskin.  Menolak juga segala unsur-unsur yang membawa kepada penyelewengan seperti rasuah dan salah gunakuasa di samping akta-akat serta undang-undang yang bersifat "mendera" rakyat.

3. Menegakkan persamaan/keadilan/hak asasi
 
Asas ketiga inilah yang menjadi kayu ukur yang sebenar kepada sebuah Negara Berkebajikan.  Penegakan keadilan adalah merentasi parti politik, bangsa dan agama.  Dalam hal ini, kerajaan UMNO-BN sedia ada telah gagal menjadi sebuah kerajaan yang adil dan berhemah.  Dalam banyak perkara lebih mementingkan keuntungan golongan atasan berbanding rintihan dan kepayahan rakyat bawahan.

Begitu juga dalam aspek sistem perundangan.  Berapa banyak rakyat yang telah dinafikan hak mereka untuk mendapat keadilan undang-undang.  PAS juga perlu bersedia mengemukakan alternatif kepada sistem perundangan terutamanya di dalam kehakiman dan perlaksanaannya agar institusi ini kembali bersih dan berkredibiliti.

Model Negara Berkebajikan

Walaupun di dalam buku Konsep Asas Negara Berkebajikan ada mengemukakan contoh terbaik Negara Berkebajikan perlu diambil daripada Negara Madinah serta zaman khulafa' ar-Rasyidin (Khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a) (Rujuk buku tersebut di m/s: 56&64), namun PAS perlu mengemukakan model yang realistik dan tepat dengan keadaan serta sistem negara di Malaysia.  Atas sebab inilah PAS telah memulakan langkah yang baik di dalam Muktamar ke-57 dahulu dengan memilih kepimpinan yang sesuai dengan zaman dan manifesto itu (Negara Berkebajikan).

Buku Konsep Asas Negara Berkebajikan wajar diteliti, dikaji dan diperbahaskan agar isi dan aspek yang dibentangkan tepat dengan keadaan masyarakat kini.  Antara lainnya, PAS perlu mengambil pandangan umum daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya generasi muda, pakar perlembagaan, pakar ekonomi, di samping pemimpin politik yang berpengalaman di dalam negara ini, agar persembahan dasar perjuangan PAS diterima semua lapisan masyarakat.
*Mohd Aizat bin Mohd Salleh, B.A Syariah (Fiqh dan Usul) Universiti Malaya (UM).

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.