adnan yaakob
$entry.content.caption.value
BATU PAHAT - Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Adnan Yaakob menyeru rakyat negara ini supaya lebih bijaksana dalam menapis segala maklumat yang diperoleh melalui media sosial.
  
Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang berkata dalam era teknologi maklumat yang semakin canggih kini, maklumat disebar dengan pantas mengikut masa sebenar sehingga ada maklumat tidak benar dan fitnah tersebar luas terutama yang dilakukan pembangkang.
  
"Sekarang ini dunia dah terbalik, kepalsuan jadi kebenaran, yang benar pula orang anggap palsu.
  
"Dalam keadaan demikian, fitnah, propaganda dan pembohongan pembangkang tersebar dan menjadi semakin melampau dan sedikit sebanyak kalau rakyat tidak terpengaruh, mereka akan terkeliru," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Umno Bahagian Batu Pahat di sini, yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian berkenaan, Dr Mohd Puad Zakarshi yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Sehubungan itu, Adnan yang juga Menteri Besar Pahang meminta rakyat supaya menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan dalam menimbang kebenaran dan kewajaran sesuatu maklumat itu.

  
Terdahulu, dalam ucapannya beliau mengingatkan anggota Umno supaya memperbaiki kelemahan diri dan menghapuskan perasaan lagak kerana ia antara punca parti itu hilang sokongan pada Pilihan Raya Umum 2008.
  
"Salah satu yang menjatuhkan parti kita adalah lagak orang Umno sendiri. Jadi analisa balik kelemahan dan kekurangan kita. Sebagai seorang anggota parti, kita perlu rangkul semua orang, bukan hanya ahli Umno.
  
"Kita perlu dekati mereka terutama golongan muda supaya mereka tidak segan dengan kita. Singgah, luang masa dan sertai mereka main futsal atau gotong-royong," katanya.
  
Anggota Umno juga diingatkan tidak bertindak mengenepikan sesiapa kerana parti memerlukan semua undi menghadapi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, katanya. - Bernama