Protes filem hina Nabi masuk minggu kedua
Penyokong Hezbollah menyertai perarakan mengecam Amerika Syarikat di Beirut, Lubnan semalam. - Foto EPA
BEIRUT- Protes berhubung film kontroversi, Innocense of Muslims, masuk minggu kedua, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada sentimen terhadap Amerika Syarikat (AS) di negara-negara Islam semakin meningkat ataupun ia hanya bersifat sementara.

Semalam, penunjuk perasaan turun di jalan-jalan di Afghanistan, Indonesia, Pakistan, Yaman dan Lubnan.


Hari ini, demonstrasi akan diadakan di Thailand. Pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik Pas dan Pemuda Umno sedang merancang untuk mengadakan demonstrasi di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.


Menyahut seruan ketua Hezbollah kelmarin, beribu-ribu orang membanjiri kawasan pinggir Bandar Beirut dan melaungkan "Jahanam Amerika".


Hezbollah adalah antara pertubuhan yang dilabel oleh AS sebagai kumpulan pengganas.


Bagaimanapun protes peringkat awal minggu kedua ini tidak sebesar minggu lepas dan tidak begitu ganas.


Protes minggu lalu menyebabkan Duta AS ke Libya, Christopher Stevens dan tiga yang lain terbunuh di Benghazi.


Bercakap di Beirut, pemimpin Hezbollah berkata, "dunia sehingga kini tidak boleh faham… penghinaan dibawa oleh filem ke atas Nabi Muhammad," kata beliau.


Demonstrasi diadakan di jalan menuju ke arah Kedutaan AS di Kabul. Di negara jirannya, Pakistan, seorang terbunuh apabila penunjuk perasaan bertembung dengan polis di wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan.


Sementara itu di Indonesia, penunjuk perasaan membaling batu ke arah Keduataan AS di Jakarta. Polis membalas dengan gas pemedih mata.