Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Fatuhakkkk !

Surat Terbuka Kepada Majlis Fatwa

0
0
  
Print Friendly





Sebagai warga Malaysia yang beragama Islam, saya menganggap Majlis Fatwa dalam sebuah negara Islam adalah sangat penting, berperanan menjelaskan hukum-hakam Allah SWT tentang permasalahan masyarakat umumnya dan umat Islam khususnya, serta menjelaskan penyelesaiannya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Ia bagi menghindarkan sebarang kekeliruan dan salah faham yang boleh mengakibatkan perselisihan dan pertikaian pendapat di antara sesama mereka yang sangat buruk kesannya.

Tetapi, dengan terus-terang, dan terlebih dahulu memohon maaf sebanyak-banyaknya, saya terkejut dan kecewa membaca berita fatwa mengharamkan demonstrasi Bersih 3.0, yang menuntut pilihan raya adil dan bebas.

Setiap warga, bahkan kebanyakan masyarakat antarabangsa, mengetahui bahawa siri demonstrasi Bersih semata-mata menuntut supaya kerajaan Malaysia tidak mencabuli atau memperkosa hak mereka yang sah, sama ada mengikut Perlembagaan atau pun mengikut ajaran Islam.

Jika hak untuk memilih pemimpin yang mereka percayai tidak dihalang dengan pelbagai macam cara yang keji dan zalim, mereka tidak akan keluar bersusah payah berdemonstrasi dan memikul risiko berdepan keganasan polis, yang disalahguna kerajaan.



Semua mengetahui tuntutan lapan perkara mereka:

1. Pembersihan senarai pengundi berdaftar.
2. Mereformasi undi pos.
3. Penggunaan dakwat kekal.
4. Tempoh berkempen minimum 21 hari.
5. Akses media yang bebas dan adil.
6. Pengukuhan institusi awam.
7. Hentikan rasuah.
8. Hentikan politik kotor.


Dalam Bersih 3.0 terdapat tiga tuntutan tambahan:

1. Suruhanjaya Pilihan Raya mesti meletak jawatan, terutama sekali atas kegagalannya melaksanakan tanggungjawab dan telah kehilangan kepercayaan umum.

2. Proses pilihan raya mesti dibersihkan sebelum PRU13.

3. Menjemput pemerhati antarabangsa untuk meneliti proses PRU13.

Tidak satu pun daripada perkara yang mereka tuntut itu yang bukan hak mereka sebagai warganegara, dan ia diakui Perlembagaan dan agama. Semua itu bukan hanya tuntutan peserta siri demonstrasi tetapi juga tuntutan seluruh rakyat. Hanya orang yang buta hati yang tidak mahu memahaminya.

1. Memasukkan orang yang tidak berhak mengundi, seperti orang mati, tidak wujud dan warga asing yang diberi Mykad sebagai pengundi adalah perbuatan khianat yang membahayakan keselamatan negara dan bangsa, yang jelas dilarang agama.

Perbuatan tersebut, selain membahayakan, juga merupakan perbuatan merompak atau merampas hak setiap warga Malaysia untuk menentukan nasib dan memilih orang yang dipercayai bagi mewakili mereka, sama ada di Parlimen atau di Dun.

Wakil rakyat yang terpilih dengan cara penipuan itu jelas terpilih secara haram. Maka seluruh gaji dan elaun juga hukumnya haram. Apa yang dimakan oleh mereka dan anak isteri adalah daripada hasil haram.

Orang yang terpilih secara haram itu tidak boleh dianggap wakil rakyat Malaysia, tetapi adalah wakil pendatang asing. Dengan memaksakan rakyat menerima senarai pengundi yang penuh dengan warga asing, bererti kerajaan Umno dan talibarutnya ingin memaksakan ke atas seluruh rakyat Malaysia menerima kerajaan haram yang dianggotai menteri-menteri yang bukan terdiri daripada wakil-wakil pilihan rakyat yang sah. Ia penjajahan versi baru, rekaan Umno-Bn.

