GOMBAK - Seorang tahanan polis yang meloloskan diri dari Kompleks Mahkamah Selayang mati ditembak ketika cuba menyerang seorang anggota polis di loji air Puncak Templer dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, suspek berumur 26 tahun dipercayai melonggarkan gari di tangannya ketika pergi ke tandas selepas polis berjaya mendapatkan lanjutan tahanan reman ke atasnya selama enam hari.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata suspek meloloskan diri ketika sedang menaiki lori polis pada pukul 11.30 pagi ketika dia hendak dibawa ke lokap tahanan.


"Suspek telah melarikan diri melalui jalan belakang di kompleks mahkamah dan telah bersembunyi di bangunan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersebelahan kompleks mahkamah serta sempat menukar pakaian lokap kepada pakaian kontraktor Syabas di stor.


"Suspek turut mengambil sebilah parang panjang sebelum melarikan diri ke loji air Puncak Templer," katanya kepada ketika dihubungi.   


Beliau berkata polis telah menjalankan Ops Tutup untuk mengesan suspek selepas suspek melepaskan diri sebelum seorang anggota polis terserempak dengan suspek di loji air Puncak Templer.


"Suspek yang panik telah bertindak ganas dengan cuba menyerang anggota polis berkenaan dengan parang dan polis terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan tiga das tembakan," katanya.


Abd Rahim berkata suspek yang terkena tiga das tembakan di perut mati di tempat kejadian.


Katanya mayat suspek yang sebelum ini aktif terlibat dalam beberapa kes samun berkawan dan curi kereta di sekitar Rawang dan Kepong dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. - Bernama