Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Anak akan fail saman jika Najib tidak kemuka permohonan maaf kenyataan hina peneroka

May 21, 2012
 
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menegaskan akan memfailkan saman kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika beliau gagal mengemukakan permohonan maaf berhubung ucapannya yang menghinan peneroka sewaktu pemberian “durian runtuh” kepada peneroka Felda di gugusan Felda Jengka 8 awal bulan lalu.

Pengerusi Anak,  Mazlan Aliman ketika sidang media di ibu pejabat PAS di sini menegaskan, kenyataan “haramjadah” yang dibuat perdana menteri itu yang merujuk kepada peneroka yang menolak penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) adalah bersifat “kebudak-budakan” dan “tidak matang.”

“Kenyataan Najib sewaktu pemberian durian runtuh kepada peneroka Felda dengan menyebut perkataan haramjadah itu adalah bersifat kebudak-budakan dan menjatuhkan maruah peneroka kerana ia disebut dikhalayak ramai,” katanya merujuk kepada majlis pengumuman pemberian durian runtuh tersebut yang dihadiri lebih 50,000 peneroka dan disaksikan secara langsung di televisyen.

Sehubungan itu, Anak akan menanti kepulangan Najib dari lawatan di luar negara, dan akan menyerahkan notis tujuh hari menuntut beliau membuat permohonan maaf tersebut.

“Selepas tempoh itu, jika Najib tidak menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf, kami akan memfailkan saman terhadap perdana menteri,” katanya.

Menurut Mazlan, pihaknya juga memandang serius perkara itu kerana mereka melihat, sejurus kejadian itu, makin ramai ahli-ahli politik Umno yang mula menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada peneroka berhubung isu penyenaraian tersebut.

“Saya yakin kenapa ahli politik Umno, ahli-ahli Parlimen dan menteri sekarang bebas berkata perkataan yang tidak sepatutnya kepada peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian tersebut.
“Kalau dah ketuanya sendiri yang memulakan perkara itu, tidak mustahil anak buah akan turut sama,” tegasnya dan menambah, “ahli politik Umno juga dilihat menggunakan isu durian runtuh itu sebagai ‘political mileage’ mereka untuk meraih sokongan peneroka Felda.”

“Maruah peneroka telah dimalukan. Apa kena mengena peneroka dengan perkara pemberian wang durian runtuh itu, sedangkan duit itu tiada kena mengena dengan penyenaraian,” tegasnya merujuk kepada durian runtuh bernilai RM15,000 yang diumumkan Najib kepada peneroka.

Sehubungan itu, Mazlan turut mengesahkan pihaknya telah membuat laporan polis di seluruh negara berhubung perkara itu.

“Panel sudah bersiap sedia. Siapa yang akan saman, kami akan umum kemudian,” katanya lagi.
Najib sebelum ini telah membuat pengumuman durian runtuh bukan sahaja kepada peneroka warga kerja Felda malah untuk isteri dan anak-anak peneroka.

Durian runtuh untuk peneroka  berjumlah RM1.689 bilion akan diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Ketika mengumumkan berita baik itu di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, dekat sini, Najib berkata Felda kini telah memasuki satu transformasi baru setelah penyenaraian FGVH.

Beliau berkata pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bonus dua bulan setengah gaji kepada petugas dan pegawai Felda.

Najib juga berkata pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu dari tarikh pengumuman tersebut.

“Pembayaran akan dibuat secara tunai dan fasa kedua akan dibuat sebaik sahaja selesai pembayaran fasa pertama manakala pemberian bonus kepada kakitangan Felda juga akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Pada majlis itu juga, Najib turut mengumumkan tiga lagi insentif yang disifatkan beliau sebagai ‘durian runtuh’ iaitu tabung amanah, “blue form” untuk saham FGVH kepada peneroka dan tambahan bantuan untuk dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung-kampung lama dan tradisional di kawasan Felda.

Berkenaan dengan tabung amanah itu, Najib berkata sebanyak 20 peratus dalam tabung amanah adalah untuk penyenaraian FGVH dan sekiranya FGVH memperoleh keuntungan maka dividen akan diberi kepada setiap peneroka.

“Pada tahun depan kita jangkakan keuntungan sebanyak RM1.5 bilion dan sekiranya jumlah itu kekal seperti tahun lepas, setiap peneroka akan menerima lebih RM1,300, kalau untung lebih, peneroka akan dapat lebih lagi.”

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.