Nik Aziz: Usah tangguh haji, Umno kena faham
Menjelang PRU 13
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata umat Islam, khususnya anggota Pas, yang berkemampuan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, tidak perlu mengambil kira bila Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan.

Beliau berkata, Rukun Islam kelima itu adalah kewajipan yang ditentukan ke atas umat Islam yang berkemampuan dan mereka yang berpeluang untuk menunaikan ibadah itu akan pergi sekiranya mereka tidak mengutamakan kepentingan politik daripada tuntutan agama.
  
"Pertimbangan untuk membuat pilihan pergi haji atau tidak terletak pada pilihan individu itu sendiri, bukan pertimbangan Mursyidul Am Pas, anggota Pas atau saya atau Perdana Menteri.
  
"Adalah tidak wajar kalau sampai giliran, seperti mengikut Tabung Haji, tetapi hanya kerana pilihan raya yang mereka sendiri tidak tahu bila tapi hanya dengar cakap Nik Aziz (Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) supaya jangan pergi, jadi dia tak pergi... mana yang lebih afdal," katanya kepada pemberita selepas majlis "Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri" di sini, hari ini.
  
Muhyiddin mengulas mengenai permintaan Pas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi jaminan supaya PRU13 tidak akan diadakan ketika musim haji tahun ini. - Bernama