mazlan aliman
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman
 
SHAH ALAM – Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mengaku tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tetapi bergerak sebagai sebuah entiti di bawah Pas bagi memperjuangkan nasib anak-anak peneroka.

Sehubungan itu katanya, Anak mempunyai akaun bank mereka sendiri dan mengikut prosedur undang-undang tubuh Pas.


Ia ditubuhkan pada November 2007.


“Memang kami tidak pernah berdaftar, saya tidak boleh nafikan.


“Tetapi apa yang penting, persatuan kami ini tidak salah kerana kami bergerak di atas tiket kami sendiri, mempunyai akaun persatuan sendiri di bawah Pas,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.


Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mendedahkan yang Anak merupakan pertubuhan haram kerana tidak berdaftar.


Ketua Pengarah Ros, Datuk Abdul Rahman Othman juga mengesahkan Anak tidak tersenarai sebagai sebuah persatuan yang berdaftar di bawah agensinya.


“Isu ini merupakan isu basi yang sengaja dikitar  semula oleh Ahmad Maslan kerana sebelum ini banyak pihak cuba membangkitkan status Anak tetapi saya tidak mahu bermain dengan soal status kerana apa yang penting ialah perjuangan kami dalam mempertahankan hak kaum peneroka dan anak-anak generasi kedua Felda,” ulas Mazlan yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.


Tambah Mazlan, Ahmad cuba bermain api dan cuba mengelak menjawab kontroversi yang sedang melanda Felda kebelakangan ini.


“Janganlah terlalu emosi memberi hukuman kepada Anak, apa yang penting sekarang bukan isu status tetapi beliau (Ahmad) perlu bergerak di atas semangat intelektual, jadi jangan heret kami soal status,” katanya.


Mengulas lanjut mengenai ajakan debat yang ditolak oleh Ahmad, Mazlan berkata, timbalan menteri itu hanya tahu “berkokok di luar gelanggang, tetapi tidak berani masuk gelanggang sendiri.”


“Saya cabar untuk berdebat tetapi ditolak. Tidak mengapalah, tetapi mengapa beliau juga menolak ajakan saya berdialog atau sekurang-kurangnya duduk bersama-sama bagi membincangkan isu dan masalah dalam Felda?”katanya.


Tambah beliau, “soal menang atau kalah bukan menjadi persoalan tetapi jika boleh duduk semeja berbincang, mereka boleh bersama-sama berkongsi idea dan pandangan.”