Nasharudin Mat Isa
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
 
ANALISIS - Sementara Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dekat, Pas berhadapan dengan episod kedua pemimpin pusatnya dilihat 'mencabar' kedudukannya dalam Pakatan Raktyat (PR). Awal tahun ini, arena politik nasional dan Pas melihat nasibat Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, yang berakhir dengan pemecatan beliau.

Hujung tahun 2012 pula, melihat pendirian bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa.


Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan pendirian Pas dalam PR khususnya hubungan dengan DAP.


Melihat kepada perkembangan semasa, penganalisis politik Prof. Madya Dr. Shaharuddin Badaruddin ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, kenyataan Nasharudin pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC Selasa lalu jelas tidak akan menguntungkkan parti tersebut.


"Beliau (Nasharudin) sebagai pemimpin yang paling senior dalam parti tidak sepatutunya mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.


"Ini satu perkara yang tidak akan menguntungkan Pas sendiri disebabkan oleh beberapa perkara," kata beliau yang juga pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.


Apabila ditanya berkenaan tindakan yang bakal diambil terhadap beliau, katanya: "Itu tertakluk kepada mereka untuk menentukan, dan saya merasakan ini bukan kali pertama perkara sedemikian berlaku."


Menurut beliau lagi, kenyataan yang bercanggah dengan prinsip parti sepatutnya diselesaikan di kalangan pemimpin mereka sahaja kerana ini akan mempengaruhi pengundi pada PRU13.


Pemimpin kanan Pas dan rakan mereka dalam PR juga mendakwa Nasharudin tidak membangkitkan isu berkenaan dalam mana-mana mesyuarat mereka.


"Beliau seharusnya berbincang dengan pucuk pimpinan parti sahaja, daripada menggunakan medan lain yang tidak sesuai dan tidak sepatutnya kerana dalam beberapa bulan ini kita dapat melihat tidakkan beliau (Nasharudin) banyak bersifat bersendirian," tambah beliau.


Pada masa sama, beliau menyatakan jika tidak berpuas hati dengan parti, beliau sendiri seharusnya keluar dari parti.


Ogos lalu, Nasrudin sudah pun menegaskan bahawa tidak akan keluar parti untuk menyertai Umno seperti yang dispekulasikan oleh banyak pihak.


"Daripada nak mengeluarkan kenyataan yang tidak sehaluan, baiklah ahli politik mana-mana parti tidak kira Pas, DAP, PKR mahupun BN isytihar keluar parti," tambah beliau.


Jelasnya, PRU-13 yang semakin hampir adalah masa yang sesuai untuk pengundi melihat tingkah laku pemimpin parti politik untuk memilih calon yang paling sesuai untuk memimpin mereka.


Sementara itu, Prof Dr. Ahmad Atory Hussain menyifatkan kenyataan Nasharudin sebagai pandangan peribadi tentang hala tuju Pas yang tidak memperjuangkan matlamat asal parti tersebut.


"Beliau tidak mencabar, cuma beliau memberikan pandangan tentang arah tuju Pas yang tidak memperjuangkan matlamat asal parti tersebut," kata beliau.


Tambah beliau, Nasharudin, Ahli Parlimen Bachok, hanya menyatakan pendirian seharusnya Pas tidak boleh ikut parti dalam PR yang bertentangan dengan prinsip mereka.


"Pas seharusnya tegas dalam pendirian mereka walaupun berada dalam PR, dan mereka tidak seharusnya berdiam diri," katanya.


"Disebabkan Pas berdiam diri, inilah yang membuatkan Nasharudin tidak suka kerana ramai yang akan mempersoalkan tindakan parti tersebut termasuk para pengundi Pas sendiri," tambah beliau.


Kata beliau lagi, dalam matlamat PR untuk menawan Putrajaya, Pas hanya berdiam diri tentang perkara yang penting untuk menegakkan Islam di Malaysia.


"Demi menguasai Putrajaya, Pas sanggup mendiamkan diri tentang perkara pokok dalam Islam apabila berdepan dengan dengan kepimpinan PR yang lain," katanya.


"Kalau beginilah keadaanya, dan perkara ini tidak dapat diselesaikan menjelang pilihan raya, ia akan menjadi satu masalah yang besar kepada Pas sendiri dan akan memberi kesan terhadap hubungan dengan parti- parti lain," tambah penganalisis ini.


Pengundi adalah bijak dan mereka akan menilai semula kredibiliti Pas, malah kemestian untuk membuat satu pendirian yang tegas adalah perlu, kata beliau.


Pada masa yang sama, Ahmad Atory turut mengulas tentang Kabinet bayangan PR yang kemungkinan Pas tidak akan mengetuainya jika perkara ini berlarutan.


"Pas seharusnya menjadi 'juara' dan ini adalah harapan rakyat terutama orang Islam yang mengundi Pas untuk melihat pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri... jika masalah ini tidak selesai, sampai bila-bila parti tersebut tidak akan mentadbir," jelas beliau.


Seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, ia bersifat mencabar Pas kerana parti terbabit tidak akan menguasai Putrajaya jika masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan.

Namun beliau menyatakan ia bukan tindakkan yang janggal kerana tujuanya adalah untuk menasihat.

Sejak pendirian terbaru ini muncul, Pas kelihatan tenang dalam menghadapnya. Kitaran isu yang menyepit Pas dan DAP berterusan sementara ramai mula menghitung hari PRU13 yang bakal menjelang tiba.


Pas seolah-olah kelihatan tidak untung dalam isu ini. Nasharudin pula nampak ada pilihan untuk dibuat.