Abdul Rahman Dahlan
Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan
 
PRU 13 pengaruh Dr M
PRU 13 pengaruh Dr M
 
[MUKADIMAH: LAPORAN INI SEBAHAGIAN DARIPADA FOKUS MENGENAI PERANAN, PENGARUH DAN FAKTOR DR MAHATHIR MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13]

SHAH ALAM – Sambil menegaskan Tun Dr Mahathir Mohamad "ada pengaruh" dalam menentukan arah aliran sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU), Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan bekas Perdana Menteri itu seorang pemimpin yang sentiasa mengutamakan hak orang Melayu.

Peranan itu katanya, memberi pengaruh yang cukup besar dalam arena politik negara, lebih-lebih dalam menghadapi PRU13.

"Beliau diingat sebagai Perdana Menteri bermakna memang dari segi pengaruh itu masih ada," kata Setiausaha BN Sabah ini kepada Sinar Harian Online.

Umno, parti teras BN, dikembangkan ke Sabah ketika era Dr Mahathir. Abdul Rahman, pemimpin muda Umno dari Sabah berkata, beliau melihat Dr Mahathir sentiasa bersungguh-sungguh dalam memastikan sokongan orang Melayu menyumbang kepada kestabilan politik negara yang sekali gus memberi ruang kepada Umno-BN kekal mentadbir Malaysia.

“Beliau (juga) pandai menggunakan media sosial untuk dekat di hati orang-orang muda, kalau orang-orang tua pula tidak payah cerita, mereka memang tahu tentang pentingnya kestabilan politik, pentingnya orang-orang Melayu mempunyai kuasa politik dalam negara ini,” katanya.


Malah menurut Abdul Rahman lagi, isu Melayu yang sering ditekankan oleh Dr Mahathir, khususnya selepas selepas Pilihan Raya Umum 2008, sentiasa menarik pengundi Melayu yang sebelum ini sedikit hambar terhadap kerajaan kembali menyokong pemerintah pada hari ini.


“Dari segi ekonomi pun beliau memang seorang yang telah terbukti, jadi saya kira kita kena ambil beliau sebagai seorang Negarawan yang boleh mengkritik dasar kerajaan dan juga pembangkang, dan saya kira ramai rakyat yang menghargainya.


“Bagi orang muda pun, kita mesti ingat, Dr Mahathir ini, walaupun orang kata pengundi orang tua, beliau dikatakan susah berkomunikasi dengan orang muda, saya tidak berapa setuju.

 
“... sebab kalau kita tengok cara beliau mengulas sesuatu, dan isu yang dekat di hatinya, sebenarnya isu-isu itu adalah isu yang juga dekat di hati orang muda, contohnya beliau memang antiperang dan antikeganasan, sudah tentu ia dekat di hati orang-orang muda,” katanya merujuk kepada peranan Dr Mahathir dalam menarik golongan muda hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, penglibatan secara tidak langsung pemimpin berkenaan memberi kelebihan kepada Umno-BN dengan menanam benih kepercayaan di kalangan rakyat Malaysia terhadap parti itu dalam kepakaran mengurus negara.

“Pandangan itu yang menjadikannya Perdana Menteri Malaysia yang amat berjaya kerana beliau mempunyai pandangan yang kritis, pandangan di luar kotak, tidak terikat kepada mana-mana pandangan rasmi ataupun pandangan arus perdana.

“Pengalaman beliau menjadi Perdana Menteri yang paling berjaya, selama 22 tahun, membangunkan negara kita ini, saya kira pengaruh itu memang ada, bukan di Malaysia saja, malah di seluruh dunia, pergi mana saja sama ada negara Eropah, Timur Tengah ataupun Afrika, nama Dr Mahathir terus disebut seolah-olah beliau masih Perdana Menteri lagi,” katanya.

 
Ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir berhasrat mewarisi kepimpinannya kepada anaknya, Datuk Mukhriz, Abdul Rahman berkata, tiada salahnya jika rakyat dan parti dapat menerima kerana amalan politik di negara ini sangat unik dan berbeza dengan negara lain.

“Tun Dr Mahathir juga memahami bahawa semunya itu bergantung kepada penerimaan rakyat dan parti, kalau Datuk Mukhriz jadi Menteri Besar Kedah, dan juga pemimpin, ini bukan Dr Mahathir yang hendakkan, ini kerana rakyat menerima Datuk Mukhriz, saya tengok begitu, bukan kerana beliau anak Dr Mahathir,” katanya.


Biarpun Dr Mahathir sebelum ini pernah mengkritik kepimpinan Umno-BN secara terbuka namun katanya, kini beliau nampak ‘selesa’ dengan keseluruhan dasar termasuk gerak kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya dalam Bajet 2013 yang dibentangkan bulan lepas.


“Beliau diminati dan disanjungi ramai majoriti rakyat Malaysia dan kita perlukan orang macam dia untuk menerajui Malaysia dan ekonomi Malaysia di masa-masa akan datang, berani membuat keputusan yang susah demi kelangsungan ekonomi negara kita,” tambahnya.