Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
 
SHAH ALAM - Pas menerima secara terbuka kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan kesediaan berunding dengan Kelantan berhubung isu royalti minyak.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tiada  sebarang masalah untuk berbincang mengenai soal royalti minyak kerana pihaknya sendiri sudah lama berhasrat untuk memulakan sesi perbincangan secara rasmi, namun tidak disambut oleh Kerajaan Pusat satu ketika dahulu.


“Kami sedia dan menerima apabila Perdana Menteri sendiri sudah bersetuju untuk memulakan rundingan, tetapi kalau boleh tiada orang tengah atau sekadar menghantar wakil untuk melakukan perbincangan,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.


Nik Aziz awal pagi tadi memberitahu yang Perdana Menteri menghantar surat kepada beliau semalam.


"Surat ini diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya," kata Nik Aziz.


Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara tersebut.


Sehubungan itu, Salahuddin berharap rundingan diadakan di antara Nik Aziz sendiri bersama Perdana Menteri sahaja.


“Saya juga berharap agar persetujuan Najib untuk mengadakan perbincangan ini, bukan bermotifkan politik semata-mata,” ulas Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.


Beliau secara sinis turut menambah yang perbincangan ini harus secara jelas dan komited, bukan sekadar “sembang minum kopi” saja.


“Matlamat perbincangan harus jelas dan tepat,” tambah beliau.


Tambah beliau, rundingan mestilah diadakan secara serius dan isu pemberian royalti ini harus diselesaikan secepat mungkin sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.


Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali turut menyambut baik hasrat Perdana Menteri yang sudah bersedia membuat rundingan berhubung pemberian royalti minyak kepada negeri Kelantan.


“Kami telah lama meminta rundingan secara rasmi dilakukan. Tetapi permintaan mendapat sambutan dingin daripada kerajaan pusat,” kata Mustafa.


Menurutnya lagi, tindakan Perdana Menteri ini menggambarkan yang beliau telah sedar kesilapan lalu dan cuba untuk memperbaiki keadaan.


“Perbincangan mesti serius, jangan sekadar mahu mengambil hati rakyat Kelantan saja,” tegas beliau.