FARUSH KHAN
$entry.content.caption.value
 
MASA Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat buat cadangan supaya Johor mempelopori perlaksanaan hukum hudud sebulan lalu, hampir tidak ada orang Umno muncul buat komen.

Saya tidak berani buat andaian apakah masa itu Adun muda berpandangan jauh itu seram sejuk disebabkan suasana dingin terhadap cadangannya yang mantap, menarik perhatian ramai, namun luar biasa itu.


Apatah lagi, hamburan kemarahan terawal datang daripada MCA. Adun Umno itu kononnya menimbulkan isu perlaksanaan hudud semata-mata kerana kering idea.


Kalau ingatan saya masih kuat, rasanya ada yang kata, jika mahu laksana hudud, lebih baik keluar Umno dan masuk parti lain.


Apakah ada dalam kalangan rakan partinya sendiri yang berbisik kepada Ayub mengenai implikasi cadangannya itu, beliau sahaja yang tahu. Rasa-rasanya ada. Jika tidak masakan, selepas membuat idea lain daripada yang lain itu, beliau terus bungkam.


Tetapi boleh jadi juga betul seperti apa yang difahamkan; beliau tidak mahu publisiti.


Apa pun, beliau boleh berasa lega kerana sudah menjalankan tanggungjawabnya.
Wallahualam!

Hari ini sudah ramai bersedia bercakap menyuarakan sokongan secara terbuka dan sungguh-sungguh. Yang menarik, banyak sokongan dan cadangan itu datang daripada orang Umno sendiri.


Pas tidak banyak membuat komen lagi mengenai cadangan Ayub itu, saya kira, bukan kerana tidak menyokong usaha Umno untuk menjadikan perlaksanaan hukum hudud itu suatu realiti atau dengki dengan kemungkinan penghargaan atau sokongan politik yang boleh diraih parti pemerintah itu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, tetapi mahu tunggu dan lihat.


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada hari Sinar Harian menyiarkan laporan mengenai cadangan Ayub itu, sudah terus ucap tahniah kepada Umno atas usaha yang Pas sendiri uar-uarkan sejak bertahun-tahun lamanya, tetapi tidak mampu melaksanakan kerana apa yang dianggap sebagai kekangan dan halangan.


Bagi Nik Aziz, siapa laksanakan tidak penting, yang penting, hukum ALLAH perlu ditegakkan. Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib pula memberi jaminan Pas akan membantu Umno melancarkan proses perlaksanaan hukum hudud sekiranya dikehendaki.


Kini nampaknya dalam kalangan pemimpin Umno sendiri sudah ada yang lebih berani mengorak langkah dalam isu pelaksanaan hukum hudud.


Jika berdasarkan laporan, suara positif ke arah perlaksanaan hudud semakin rancak di peringkat pertengahan parti pemerintah itu. Tidak nampak seperti mahu main-main.


Wanita Umno di kawasan Pak Lah sendiri nampaknya muncul sebagai kumpulan pertama dari Pulau Pinang yang menunjukkan reaksi positif. Ketua Wanita Umno Kepala Batas, Zabariah Wahab dilaporkan berkata, usul menyokong perlaksanaan hudud di negara ini - bukan setakat di Johor - yang dibawa dalam mesyuarat perwakilannya baru-baru ini, diluluskan sebulat suara.


“Usul ini akan dipanjangkan kepada kepimpinan Wanita Umno Malaysia dan negeri untuk rujukan dan tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.


Suara Adun Bertam itu mirip dengan nada Nik Aziz.


“Tidak timbul hudud Pas atau hudud Umno. Hukum ALLAH hanya satu dan semua perlu patuh,” katanya.


Puteri Umno turut menyuarakan sokongan. Ia melihat desakan pembangkang dan cadangan orang Umno sendiri sebagai langkah yang baik.


Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berpendapat Umno perlu bersedia ke arah kesempurnaan perlaksanaan hudud dan berusaha memberikan kefahaman kepada masyarakat majmuk Malaysia.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, yang banyak menjaga hal-hal kepentingan agama, juga jelas menyokong cadangan Ayub.


Cuma beliau berpendapat Malaysia masih kekurangan prasarana untuk melaksana undang-undang Islam itu.


Kini, perhatian ramai adalah apakah Umno mahu memulakan proses ke arah perlaksanaan hukum hudud di negara ini bersendiri atau mendapatkan kerjasama Pas atau menangguhkan proses tersebut untuk mengkaji dahulu riak masyarakat di negara majmuk ini?


Apa pun, kini bola berada di kaki Umno. Apakah ia hendak menjaringkan gol, menggelecek sahaja di padang, atau menghantarkannya keluar padang?


Terpulang. Tepuk dada tanya iman.