Wacana Sinar Harian
Ahli panel Wacana Sinar Harian Bajet 2013 bersama pengurusan kanan Kumpulan Media Karangkraf. - Foto Sinar Harian
 
SHAH ALAM - Pemberian subsidi yang diterapkan oleh kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Bajet 2013 masing-masing, yang dibentangkan baru-baru ini, disangkal oleh Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan walaupun beliau menyifatkan ia ada kelebihan sendiri.

"Banyak elemen yang bagus dalam kedua-dua bajet yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak sebelum ini.

“Terutamanya bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri mengenai peruntukkan kanak-kanak kurang upaya dan ini merupakan satu perkara yang bagus serta perlu disokong,” katanya.

Wan Saiful turut menyatakan persetujuannya dengan bajet yang diperkenalkan oleh PR, yang turut memasukkan soal penghapusan duti eksais kereta.

Bajet 2013 Kerajaan Pusat dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September lalu manakala Bajet PR dua hari sebelum itu.

“Saya juga bersetuju dengan penghapusan duti eksais kereta yang diketengahkan oleh Pakatan.

“Tetapi saya kurang bersetuju dengan pemberian subsidi yang diterapkan dalam kedua-dua bajet, yang diketengahkan kerana bagi saya ia seperti menggalakkan rakyat untuk meminta-minta kepada kerajaan yang memerintah.

“Budaya meminta-minta di kalangan rakyat, kalau dibiarkan akan menjadi bahaya selain budaya meminta subsidi perlu selalu dipaparkan oleh media agar rakyat faham mengenainya,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke-14 yang diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, malam tadi.

Wan Saiful turut meminta rakyat agar jangan mudah terpengaruh serta senang mengukur kewibawaan seseorang ahli politik itu berdasarkan ganjaran yang diberikan kepada mereka.
“Kita seharusnya jangan terima ahli politik yang seolah-olah mahu memberi ‘bribe’ kepada kita,” katanya ketika mengulas mengenai pemberian subsidi yang seolah-olah sudah menjadi budaya kepada rakyat di Malaysia.

Wan Saiful turut menambah, “tidak ada apa-apa yang perlu rakyat berterima kasihkan kepada bajet yang dibentangkan kerajaan kerana wang itu adalah dari rakyat sendiri."

Ketika ditanya moderator wacana, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek mengenai di antara kedua-dua bajet yang dibentangkan,  yang mana satu lebih mapan dan bagus untuk pertumbuhan ekonomi, sosial dan keseluruhan untuk rakyat Malaysia, Wan Saiful berkata, “saya tak dapat beri jawapan kerana banyak risikonya.

“Rakyat Malaysia kena pindah dari budaya politik sokong parti tanpa tahu dasarnya.
“Secara umumnya, apa yang boleh saya katakan kedua-dua bajet adalah dalam bentuk ekonomi baru, sekali gus dapat membantu kadar ekonomi negara untuk lebih meningkat lagi pada masa akan datang,” katanya.

Wacana Sinar Harian Siri ke-14 turut dijayakan oleh dua lagi panel masing-masing mewakili Barisan Nasional dan PR iaitu Ahli Parlimen Kota Belud dari Umno-BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.