Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

A. SAMAD SAID AMBIL PEDULI BERSIH




A.Samad Said di tengah gelombang rakyat
Posted on Wednesday, April 18 @ 01:57:58 CDT by paktam
Oleh Abdul Shukur Harun

Malam Selasa lalu, kami dari Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Markas Madrasah Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur, pimpinan Cikgu Ishak Surin,  telah mengadakan sambutan hari lahir Sasterawan Negara, A. Samad Said yang ke 77 dalam suasana penuh shahdu dan sederhana.


Kami meraikan beliau bukan semata-mata kerana menyambut hari lahirnya itu, tetapi bahkan kerana kehadirannya di tengah-tengah medan perjuangan yang membara, malah menjadi antara tokoh penggerak utama kebangkitan rakyat, selaku Pengerusi Bersama Bersih 3.0.

Beliau telah mencetuskan sebuah phenomena yang menarik terutama di kalangan golongan muda.

Hadir sama di majlis tersebut, penyair/dramatis Dinsman, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Kasim Muhamad (Bara Jiwa), Hasni Abas, Pak Saleh Bakar, Kumpulan Rahmat, Yeoh dari kumpulan Anak Muda Sri Petaling dan ramai lagi.

Saya sendiri diminta menyampaikan sedikit kata-kata dengan menyebutkan bahawa dalam umur 77 tahun, A. Samad Said dapat menyaksikan suasana politik dan kemasyarakatan yang sedang menuju ‘arah yang tidak tentu arah’.

(A Samad bergambar dengan rakan-rakannya selepas diraikan)

Beliau sedang menyaksikan suasana seolah-olah negara dan bangsa ini kehilangan arah, jati diri, kehilangan kebebasan, malah seperti kehilangan manusiawinya.

Sebagai sasterawan, barangkali beliau menyaksikan semunya ini dengan penuh kecewa dan bertanya mengapa negara dan bangsa yang sudah lebih setengah abad merdeka ini berada dalam kancah yang sedemikian rupa.

Kita beragama Islam dan berbangsa Melayu tetapi malangnya di mana kita meletakkan pesan-pesan Al-Quran yang bermaksud: “Kami jadikan kamu umat yang sederhana, pertengahan, adil, menjadi saksi kepada manusia dan Rasul menjadi saksi kepada kamu.” – Ayat 124, Surah Al-Baqarah.

Tetapi apa yang terjadi, keadaan sekarang sangat kontras dengan pesan-pesan Al-Quran itu.

Sebagai sahabat lama sejak setengah abad lalu, malah pernah bertugas di bawahnya ketika beliau menjadi Editor Berita Harian dulu, saya amat gembira dan terharu bahawa sasterawan yang satu ini berdiri gagah, walaupun dalam usia 77 tahun, memikul amanah untuk melaksanakan tuntutan agama supaya menyeru kepada yang makruf, mencegah kepada yang mungkar.

Seperti kata A. Samad Said sendiri dalam bukunya ‘Dari Salina Ke Langit Petang’ bahawa “tidak ramai manusia yang sempat memikirkan apa ertinya kehidupan mereka. Makanya dengan caranya sendiri, dengan kehalusan seninya dan kekayaan imaginasi dan fikirannya, penulis sebagai seniman berupaya menyingkapkan pengalaman baru kepada sesiapa  saja yang meresapi atau menghayati karyanya.”

Hari ini A. Samad Said hadir dan mengalir, memberikan sumbangan kepada masyarakat sesuai dengan peranan sasterawan sebagai jurubicara masyarakat, hidupnya tidak sia-sia.

Semoga akan lahir lagi tokoh sasterawan seperti A. Samad Said di mana bukan saja karyanya dibaca dan ditelaah, menjadi khazanah bangsa dan negara, tetapi perjuanganya juga akan dikenang hingga abadi.

Di majlis malam itu, Prof. Dr. Siti Zainon turut memberikan ucapan yang sangat mengesankan.
Katanya, ketika kita menyambut hari lahir A. Samad Said ke-77 ini, kita sebenarnya jangan lupa akan peranan dan sumbangan seorang ibu yang membesarkannya. Kerana itu ibunya dan ibu kita juga sangat penting dikenang justru tanpa ibu, kata Siti Zainon, siapalah kita.

Malam itu Dinsman membacakan sebuah puisinya mengenai erti penyair dan kepenyairan itu sendiri dalam kehidupan dengan berkata, “kadang-kadang saya bertanya sendiri mengapa saya menulis puisi. Hari ini saya telah mendapat jawapan dengan apa yang dilakukan oleh A. Samad Said.”

Hasni Abas bercerita mengenai pengalaman mengenali A. Samad Said, sementara Pak Saleh Bakar, seperti biasa, dengan pantunnya.

Nasser pula menceritakan bagaimana dia telah menjadikan puisi A. Samad Said ‘Tetamu Senja’ sebagai isi kad jemputan perkahwinannya. Kata Nasser, beliau masih menyimpan kad jemputan itu.

Mungkin ada orang – bahkan mungkin di kalangan sasterawan sendiri -merasa anih dengan kehadiran A. Samad Said di tengah-tengah pentas perjuangan rakyat ini, ketika ada di kalangan penulis sendiri merasakan lebih selamat berada dalam ‘zon selesa’ dan sekedar menjadi pemerhati. Itu adalah pilihan mereka.

Namun seperti kata A. Samad Said di malam meraikannya itu, “Saya sebagai sasterawan tidak mahu sekedar menjadi pemerhati, tetapi mahu berada di tengah-tengah perjuangan rakyat ini, lebih-lebih lagi sebagai sasterawan, saya menjadi jurubicara mereka.”

A. Samad Said ternyata menyambung legasi tokoh penulis besar di masa lalu - Dr. Ishak Haji Muhamad dan Dr. Usman Awang, Ahamad Boestamam serta Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah  - yang terus menerus memperjuangkan keadilan masyarakat dan golongan miskin.

Kini, karya sastera, terutamanya puisi, tidak lagi ‘terpencil’ dan dipandang sepi oleh masyarakat.
Dengan kehadiran A. Samad Said, puisi berada di tengah-tengah perjuangan rakyat dan tidak lagi berkurung di di bilik-bilik khusus berhawa dingin untuk kalangan penulis, peminat dan pengkaji sastera saja, tetapi ia kini suara penyair berada di tengah masyarakat, di Dataran Merdeka dan di mana saja ada gelombang rakyat.
 A. Samad Said telah mencetuskan phenomena menarik ini. Ia telah memberikan makna kepada kehidupan ini.

Semoga beliau dikurniakan Allah s.w.t. dalam keadaan sihat walafiat dan diredhai perjuangannya.
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.