Jamil Khir Baharom
Datuk Seri Jamil Khir Baharom
 
KUALA LUMPUR – Gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji yang didakwa berjumlah RM85,000 tidak ditentukan secara sembarangan dan sesuatu yang "tersembunyi", kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Lembaga kenaikan gaji dan lembaga pemutusan yang menetapkan gajinya, jadi dia bukan dibuat secara sembaragan, tersembunyi dan sebagainya, ia berdasarkan kepada jadual dan peraturan yang termaktub dalam Tabung Haji,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan bahawa bayaran gaji dibuat Tabung Haji mengikut peraturan berdasarkan kepada tahap profesionalisme, kepakarannya dan nilai pasaran semasa.

“Saya akan jawab persoalan gaji ini dalam Parlimen, sebab Tabung Haji ini adalah syarikat bernilai bilion ringit, lima tahun berturut-turut Tabung Haji menjangkau keuntungan melepasi daripada satu bilion ringgit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran agihan bantuan pakaian dan peralatan persekolah Baitulmal sesi 2013 di pejabat MAIWP di sini hari ini.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika membahaskan Bajet 2013 di Dewan Rakyat mendedahkan beliau mempunyai bukti penyata gaji bulan Disember 2011 milik CEO Tabung Haji yang hanya bekerja secara kontrak memperolehi RM85,000 dan bonus pada tahun yang sama berjumlah RM700,000.

Mahfuz mempersoalkan bagaimana gaji seorang CEO berstatus kontrak memperolehi gaji sebesar itu berbanding CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berjawatan tetap tidak menikmati gaji selumayan itu malah gaji dan bonus itu sendiri lebih daripada yang diperolehi perdana menteri.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, jumlah itu setimpal dengan sumbangan diberikan kepada Tabung Haji bersesuaian prestasi yang memberangsangkan dengan hampir sejuta penyimpan untuk mengerjakan haji manakala pendeposit sahaja berjumlah 7.8 juta orang.

“Ramai juga yang menyimpan dengan Tabung Haji sedang mereka mempunyai pilihan simpanan dengan bank dan sebagianya, kita juga menguruskan dana Tabung Haji sebanyak RM7.8 bilion sehingga kini,” jelasnya lagi.