dataran smm
KUALA LUMPUR - Sementara kempen di Dataran Merdeka menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masuk hari yang kelima, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata, mereka bersetuju untuk menerima pelawaan debat daripada Unit Pidato Pemuda Umno, tetapi dengan syarat hanya mahu bertemu dengan Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Hari ini masuk hari kelima aktivis mahasiswa berkhemah di Dataran Merdeka berhubung isu PTPTN. Semalam, SMM menolak nasihat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abddulah agar mereka mengosongkan Dataran Merdeka dan menghormati pihak lain.

Setiausaha Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin berkata, pihaknya ada menerima surat jemputan daripada Unit Pidato Umno berkenaan dengan isu PTPTN minggu lalu.

"Kita terima satu surat jemputan debat daripada Unit Pidato Pemuda Umno. Surat yang bertarikh 10 April kita terima melalui laman rasmi Twitter SMM pada 14 April lalu.

"Semalam, kita sudah putuskan yang SMM terima jemputan debat itu dengan meletakkan dua syarat. Syarat pertama, Pengerusi SMM akan berdebat hanya dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

"Syarat kedua, debat tersebut harus diadakan di Dataran Merdeka, di hadapan rakyat dan anak-anak muda," kata beliau ketika ditemui di Dataran Merdeka petang ini.

SMM mengadakan demonstrasi dengan berarak dari Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini sehingga Dataran Merdeka.

Mereka mendirikan sejumlah khemah dan bertekad akan berada di Dataran Merdeka sehingga kerajaan menyatakan kesediaan mahu berbincang mengenai tuntutan mereka.

Katanya, debat tersebut boleh diadakan bila-bila masa mulai sekarang sebelum 28 April ini iaitu tarikh akhir mahasiswa membuat perancangan untuk berkhemah di Dataran Merdeka.

"Sekarang kita masih belum menerima kata putus daripada Unit Pidato Umno berkenaan debat dengan Khairy. Pengerusi SMM, Safwan Anang akan berdebat dengan beliau," kata beliau Sinar Harian Online.

Khairy dijadual berdebat dengan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengenai soal PTPTN awal bulan depan.

Shukri juga berkata, "Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kami menurunkan kesemua 17 buah khemah pada jam 9 pagi tadi."

"Selepas kami berbincang, mereka (DBKL) bersetuju dan mengarahkan kami (hanya boleh) menaikkan dua khemah bertujuan untuk menyimpan barang-barang makanan dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, pada jam 10 pagi tadi, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said telah melawat kawasan aktivis mahasiswa berkhemah dan ia disusuli dengan kehadiran Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga.

Samad dan Ambiga merupakan Pengerusi Bersama 2.0. Ambiga menyampaikan sumbangan makanan kepada mahasiswa-mahasiswa.

Sekitar jam 6.30 petang tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersama Ahli Parlimen Padang Terap dan Exco Pemuda Pas, Nasir Zakaria meluangkan masa melawat kawasan perhimpunan dan bertanya khabar mahasiswa yang berada di Dataran Merdeka.

Sementara itu, kelas-kelas untuk mahasiswa atas nama "Universiti Dataran Merdeka" diteruskan malam ini sebagaimana disaksikan semalam dan kelmarin.
 
AKAN MENYUSUL