Julia Hana
Julia Hana
PELAKON, Julia Hana menafikan laporan laman blog yang mendakwa beliau kini bercinta dengan pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali dan telah menghabiskan cuti bersama di Langkawi baru-baru ini.

Laporan portal itu mendakwa, Safee dan Julia  dilihat beratur bersama di Langkawi Cable Car dan lagak mereka berpegangan tangan menguatkan andaian yang pasangan ini sedang bercinta.


Menjawab dakwaan itu, Julia berkata, “gosip yang mengatakan saya bercinta dengan Safee adalah tidak berasas dan ia fitnah."


“Saya dapat tahu mengenai perkara ini pun melalui adik lelaki saya dan saya memang tidak mengenali siapa Safee sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.


Julia turut menjelaskan bahawa dia terkejut dengan gosip itu dan tidak tahu bagaimana cerita sebegitu boleh timbul.


“Saya terkejut kenapa nama saya dikaitkan dan sememangnya mulut-mulut orang kita tak boleh nak tutup.


“Mungkin orang yang mendakwa itu ternampak pelanduk dua serupa dan kita juga tidak boleh percaya dengan cerita sebegini kerana tiada sebarang sumber, contohnya gambar yang dapat mengesahkan perkara itu dan sememangnya mustahil kerana saya sekarang tidak bercuti ke mana-mana kerana sibuk serta terikat dengan penggambaran drama bersiri Evolusi KL Drift untuk tayangan RTM,” katanya.


Julia, nama sebenarnya, Julia Hana Kamaruddin, 35, sebelum ini dikenali kerana pembabitannya dalam filem Remp-It yang terbit pada 2006 selain dia pernah menjalin hubungan cinta dengan bekas anggota kumpulan A to Z, Jeff.


Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online tengah hari tadi, Safee turut membuat penafian mengenai perkara itu dengan menyatakan dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Langkawi dan Julia bukan kekasihnya.


Safee juga membuat pengakuan bahawa dia sudah mempunyai teman wanita tetapi dia tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.