Badrul Hisham (depan,dua kiri)
Badrul Hisham (depan,dua kiri) menunjukkan 25 dokumen yang diserahkan kepada SPRM berhubung pembayaran sogokan, semalam.
GEORGETOWN - Badan bukan kerajaan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyerahkan bukti dokumen yang disyaki sebagai ‘pembayaran sogokan’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketuanya, Badrul Hisham Shaharin berkata, pembayaran sogokan itu dipercayai melibatkan sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan dan pemimpin parti politik berpangkat tinggi.

"Sogokan yang dikatakan berbentuk 40 peratus komisen itu disalurkan kepada syarikat yang tidak diketahui statusnya di Klang pada tahun ini.

“Sumber peratusan komisen itu dipercayai datang dari bantuan kebajikan Kerajaan Persekutuan kepada sebuah NGO bernilai RM500,000,” kata beliau.

“Pada hari ini, kita menyerahkan maklumat kepada SPRM termasuk surat rasmi dan minit mesyuarat yang berlaku pada bulan Mac lalu serta maklumat dan perincian pihak-pihak yang terlibat,” katanya kepada media.

Beliau turut menyerahkan 10 salinan cek berjumlah RM200,000 yang dipercayai sebahagian daripada bukti.

“Bantuan itu dipercayai akan disalurkan kepada sebuah persatuan dengan ahli-ahlinya adalah bekas kakitangan polis. Ia diperoleh hasil bantuan seorang pemimpin parti politik berpangkat tinggi.

“Bagaimanapun, semasa mesyuarat persatuan itu Mac lalu, mereka diminta oleh pemimpin politik itu untuk membayar 40 peratus 'komisen' kepada syarikat yang didaftarkan di Klang," katanya.

Badrul Hisham berkata, apa yang menjadi tanda tanya adalah semua perjanjian itu dilakukan secara bertulis.

“Apa yang pelik ialah segala-galanya dilakukan secara bertulis. Adakah ini menunjukkan bahawa ia menjadi satu tradisi bagi jabatan kerajaan perlu membayar komisen kepada pihak tertentu apabila memberi bantuan?

"Selain itu, adakah dana kebajikan dari JPM boleh digunakan untuk membayar komisen kepada sebuah syarikat yang tidak diketahui statusnya," katanya.

Pemimpin muda PKR ini menegaskan, pihaknya tidak menuduh sesiapa sebaliknya menyesyaki ada sesuatu yang tidak kena berhubung dokumen yang ‘diserahkan’ kepadanya.

Beliau dan beberapa rakannya menghabiskan masa selama tiga jam bermula 3.15 hingga 6 petang di pejabat SPRM, Jalan Northam kelmarin bagi menyerahkan kesemua dokumen berkenaan.

Kesemua 25 dokumen itu diserahkan kepada Penguasa Kanan SPRM, Soock Wei Ei Tem.

Menurutnya, beliau menerima semua dokumen itu yang diletakkan di dalam peti surat rumahnya di Nibong Tebal pada 12 September lalu oleh individu tidak dikenali.