2. Mengenai undi pos, semua mengetahui bahawa selama puluhan tahun ia dimanipulasi untuk memenangkan calon Umno-Bn. Tidak sedikit calon Umno-Bn yang menang dengan sebab undi pos. Pertambahan undi pos yang terlalu besar dan menjolok mata menunjukkan ketidakwajaran(baca: kezaliman) yang tidak boleh diterima.



3.Tuntutan menggunakan dakwat kekal kerana kewujudan pemilih yang mengundi lebih daripada satu kali.

4.Tempoh berkempen yang dituntut adalah wajar, kerana kebanyakan negara, seperti India, Indonesia, Thailand dan lain-lain menetapkan tempoh berkempen yang lebih lama. Tempoh berkempen yang ditetapkan kerajaan terlalu singkat dan zalim. Umno-BN dari sekarang sudah mulai berkempen melalui media arus perdana, yang sebenarnya milik semua rakyat, sedangkan partai pembangkang tidak diberi kesempatan sama sekali.

5.Justeru, tuntutan akses media yang bebas dan adil bagi media arus perdana merupakan tuntutan yang adil. Semua parti yang bertanding berhak menuntutnya, kerana ia bukan milik Umno-BN secara khusus.

6.Tuntutan pengukuhan institusi awam agar ia tidak dimanipulasi sebagai jentera kempen Umno-BN adalah tuntutan yang adil dan wajar kerana institusi awam adalah milik kerajaan, dan gaji semua kakitangannya dibayar rakyat, dan bukan Umno-BN.

7.Rasuah adalah perbuatan keji yang dikutuk agama. Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Allah melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah, dan juga yang menjadi perantara antara keduanya.” Rasulullah juga bersabda, maksudnya: “Orang yang menerima dan memberi rasuah akan dimasukkan ke dalam neraka.”



8. Setiap manusia yang berakal dan beragama mengutuk politik kotor yang dilakukan secara terang-terangan tanpa adanya perasaan malu.

9.Tuntutan agar SPR meletakkan jawatan adalah tuntutan yang wajar dan adil. Pengerusi, Timbalan dan seluruh kakitangan SPR, begitu juga Jabatan Pendaftaran Negara, polis dan seluruh kaki tangan kerajaan sepatutnya tidak mengkhianati rakyat. Rakyatlah sebenarnya yang membayar gaji dan pelbagai imbuhan serta elaun mereka, bukannya Umno-BN. Semua yang mereka terima hanya halal hukumnya, jika mereka tidak mengkhianati rakyat yang membayarnya.

10. Tanpa pembersihan daftar pengundi daripada nama pengundi haram, PRU13 akan berubah menjadi “Pemaksaan atau Penipuan Raya Umno-BN”, bukan pilihan raya umum lagi.

11.Kewujudan pemerhati antarabangsa akan menjadi bukti ketelusan pilihan raya, sebaliknya penolakan kewujudan mereka menjadi bukti keazaman untuk Umno-BN terus menipu.

Jika perkara semacam itu tidak tersembunyi bagi kebanyakan orang awam, seperti saya, tentunya mustahil kalau ia tersembunyi atau tidak disedari oleh semua anggota Majlis Fatwa, yang di antara syarat keanggotaannya adalah kepakaran khusus dalam bidang agama, terutama dalam bidang hukum-hakam syariat.



Kalaulah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau beberapa mantan Ketua Polis Negara turut mengutuk demonstrasi, kami tidak merasa terkejut atau hairan, mengingati mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Seharusnya Dr Mahathir, yang sudah berumur lebih lapan puluh tahun, yakni di penghujung umur, memahami dan beriman bahawa semua manusia pada hari kiamat nanti akan dihisab seluruh amalannya.

Juga memahami bahawa setiap orang bukan hanya akan memikul dosa orang lain yang menirunya, seperti dilakukannya sendiri, tetapi juga akan memikul dosa orang lain yang menirunya, seperti fitnah liwat atau zina yang direka untuk menjatuhkan lawan politik, menyalahgunakan polis, kehakiman dan mahkamah untuk kepentingan politik peribadi dan untuk menzalimi lawan politik, memasukkan warga asing sebagai pengundi di Sabah dan lain-lain, yang kini semua rekaan beliau itu diikuti oleh muridnya PM Dato’ Seri Najib Razak, dan mungkin oleh orang lain selepasnya.

