21/10/12
Kalau macam ini, Umno boleh runtuh di Johor
Oleh Zulkifli Sulong,
KOTA TINGGI: "Jika sambutan macam ini di Kota Tinggi, ia adalah isyarat
jelas Umno boleh runtuh di Johor," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin
Ayub kepada hampir 1,000 tetamu yang memenuhi Dewan Chun Moi, di sini.
70 peratus dari tetamu yang datang malam tadi adalah Cina dan India Kota
Tinggi di samping kawasan berdekatantermasuk Pengerang dan Bandar
Tenggara.
Mereka menyertai majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat Kota Tinggi
yang diterajui oleh PAS. Turut serta adalah pemimpin DHPP Pusat termasuk
ketuanya, Hu Pang Chaw dan ketua wanitanya, Kamutha Raman.
Pada pilihan raya 1999, calon PAS yang bertanding di situ hilang wang
pertaruhannya kerana jumlah undi yang diperolehinya terlalu sedikit.
Calon PAS yang kini AJK PAS Pusat itu kalah kepada Datuk Seri Hamid
Albar.
Pada tahun 2004, Hamid menang tanpa bertanding di Parlimen Kota Tnggi
itu. Dalam pilihan raya 2008, calon PAS, Onn Jaffar yang bertanding di
situ hanya mendapat 3,000 lebih undi.
"Saya masih ingat, ketika Tok Guru Nik Aziz datang berceramah di Muar
pada tahun 1987 dulu, hanya enam orang sahaja yang datang mendengarnya,"
beritahu Salahuddin.
Kesemua ini membayangkan Johor adalah kubu Umno dan amat sukar bagi PAS
untuk menembusinya dan Kota Tinggi adalah kubu bagi segala kubu untuk
Umno di Johor. Majlis-majlis PAS amat sedikit disertai orang ramai.
"Kedatangan malam ini adalah penanda penting sokongan pengundi terhadap
PAS di Johor khasnya dari kaum Cina dan India," kata Salahudin kepada
Harakahdaily selepas majlis itu.
Dalam perjalanan ke Kota Tinggi, Salahudin berkata, dia beriya-iya benar
mahu ke majlis malam tadi kerana mahu melihat sendiri sambutan terhadap
PAS di kubu Umno ini.
Malam tadi ada tiga program serentak di Johor. Makan malam anjuran DAP
di Kulai, Ceramah umum bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Skudai dan
makan malam di Kota Tinggi ini.
Beliau hanya menyertai majlis di Kota Tinggi dan Kulai tetapi tidak
pergi ke Skudai kerana memberikan keutamaan majlis di Kota Tnggi ini.
"Kalau sambutan baik, ia akan mengesahkan teori sebelum ini bahawa gelombang sebenarnya sedang melanda di Johor," katanya.
Terbukti, sambutannya amat mengejutkan beliau. Onn Jaffar, Timbalan
Ketua Penerangan PAS Johor yang menjadi calon PAS dalam pilihan raya
2008 juga mengesahkannya.
"Masa saya bertanding dulu, hanya mangsa-mangsa banjir 2006 lalu yang
kami tolong di bandar Kota Tinggi ini menyambut kami. Yang lain semuanya
bersama BN," kata Onn mengingati tragedi banjir besar yang melanda
banda Kota Tinggi dahulu.
Ketika itu, nama Unit Amal PAS naik memuncak ekoran kesungguhan mereka
membantu mangsa-mangsa banjir menyelamatkan barangan mereka termasuk
membersihkan rumah selepas banjir.
"Mereka cukup marah kepada Hamid Albar ketika itu kerana beliau terus
berada di luar negara ketika pengundinya menghadapi banjir yang jarang
sekali berlaku.
"Namun hal ini tidak berlaku kepada bukan mangsa banjir terutama orang Melayu di sini," kata Onn.
Di hadapan kira-kira 1,000 tetamu majlis itulah Salahudin sekali lagi
mengumumkan akan bertanding di Johor dalam pilihan raya umum akan
datang.
"Saya telah membua keputusan penting dalam sejarah kerier politik saya
bahaa saya akan bertanding di tanah tumpah daraah saya iaitu Johor dalam
pilihan raya umum akan datang ini," umum anggota Parlimen Kubang Kerian
itu.
Ia disambut tepukan gemuruh oleh semua yang hadir dan ada antara mereka
yang berdiri memberikan tepukan itu di samping penyokong PAS yang
bertakbir memuji kebesaran Allah.
Salahudin berada di kerusi selamat di Kubang Kerian selepas dua penggal
bertanding di situ. Kini beliau bersama gelombang kebangkitan di Johor
serta pengundi dari Sabah dan juga Sarawak untuk membentuk politik baru
di Malaysia.
Harakahdaily.com
0 orang berkata:
Post a Comment