Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof
 
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof pada sidang media di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
 
PUTRAJAYA - Walaupun pengundi baru meningkat saban tahun, namun masih ada 20 peratus rakyat Malaysia yang layak belum mendaftar sebagai pemilih.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pada 2008 seramai 3.8 juta orang tidak mendaftar, diikuti 4.3 juta orang pada 2009.

Pada 2010, bilangan yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar adalah seramai 3.8 juta orang dan ia menurun kepada 3.6 juta orang tahun lalu.

"Namun, bermula Januari sehingga Jun 2012, seramai 3.2 juta orang layak mengundi masih belum berdaftar," katanya  pada sidang media di ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, trend peningkatan pengundi baru juga besar di mana bermula Mac 2008 hingga Ogos 2012, jumlah pengundi baru yang berdaftar dengan SPR ialah seramai 3,642,974 orang.

Daripada jumlah tersebut, 2,920,828 pengundi baru dan bakinya ialah mereka yang menukar alamat, kata beliau.

Berdasarkan tempoh itu juga, sebanyak 8,452 pindaan maklumat mengenai data peribadi pemilih telah dibuat, jelas Abdul Aziz lagi.

Pindaan maklumat tersebut adalah seperti berikut:

1. Pindaan ejaan nama :
1,103
2. Pindaan tarikh lahir :
99
3. Pindaan agama :
440
4. Pindaan bangsa :
104
5. Pindaan tempat mengundi :
5,555
6. Pindaan alamat rumah :
89
7. Pindaan nombor polis/tentera :
4

Sementara itu, dalam tempoh yang sama sebanyak 482,229 pemotongan nama telah dibuat berdasarkan beberapa kategori seperti berikut:


1. Kematian
(dimaklumkan kepada SPR melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)) : 379,324
2. Bersara tentera :
14,776
3. Bersara polis :
5,156
4. Hilang kelayakan undi pos :
10,665
5. Hilang kelayakan undi awam :
23,431
6. Masuk polis :
11,582
7. Masuk tentera :
14,548
8. Lucut kewarganegaraan:
12,595
9. Pulang dari luar negara :
317
10. Pergi ke luar negara :
682
11. Sabitan mahkamah :
3,280
12. Rekod berganda :
95
13. Rekod tidak dijumpai :
2
14. Tidak cukup umur :
2
15. Silap penyataan :
3,774

Tambah Abdul Aziz, jumlah pemotongan tertinggi dilakukan di negeri Perak iaitu sebanyak 62,794, diikuti Johor 57,123 dan Selangor (48,449)  manakala pemotongan terendah ialah di Putrajaya iaitu sebanyak 148.