Ini berdasarkan maksud sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan Muslim, Tirmidzi, Nasa’le, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad bin Hanbal:

“Sesiapa yang memulakan jalan atau perbuatan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan juga pahala orang-orang yang mengikutinya (beramal dengannya) selepasnya, tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun juga. Dan sesiapa yang memulakan jalan atau perbuatan yang buruk, atau jahat dalam Islam, maka baginya dosanya dan juga dosa orang-orang yang mengikutinya (beramal dengannya) selepasnya, tanpa dikurangi daripadanya dosa-dosa mereka sedikit pun juga.”

Kalaulah beliau betul-betul beriman kepada adanya kehidupan akhirat yang berkekalan dan adanya hisab dan balasan amalan, tentulah beliau tidak akan mendukung segala tindakan Najib, yang bererti kerja menambahkan senarai dosa atau beban sendiri.

Tentunya beliau tidak akan menyibukkan diri kecuali dalam usaha mencari jalan membersihkan diri dengan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah SWT, dan kerja-kerja lain untuk mengurangi dosa dan menambahkan amal kebajikan sebelum tiba ajal.

Allah SWT telah memberi peluang untuk itu kepada beliau dengan dipanjangkan umurnya. Semoga beliau menyedari dan tidak menyia-nyiakan peluang tersebut.

Dengan penuh kerendahan hati saya menulis surat terbuka ini kerana terdorong perasaan kewajiban melaksanakan amar makruf dan nahi munkar, disamping keinginan yang sangat besar untuk melihat perubahan keadaan negara tercinta ke arah perkembangan yang jauh lebih baik melalui proses pilihan raya adil, bebas dan bersih daripada segala penipuan dan politik kotor.

Sebagai salah seorang daripada jutaan warganegara yang beragama Islam, saya memahami bahawa mengikuti ajaran Islam, di antara syarat kepimpinan yang diperlukan untuk seseorang diangkat sebagai Imam, Ketua Negara atau Perdana Menteri adalah — selain memiliki sifat-sifat jujur, amanah, warak, memahami hukum-hakam syariat dan lain-lain — tidak terlibat atau diragukan terlibat dalam sebarang jenayah rasuah, korupsi, pembunuhan dan lain-lain.

Walaupun kita tidak boleh menuduh seseorang tanpa bukti, tetapi bolehkah kita mendukung seseorang yang diragukan ratusan ribu rakyat, dan bahkan oleh sebahagian masyarakat antarabangsa, bahawa PM Malaysia terbabit dengan hal itu?

Bolehkah kita mempercayakan nasib bangsa dan anak cucu kita, bahawa mereka akan hidup aman dan sejahtera, bebas daripada segala macam penindasan di bawah kerajaan pimpinannya?

Bolehkah kita memejamkan mata dan telinga daripada melihat dan mendengar apa yang berlaku di sekeliling kita?

Mudah-mudahan kita tidak termasuk ke dalam apa yang difirmankan Allah SWT, dalam surah Al-Isra, ayat 72, maksudnya:

“Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat nanti ia akan buta dan tersesat jauh dari jalan kebenaran.”

Saya juga ingin menyampaikan peringatan Allah SWT (surah Hud ayat 113), maksudnya:

“Dan janganlah kamu memihak kepada orang-orang yang zalim yang menghakibatkan kamu disentuh oleh api neraka, sedangkan tidak ada bagi kamu sebarang penolong selain Allah, sehingga kamu tidak akan mendapat sebarang pertolongan.”

Imam Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Nasaie, Ibnu Majah dan Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:

“Sesiapa sahaja di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia merubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lidahnya; dan jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Dan yang demikian adalah selemah-lemahnya iman.”

Akhirul kalam, saya memohon kemaafan sebanyak-banyaknya kepada tuan-tuan Ashabul Fadhail atas segala kekurangan, kesilapan dan keterlanjuran saya menulis surat terbuka ini. Tujuan saya hanyalah untuk mencapai keredaan Allah SWT dan terhindar daripada tergolong ke dalam golongan yang memiliki selemah-lemah iman, atau yang lebih buruk lagi, na’udzubillah min dzalik.
Wassalam.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.