Umno muzakarah dengan NGO jika Pas tak sedia
Tan Sri Muhyiddin Yassin
 
JOHOR BHARU - Umno bersedia untuk bermuzakarah dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan Islam dan Melayu sekiranya Pas tidak bersedia buat demikian, kata Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
"Jadi kalau sekiranya sekarang ini Pas menyatakan mereka tidak bersedia mengadakan muzakarah tak apa lah.
  
"Mungkin kita boleh mencadangkan Umno dengan pihak-pihak yang lain. Banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan Islam dan Melayu yang saya percaya masih mahu melihat perpaduan Melayu itu tercapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Promosi Perkayuan Malaysia - Galeri Glulam di sini hari ini.
  
Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai penafian Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa parti itu mahu bermuzakarah dengan Umno.
  
Penafian itu bercanggah dengan kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 16 Mei lepas, yang bersetuju Pas membuka pintu bermuzakarah dengan mana-mana NGO termasuk Umno, bagi mengusahakan sesuatu untuk kebaikan ummah dan negara.

"Bagi kami dalam Umno khususnya, memang kita sentiasa mengambil sikap terbuka dalam soal-soal berkaitan perpaduan ummah kerana kita percaya itu asas kekuatan bangsa dan agama kita," kata Muhyiddin.
  
Menurut beliau, sekiranya ada pihak lain yang bersedia untuk membincangkan perkara itu, ia merupakan satu langkah yang Umno akan sokong.
  
Menyifatkan Pas sebagai tidak mewakili majoriti Melayu atau Islam, Muhyiddin berkata Umno yang mempunyai keahlian yang terbesar jika digabungkan dengan NGO terbabit akan mengumpulkan jumlah yang besar bagi muzakarah tersebut.
  
Inisiatif itu, katanya, boleh mewujudkan satu persefahaman yang lebih meluas dalam membincangkan secara serius perkara-perkara yang menyentuh perpaduan, kebajikan, ekonomi, pendidikan, hubungan antara kaum dan peranan ke arah pembangunan negara.
  
Beliau mengalu-alukan NGO berasaskan Melayu atau Islam untuk melakukan inisiatif tersebut sama ada ditaja oleh NGO itu sendiri atau Umno.
  
Muhyiddin juga menyatakan beliau telah menerima pandangan daripada banyak NGO menyatakan rasa bimbang perpecahan ummah di negara ini dan mereka menyambut baik sekiranya ada usaha dibuat bagi meningkatkan perpaduan.
  
Beliau mengulangi, kalau ada individu atau badan yang berintegriti yang mementingkan soal perpaduan lebih daripada soal politik dan ingin mengadakan muzakarah tersebut, Umno bersedia untuk mengambil bahagian berbincang bersama-sama. - Bernama