Anuar
Anuar
SHAH ALAM - Pentadbiran Universiti Selangor (Unisel) diurus secara profesional tanpa sebarang campur tangan politik.

Pemangku Naib Canselornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, tidak wujud tekanan politik seperti didakwa sesetengah pihak walaupun  lembaga pengarah universiti dianggotai beberapa pemimpin politik.


Katanya, pentadbiran dan operasi universiti berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan keputusan dibuat secara realistik oleh pengurusan kerana penglibatan ahli lembaga pengarah hanya terhad kepada aspek dasar dan pembangunan infrastruktur di Unisel.


"Unisel ini 'zero' politik.  Walaupun dalam BOD (ahli lembaga pengarah) ada orang politik, mereka tidak terlibat dalam urusan pentadbiran dan akademik. Tidak pernah ada arahan sama ada daripada BOD atau MB (Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) untuk saya lakukan. 


Apa yang  saya buat adalah untuk pentadbiran dan kecemerlangan akademik. Lagipun, pelantikan mereka berdasarkan kepakaran yang mereka miliki.

“Saya tidak tertekan (oleh politik), sebab sebagai (pemangku) NC saya tidak pernah diganggu untuk melaksanakan program dan pembangunan akademik," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kampus Unisel, Seksyen 7 di sini, semalam.


Untuk rekod, pemimpin politik yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Unisel adalah Ahli Parlimen Hulu Langat daripada Pas, Dr Che Rosli Che Mat; Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin; Exco Kerajaan Negeri (Pas), Dr Halimah Ali dan Ahli Parlimen Merbok daripada PKR, Datuk Rashid Din.


Anuar juga menegaskan, dakwaan tersebut hanya satu persepsi rentetan beberapa siri kontroversi membabitkan universiti yang kemudiannya digembar-gemburkan pihak berkepentingan politik.


"Persepsi itu tidak betul sama sekali. Untuk makluman, ahli lembaga pengarah langsung tidak ada kena mengena dengan operasi (universiti), tanggungjawab mereka hanya tertumpu kepada membuat dasar. Peranan mereka hanya terarah kepada pembangunan infrastruktur universiti dan kelulusan program pengajian baru di beberapa fakulti.


"Mereka juga akan lihat akaun kita, berapa duit masuk, jumlah perbelanjaan untuk bayar gaji (kakitangan), berapa pendapatan universiti berdasarkan kadar yuran pengajian, berapa banyak yang kita belanjakan, itu sahaja," katanya.


Menurutnya, walaupun dihimpit pelbagai kontroversi, beliau tetap selesa menguruskan pentadbiran universiti malah berterima kasih dengan peranan cukup efektif ahli lembaga pengarah dalam melancarkan tugas diamanahkan.


Mengulas kontroversi terbaru Unisel dengan syarikat pengurusan asrama pelajar, Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), Anuar berkata, universiti mampu membayar tunggakan hutang RM15 juta kepada syarikat swasta itu.


"Isnin ini ada sesi dengan jawatankuasa timbang tara yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Mohamed Khusrin Munawi), kita tunggulah. Apa pun kita mampu bayar Jana Niaga, Unisel bukan tidak ada duit, tetapi isu di sini ialah perjanjian yang berat sebelah,” katanya.