November 07, 2012
KUALA
LUMPUR, 7 Nov — DAP boleh diistilahkan sebagai Kafir Harbi, sekiranya
parti itu secara terbuka menentang dan menolak Islam, kata Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim.
Mashitah ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini
menegaskan, mana-mana pihak yang membuat tuduhan Kafir Harbi mahupun
Kafir Zimmi juga boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Sivil di bawah
Peruntukan 298(A) Kanun Keseksaan kerana cuba menimbulkan rasa tidak
senang hati yang boleh menjurus kepada perpecahan dan memudaratkan
keharmonian negara.
“Sekiranya bukan Muslim menentang kepada Islam, mengeluarkan
kenyataan seperti melabel bahawa syariah Islam itu ekstremisme, dengan
terang menyebut tidak mahu Islam, tidak kiralah nak langkah mayat atau
tidak, atau merasakan mempertahankan maruah Islam itu sebagai sesuatu
yang membazir tenaga dan masa, maka jelas bahawa ia adalah menentang
kepada Islam,” kata Mashitah dalam jawapan lisan kepada Ahli Parlimen
Tanah Merah, Amran Ab Ghani.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka (orang yang menuduh) boleh
dipenjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima
tahun.”
Beliau turut menegaskan, dalam keadaan masyarakat majmuk di negara
ini, istilah tersebut bukanlah suatu tuduhan, sebaliknya hanya merupakan
istilah yang diguna pakai ulama untuk membuat kajian sikap bukan Muslim
terhadap komuniti Muslim.
“Ia bukan satu tuduhan ... istilah atau konsep Kafir Harbi atau Zimmi
adalah satu istilah yang digunapakai oleh para ulama untuk membuat
kajian sikap atau pembacaan sikap terhadap bukan Islam yang ada untuk
bekerjasama dengan mereka.
“Jadi daripada kajian sikap itu, diklasifikasikan atau dikategorikan
sama ada bukan muslim itu dianggap sebagai (Kafir) Harbi atau Zimmi.
“Ia bukan satu istilah yang membolehkan sebarang hukuman diambil
untuk dibunuh atau sebagainya ... tetapi adalah sebagai satu kajian
sikap yang mana bila diklasifikasikan mana-mana orang itu sebagai Harbi
atau Zimmi, sama ada kita masih terus boleh berkawan dengan dia ataupun
tidak ... itu sahaja.
“Jadi tidak timbul soalan tuduhan yang boleh membawa kepada satu hukuman atau sebagainya,” tegasnya lagi.
Mashitah juga turut mengulas lanjut, “mana-mana bukan Islam yang
boleh taat kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang
beragama Islam, patuh kepada perjanjian kontrak sosial dalam
Perlembagaan Persekutuan ... mereka kategori Kafir Zimmi yang boleh
dijadikan kawan.”
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
semalam menjelaskan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan
sebarang fatwa berhubung istilah “Kafir Harbi” yang merujuk kepada
komuniti bukan Islam di negara ini.
Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama itu juga
menegaskan, gelaran Kafir Harbi, mahupun Kafir Zimmi yang dikeluarkan
terhadap pihak-pihak tertentu juga adalah bersifat peribadi.
Akhbar Utusan Malaysia pada Ogos lalu pernah mengeluarkan kenyataan
berhubung satu temubual dengan pengasas Sekolah Agama Pondok Geting,
Tumpat di Kelantan, Abdullah Sa’amah yang mengatakan adalah haram
menyokong DAP kerana parti itu menolak hukum Islam dan turut melabelkan
parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu dengan gelaran Kafir Harbi.
Istilah Kafir Harbi merujuk kepada golongan musuh bukan Islam yang
mengancam dan berperang dengan umat Islam yang mana darah mereka halal
ditumpahkan.
Dalam konotasi suasana perang, ia boleh diistilahkan diperingkat
negara kerana golongan Kafir Harbi itu juga turut berusaha untuk
membunuh umat Islam.
0 orang berkata:
Post a Comment