Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar berhubung operasi air di negeri ini tanpa persetujuan Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Syabas perlu menerangkan kepada jawatankuasa tersebut mengenai perkara berkaitan dan jika jawatankuasa bersetuju baru langkah seterusnya diambil.


“Syabas tidak lagi dibenarkan membuat kenyataan akhbar mengenai operasi air ini melainkan mendapat persetujuan Kerajaan Negeri sebab mengikut perjanjian, Syabas ialah operator pengendalian air kepada Kerajaan Negeri.


“Ini kerana, Kerajaan Negeri dalam perjanjian tersebut adalah pengarah kawal selia air yang bertanggungjawab menyelia tentang Syabas. Oleh sebab itu, kita sekarang enforce back the arrangement in that agreement’,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, semalam.


Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Pemantauan Syabas yang ditubuhkan Kerajaan Negeri dan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi akan mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari selepas selesai mengadakan mesyuarat harian dengan pengurusan Syabas.


Abdul Khalid berkata, langkah tersebut bertujuan memaklumkan perkembangan terkini tentang status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Beliau berkata, cara itu membuktikan Kerajaan Negeri sangat telus dalam menangani isu pembekalan air demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik dan setimpal dengan kadar tarif air yang dibayar.


“Kerajaan Selangor komited untuk mengambil alih syarikat konsesi menerusi kaedah penyusunan semula yang merupakan jalan terbaik untuk menguruskan industri perkhidmatan air di Selangor dan Lembah Klang.


“Kerajaan Negeri dari masa ke semasa membawa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masuk dalam perbincangan ini terutama dari segi kos pembaikan paip dan loji pembersihan air,” katanya.