PKR: Sanusi fitnah Anwar, tuduhan tiada asas
24 Oktober 2012
SHAH ALAM - PKR menafikan kenyataan Tan Sri Sanusi Junid, seorang
veteran Umno bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menggagalkan
agenda Melayu ketika memegang jawatan Menteri Kewangan.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, nyata sekali
kenyataan Sanusi adalah fitnah semata-mata dan tidak berasas.
"Kenyataan bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk
Seri Anwar Ibrahim menggagalkan agenda Melayu ketika memegang jawatan
Menteri Kewangan adalah tidak berasas sama sekali," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Sanusi dan Anwar pernah menganggotai Kabinet ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar dipecat oleh Dr Mahathir pada September 1998. Selain itu, Sanusi juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno dan Naib Presiden Umno.
Nik Nazmi berkata, ketaksuban beliau dalam menyerang Anwar dan
mempertahankan Dr Mahathir dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim
Zainuddin membuatkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi yang
telah menjadikan rakyat Malaysia umumnya dan Melayu umumnya sebagai
mangsa.
Daim juga merupakan bekas Bendahari Umno. Nik Nazmi berkata, menurut Sanusi ketika sebuah forum ekonomi Melayu
semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Daim cuba ‘meniru’ dasar
anti-Yahudi Jerman dahulu dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada
masyarakat bukan Melayu.
"Namun Sanusi mendakwa usaha ini digagalkan oleh Anwar yang memberikan
lesen perbankan kepada dua kumpulan bukan Melayu iaitu Hong Leong Bank
dan Alliance Bank.
"Tuduhan Sanusi tidak berasas. Alliance Bank Malaysia Berhad merupakan
syarikat perbankan di bawah Alliance Financial Group Berhad (AFG) yang
dikaitkan dengan Tun Daim Zainudin," kata beliau lagi.
Nik Nazmi berkata, Daim dikatakan memiliki ekuiti 14.8 peratus AFG menerusi Langkah Bahagia Sdn Bhd.
Langkah Bahagia bersama-sama pihak-pihak berkaitan syarikat pelaburan
Singapura, Temasek Holdings Ltd mempunyai kepentingan di dalam AFG
menerusi Vertical Theme Sdn Bhd, katanya.
"Hubungan AFG dan Daim bermula sejak 1982 lagi apabila beliau membeli
Malaysian French Bank. Malaysian French Bank kemudian dinamakan
Multi-Purpose Bank. Pada 1997, Langkah
Bahagia membeli saham di dalam Hock Hua Bank (Sabah). Salah seorang
pemilik saham Langkah Bahagia, Mohd Nasir Ali mengumumkan bahawa beliau
bertindak bagi pihak Daim.
"Hock Hua Bank kemudian ditukar nama menjadi International Bank
Malaysia Berhad dan digabungkan bersama Multi-Purpose Bank serta enam
lagi syarikat kewangan untuk menjadi AFG," kata beliau.
Sanusi yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah memberitahu forum
ekonomi Melayu semalam bahawa Dr Mahathir dan Daim telah hilang harapan
orang Melayu akan mengawal ekonomi.
Apabila mereka melihat kemajuan lambat, mereka memutuskan untuk
mengikuti contoh Jerman tidak memberikan lesen perbankan kepada
orang-orang Yahudi.
Akan tetapi rancangan tersebut gagal selepas Anwar menjadi Menteri
Kewangan yang meluluskan lesen kepada kumpulan perbankan bukan Melayu
iaitu Alliance Bank dan Hong Leong Bank.
Nik Nazmi menambah, kemungkinan agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi
adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni-kroni Umno-BN seperti
bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Dr
Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis
ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran.
"Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment