Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
 
KUALA LUMPUR - MCA menafikan parti itu 'mengawal' Umno terutamanya dalam membuat keputusan tentang pelaksanaan hukum hudud di negara itu seperti yang didakwa oleh Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, kenyataan tersebut hanyalah pandangan tipikal Nasrudin dan beliau mengulangi ketegasannya supaya isu hudud tidak dipolitikkan.

"Saya rasa saya tidak perlu beritahu semua orang yang Barisan Nasional, yang didominasikan oleh Umno tahu apa yang wajar  untuk gabungan kesepakatan parti ini.

"Umno tahu apa yang baik dan buruk dalam melaksanakan sesuatu perkara. "Kalau Umno nak laksana hukum itu, sudah lama dilakukan tetapi Umno menghormati pendirian dan kepentingan bangsa lain," kata beliau pada sidang media  selepas perasmian Perhimpunan  Agung MCA Ke-59 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Semalam, Nasrudin mendesak Presiden MCA itu memohon maaf kepada seluruh rakyat di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas mengenai hudud.

Nasrudin turut menyatakan kebimbangan kenyataan Soi Lek yang mengatakan bahawa pelaksanaan hudud akan menjejaskan 1.2 juta peluang pekerjaan di sektor perkhidmatan dan pelancongan serta boleh mencetuskan keresahan rakyat terhadap Islam.

Sementara itu, tambah Soi Lek, Pas hanya bercakap kosong tentang pelaksanaan hudud sedangkan beliau mengulas perkara itu berdasarkan fakta.

Katanya, sebagai pemimpin yang datang dari parti yang demokratik, perbezaan pandangan adalah perkara biasa.

Soi Lek menambah, beliau bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada penyokong parti itu tentang implikasi pelaksanaan hudud.

Ketika diminta mengulas kenyataan pihak pembangkang yang menegaskan hanya mereka yang arif tentang isu hudud sahaja yang layak bercakap tentang perkara itu, Soi Lek berkata,  tindakan itu adalah tidak demokratik.

"Sebagai pemimpin di sebuah negara yang demokratik, tidak ada sesiapa yang wajar memonopoli apa-apa isu dan sewajarnya kita sama-sama menyumbang untuk memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.