Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 
MARANG – DAP berhak menyatakan pendirian termasuk tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penolakan DAP terhadap undang-undang Islam terutama oleh Pengerusinya, Karpal Singh bukan sesuatu yang menghairankan kerana Karpal dan majoriti ahli serta pemimpin DAP  bukan beragama Islam.


Dalam nada sinis, Abdul Hadi berkata, Umno yang hampir kesemua ahlinya beragama Islam, pun juga sudah lama menolak hudud.


“Umno menentang hudud dalam keadaan dia (Umno) ada kuasa (membenarkan atau tidak hudud dilaksanakan). DAP tidak ada kuasa dan yang ada kuasa adalah Barisan Nasional (BN).


(Dengan kuasa yang ada padanya) Kerajaan Pusat pernah hantar surat kepada Kerajaan Kelantan, jika Kelantan laksanakan hudud, Kerajaan Pusat akan bertindak.


Selepas itu, kes (hudud) pernah dibawa ke mahkamah. DAP belum pernah bawa hudud ke mahkamah. Umno tolak hudud sebelum Pas berpakat dengan DAP lagi,” katanya di sini, semalam.


Menurut Abdul Hadi, itu jelas menunjukkan bahawa isu penolakan hudud oleh DAP semata-mata digembar gembur oleh media tertentu untuk menunjukkan kepada rakyat seolah-olah berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR).


"Kita kesal kerana gembar-gembur seperti ini sekali gus memberikan gambaran buruk terhadap Islam sendiri," katanya.


Meskipun demikian, kata Abdul Hadi, sebagai rakan sekutu dalam PR yang memperjuangkan pemerintahan Islam, Pas akan terus berusaha menjelaskan kepada pemimpin DAP termasuk Karpal mengenai prinsip keadilan dalam undang-undang jenayah Islam itu.


"Orang bukan Islam, dia tidak tahu, jadi tanggungjawab kita untuk terang pada dia," katanya.


Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pernah dilaporkan berkata, individu pertama menghalang Kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir  Mohamad, bukan Karpal Singh.


Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Islam menerangkan kepada bukan Islam mengenai hudud dan aspek keadilan sosial dalam agama suci itu namun kerajaan yang ditunjangi Umno  ebaliknya tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemerintah yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan syariat ALLAH.


“Kena ada negara Islam yang betul-betul melaksanakan syariat, yang menunjukkan Islam adil kepada semua orang. Baru tahu siapa lawan, siapa kawan. Umno tidak menunjukkan contoh yang baik tetapi Umno sering memberikan gambaran buruk mengenai Islam dalam menyatakan penolakannya terhadap perjuangan Pas.


“Pemimpin Umno merosakkan wajah Islam sehingga ada orang Islam sendiri menganggap politik suku agama suku. Parti itu juga menganggap pentadbiran tidak ada kena-mengena dengan agama, buat rasuah kemudian pergi umrah,”  katanya.


Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin Umno menunjukkan contoh yang baik dalam memberikan kefahaman mengenai Islam sebenar yang diajar oleh Nabi Muhamad SAW kepada orang Islam sendiri, juga kepada bukan Islam.


Dalam kenyataan disiarkan Sinar Harian semalam, Dr Mahathir menafikan anti Islam seperti yang didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak melaksanakan hukum hudud pada zaman pemerintahannya.


Menurutnya, ketika era pentadbirannya, Malaysia sudah diisytiharkan sebagai negara Islam dan beliau tidak bersetuju dengan hudud yang dituntut Pas dan tindakan itu tidak boleh disamakan dengan DAP.