Pemuda Pas, Umno sokong kerjasama
23 Oktober 2012
ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah mengharapkan kerjasama lebih luas dapat
dijalinkan dengan Pemuda Umno yang bukan sahaja melibatkan isu
penyelewengan ekonomi tetapi merangkumi soal akidah.
Ketuanya, Ahmad Yahya ketika menyambut baik pelawaan Ketua Pemuda Umno
Kedah, Badrol Hisham Hashim untuk bekerjasama membela nasib rakyat di
negeri ini.
Menurutnya, berkata kedua-dua pihak perlu duduk berbincang untuk
menentukan bentuk kerjasama yang bersesuaian dapat digunapakai dalam
memastikan matlamat menyelesaikan sesuatu isu dicapai.
“Kita tidak ada masalah untuk bekerjasama. Mungkin selepas ini boleh
bekerjasama dari segi membuat laporan polis bersama-sama sesuatu isu
yang berbangkit berpandukan kepada hasil laporan audit.
“Namun kerjasama itu bukan setakat menggesa siasat penyelewengan
berlaku semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sahaja tetapi
ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu kerana kita juga menimbang
untuk melaporkan perkara itu,” katanya.
Beliau mahu siasatan terperinci dilakukan segera terhadap isu
penyelewengan pengurusan perumahan awam kos rendah (PAKR) di negeri ini
seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Menurutnya, Pemuda Pas turut mencadangkan kerjasama lebih erat
dijalinkan di peringkat pusat agar siasatan terperinci dilakukan
terhadap penyelewengan wang rakyat yang berlaku di semua peringkat.
“Bukan sahaja membabitkan soal ekonomi tetapi kita perlu bekerjasama
berhadapan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Pemuda
Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang mengeluarkan pelbagai kenyataan
tidak berasas mengenai hukum Islam demi menjaga akidah umat Islam.
“Namun sehingga kini Pemuda Umno sendiri masih berdiam diri terhadap
dakwaan Chua Soi Lek bahawa jika Pas melaksanakan hukum hudud 1.2 juta
rakyat akan hilang pekerjaan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Badrol Hisham yang menyambut baik tindakan
Pemuda Pas Kuala Kedah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan pendedahannya mengenai PAKR
dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Dalam pada itu, beliau turut memberi sokongan penuh terhadap usaha
Pemuda Pas Kuala Kedah membuat laporan kepada polis, SPRM dan
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) berhubung isu penyelewengan
PAKR.
“Kita tidak mahu pihak yang melakukan kesalahan menggunakan wang rakyat
dibiarkan sewenangnya bebas tanpa diambil sebarang tindakan mengikut
saluran undang-undang,” katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan, Ketua Pemuda Pas Kuala Kedah, Mohd
Azizi Abdullah bersama jawatankuasa membuat laporan polis dan SPRM serta
menyerahkan salinan laporan kepada
Pengerusi PAC, Ahmad I’zzat Mohd Shauki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun).
Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat membidas
tindakan beberapa pemimpin politik bukan Melayu yang membangkitkan isu
Islam yang disifatkannya tidak sesuai kerana mereka kurang memahami
hukum hakam Islam.
Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin Islam bangun mempertahankan isu
Islam dan tidak membiarkannya dipermainkan oleh orang bukan Islam
kerana ia adalah isu yang sensitif.
0 orang berkata:
Post a Comment