SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah membidas penganjuran Himpunan Janji Bersih pada malam 30 Ogos ini sambil menytifatkan langkah itu mengganggu kelancaran sambutan Hari Kemerdekaan.
Katanya, kelicinan sambutan Hari Kemerdekaan tidak sewajarnya diganggu dengan aktiviti bercorak politik yang sedemikian.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menegaskan, sambutan Hari Kemerdekaan sebagai program negara bukan program politik.

Melalui mesej Twitter yang dihantar kira-kira jam 1 tengah tadi, Saifuddin menulis:
"Sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka adalah program negara. Ia bukan program politik. Usahlah ganggu kelicinan sambutannya."
Mesej itu dipanjangkan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin serta lebih 40 orang pengikut Saifuddin, yang mengambil pendirian yang sama.
"Hari Kemerdekaan ada matlamat tertentu. Ia bukan program politik. Ia program negara. Jadi tidak wajar jika ada pihak yang menggunakan hari tersebut untuk tujuan lain," kata Saifuddin ketika dihubungi Sinar Harian Online untuk mendapatkan pandangan susulan.
Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO)akan mahu menganjurkan Himpunan Janji Bersih sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 berhubung dengan lapan tuntutan Bersih 2.0.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said mengumumkan bakal mengadakan perhimpunan Janji Bersih pada jam 10 malam di Dataran Merdeka, semalam.


Menurutnya, tujuan utama himpunan ini adalah untuk membawa mesej rakyat yang mahukan Malaysia menjadi negara bersih dan adil.


Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh mengakui mesej twitternya itu dituju kepada penganjur Bersih 2.0.


Saifuddin juga melahirkan rasa kecewa berhubung keputusan yang dibuat penganjur, dilihat tidak wajar diadakan pada malam menjelang  sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka.


Beliau menyifatkan sambutan kemerdekaan sebagai cara untuk merayakan pembebasan negara daripada penjajah dan ucapan terima kasih kepada pengasas negara serta pejuang yang telah berjuang untuk negara.

Tambahnya, sambutan ini juga untuk meningkatkan semangat patriotik rakyat.

"Kenapa mesti di Dataran Merdeka? Kenapa mesti pada tarikh itu? Kenapa mereka mengambil kesempatan ketika tempat itu sudah dipersiapkan untuk sambutan keesokan paginya?"


"Dalam suasana kita berkumpul di Dataran Merdeka untuk menyambut merdeka, memang kita jemput semua rakyat tetapi mereka berkumpul dengan niat apa?" kata Saifuddin.

Saifuddin turut mengakui langsung tidak menjangka rakyat Malaysia akan bertindak sedemikian rupa.

"Saya menyeru kepada mereka supaya janganlah buat perhimpunan itu pada malam tersebut di situ (Dataran Merdeka), namun saya tidak kata boleh dibuat di tempat lain," katanya.