Mohamed Khusrin Munawi
Mohamed Khusrin Munawi
SHAH ALAM – Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi menyarankan beberapa polisi semasa perlu dikaji semula selaras dengan kemajuan Selangor  sebagai negeri tumpuan di negara ini.

Menurutnya, kajian semula terhadap polisi semasa ini penting bagi mengimbanginya dengan kehendak masyarakat dan pemegang saham yang terlalu tinggi berbanding dengan sumber sedia ada.


Beliau berkata, polisi yang dimaksudkan membabitkan kebanjiran pendatang asing, masalah kekurangan kemudahan awam serta perancangan pembangunan yang kurang teratur.


“Pentadbiran negeri berpendapat, beberapa polisi Kerajaan Negeri dikaji semula, antaranya kebanjiran pendatang asing menyebabkan masalah sosial semakin rumit apabila kawasan komuniti dipenuhi pendatang daripada Afrika, Myanmar dan sebagainya. Keadaan ini mendatangkan ketidakselesaan kepada masyarakat.


“Sebahagian kawasan perumahan, premis perniagaan dikuasai pendatang asing. Kes ini banyak berlaku di Ampang, Petaling Jaya, Klang dan Gombak,” katanya ketika berucapan pada perjumpaan Ketua Setiausaha Negara bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri bertema ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’ di Intekma Resort & Convention Centre Shah Alam, di sini, semalam.


Hadir di majlis berkenaan, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shukry Md Salleh, Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Mohamad Zabidi Zainal serta Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Farida Mohd Ali.


Mohamed Khusrin berkata, pengangkutan awam yang sistematik amat diperlukan bagi mengatasi kesesakan jalan raya yang semakin meruncing terutamanya di kawasan sibuk.


Selain itu katanya, pertambahan masalah sosial yang berpunca daripada perancangan pembangunan perumahan yang kurang teratur juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.


“Ketidakseimbangan penduduk di sesuatu kawasan menyebabkan perkara ini semakin membebankan pihak berkuasa. Satu mekanisme merangkumi perancangan pembangunan menyeluruh perlu diwujudkan bagi mengatasi peningkatan masalah sosial ini,” katanya.


Dalam itu katanya, bagi menzahirkan penyampaian perkhidmatan berkualiti, Selangor memerlukan sistem pengurusan cekap dan modal insan yang berpengetahuan di mana dua elemen ini sentiasa berhubung kait bagi menghasilkan keputusan tepat dan berkesan untuk manfaat orang awam.


“Kita tidak seharusnya berpuas hati dengan sistem pengurusan pentad biran sedia ada. Minda inovasi dan kreatif perlu diaplikasikan dalam tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan bagi menambah baik sistem sedia ada.


“Dalam era ketika ini yang mementingkan ekspektasi melebihi kehendak  pelanggan, kita seharusnya menyampaikan outcome  kepada orang awam dan memastikan keberkesanan setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan sampai kepada target customer,” katanya.