Tengku Fakhry, Malay Mail selesai saman fitnah
$entry.content.caption.value
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 dan 9 Okt tarikh perbicaraan adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang menyaman Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga yang lain berhubung dakwaan kesilapan menahan beliau pada Ogos 2009.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu dalam kamarnya hari ini.
Plaintif memfailkan saman RM150 juta itu pada 9 Dis tahun lepas menamakan Ismail, ketua pengawal peribadi Sultan Kelantan, ASP Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai penama pertama hingga keempat.

Dalam penyata tuntutannya Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau ditahan secara silap pada 30 Ogos 2009 di kawasan Istana Mahkota Kubang Kerian semasa memandu sebuah kereta jenis Bentley Brooklands.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau memandu kenderaan itu atas arahan Sultan Ismail Petra untuk dihantar ke Singapura, tetapi ditegah berbuat demikian oleh kakitangan polis yang menutup pintu istana atas perintah defendan kedua dan ketiga.

Plaintif mendakwa kakitangan polis menahannya selama satu jam sebelum membenarkannya keluar daripada istana tetapi tanpa kereta.

Merujuk kepada penahanan tersebut sebagai berniat jahat (mala fide) dan salah di segi undang-undang, beliau menuntut ganti rugi am RM100 juta, RM50 juta ganti rugi buruk serta contoh, faedah pada kadar empat peratus, kos dan lain-lainnya.- Bernama