Taib: Sarawak akan bincang semakan royalti minyak dengan kerajaan pusat
Abdul Taib Mahmud
KUCHING - Kerajaan negeri akan berbincang dengan kerajaan pusat mengenai keperluan untuk menyemak semula kadar semasa lima peratus royalti petroleum yang dibayar kepada Sarawak berdasarkan hubungan rapat sedia ada antara kedua-dua pihak, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
  
Sambil bersetuju bahawa pemimpin negeri daripada pihak kerajaan dan pembangkang di negeri itu mencapai kesepakatan berhubung isu itu, beliau berkata kedua-dua pihak perlu duduk berbincang mengenainya.
  
Katanya ini lebih-lebih lagi susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
  
"Perkara ini akan dibincangkan dengan kerajaan pusat berdasarkan hubungan baik saya dengan perdana menteri," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya beliau di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini.
  
Awal bulan ini, Najib mengumumkan bahawa jawatankuasa itu diberi enam bulan untuk mengkaji perkara itu sebelum membuat cadangan kepada kerajaan pusat, yang akan menamatkan segala persoalan yang menyelubungi isu pembayaran royalti.

Bagaimanapun beberapa pemimpin politik di negeri ini berpendapat semakan semula royalti petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu perlu merangkumi Sarawak dan Sabah memandangkan kedua-dua negeri berkenaan adalah penyumbang utama pengeluaran petroleum negara.

  
Naib Pengerusi Wanita Barisan Nasional Sarawak Datuk Fatimah Abdullah dipetik sebagai berkata sudah tiba masanya perjanjian mengenai bayaran lima peratus royalti minyak itu disemak semula memandangkan kadar itu dibuat lebih dari empat dekad lepas.
  
Selain itu, Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng pula berkata menjadi tanggungjawab kerajaan pusat untuk menjaga kepentingan kedua-dua negeri agar berada pada kedudukan yang setara dengan negeri di Semenanjung. - Bernama