Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) memberi jaminan pihaknya tidak akan menyalahgunakan kuasa jika menerajui Kerajaan Pusat kelak sebagaimana dikhuatiri dan didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin.

Sebaliknya, beberapa pemimpin PR yang dihubungi menegaskan kenyataan Dr Mahathir itu bukan sahaja tidak berasas, malah bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri itu "takut pada bayang-bayang sendiri."


Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, Dr Mahathir kemungkinan bimbang dan takut atas kesalahan yang dilakukannya dalam tempoh pemerintahan kerajaan dahulu.


"(Dr) Mahathir takut kemungkinan beliau buat salah ketika memimpin dulu dan akan dikenakan tindakan apabila PR memerintah kelak.


"Beliau juga takut akan dihumban ke dalam penjara disebabkan salah guna kuasanya ketika menjadi Perdana Menteri dulu," kata beliau merujuk kepada tempoh pemerintahan selama 22 tahun.


Dalam entri blognya, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau tidak takut jika PR menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tetapi beliau takut kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh pakatan itu - antara lain membawa pertuduhan palsu dan menyumbat bekas pemimpin dalam penjara walaupun tidak bersalah.


Dr Mahathir menjangkakan nasib yang dialami bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Libya, Muammar Gaddafi. Semalam bekas Presiden Tunisia dihukum penjara seumumr hidup.


Muammar terbunuh dalam operasi memburu beliau akhir tahun lalu.


Sementara itu, Mahfuz juga berkata, PR tidak akan salah gunakan kuasanya dan akan menyerahkan apa juga kesalahan yang dilakukan kepada pihak perundangan tidak kira sama ada masyarakat awam, pemimpin parti kerajaan atau pun pembangkang.


"PR tak akan salah gunakan kuasa, kami akan serahkan kepada undang-undang untuk tentukan siapa yang bersalah.


"Kami akan ambil tindakan tidak kira siapa termasuklah rakyat biasa, pemimpin parti kerajaan ataupun pembangkang dengan adil," kata beliau Sinar Harian Online.


Katanya lagi, Dr Mahathir hanya ingin meraih simpati rakyat dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu dan sekali gus menggambarkan Umno akan hilang kuasa pada PRU13.


"Saya harap rakyat akan lebih bijak menilai dalam memilih pemimpin yang lebih baik pada masa hadapan dalam mengemudi negara," tambah Mahfuz.


Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, PR tidak akan melakukan salah guna kuasa seperti mana didakwa Dr Mahathir.


Katanya, mereka akan mentadbir kerajaan mengikut undang-undang yang betul.


"Sesebuah pentadbiran dan pemerintahan memerlukan undang-undang yang adil dan saksama.


"Kita juga perlu bukti yang kukuh untuk membawa sesiapa sahaja ke mahkamah apabila mereka bersalah. Mahkamah juga perlu benar-benar bebas dan adil," katanya lagi melalui SMS.


Menurutnya, rakyat memerlukan kerajaan yang bersih dan amanah dalam membentuk sesebuah pemerintahan kelak.


Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, keyataan Dr Mahathir tidak berasas dan ada kemungkinan beliau bimbang serta takut atas kesalahan semasa era kepimpinan beliau.


Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Oktober 2003 dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bersara pada April 2009.


"Itu adalah satu tohmahan yang tidak berasas oleh Dr Mahathir kepada PR.


"Kenapa mereka (Barisan Nasional) perlu takut dan mengambil contoh pemimpin Mesir yang ditahan? Adakah mereka telah menyembunyikan sesuatu ketika pemerintahannya?" kata Fuziah.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan menyarankan supaya Perdana Menteri keempat itu supaya tidak perlu bimbang kerana PR akan mengikut nas undang-undang yang betul dan sah seperti yang termaktub di bawah akta yang sedia ada.


"Kami tidak akan memerintah dengan cara yang salah, kami akan ikut undang-undang yang betul dan saksama. Mereka tak perlu takut jika mereka tidak bersalah," katanya lagi.


Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, Dr Mahathir takut dengan bayang-bayang sendiri, kemungkinan disebabkan beliau banyak melakukan penyalahgunaan kuasa di era pemerintahnya.


"Kami rasa Mahathir takut dengan bayang-bayangnya sendiri kerana beliau yang banyak melakukan perkara itu semasa memerintah dahulu.


"Kami yakin PR akan menang dalam PRU13 akan datang," katanya sambil menambah, jika PR menang pihaknya akan membuka semula siasatan terhadap bekas pemimpin kerajaan terdahulu sepertimana kerajaan Barisan Nasional (BN) menyiasat pemimpin PR sebelum ini.


"Kami akan bawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan dan mengenakan tindakan walaupun pada pemerintahan kerajaan sekarang mereka tidak ada kes untuk disiasat," kata Zuraida.


Pengerusi jawatankuasa disiplin DAP, Tan Kok Wai mendakwa Dr Mahathir berada dalam keadaan bimbang atas perbuatannya ketika memerintah negara dahulu.


"Kebimbangan dirasai beliau disebabkan oleh perasaan takut terhadap kesalahan yang dilakukannya pada masa lalu," katanya.


Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras, menasihatkan Dr Mahathir supaya tidak terlalu bimbang sekiranya beliau tidak bersalah kerana PR akan bertindak mengikut lunas perundangan.