Jawatan PM boleh bincang, Anwar beritahu Pas
18 November 2012
SHAH ALAM - Gesaan wakil Dewan Ulama Pas Pusat yang mahu Datuk Seri
Abdul Hadi Awang menggalas jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat
(PR) mengambil alih pentadbiran Putrajaya bukan "satu masalah", kata
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
"Tiada masalah, tak ada apa, kita boleh bincang dengan baik," kata
Ketua Umum PR itu secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas
merasmikan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara di Universiti Selangor
(Unisel), di sini pagi tadi.
Pemilihan calon Perdana Menteri jika PR memenangi Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) antara persoalan yang dibangkitkan perwakilan Pas pada
Muktamar Tahunan Pas ke-58.
Wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Hairun Nizam Mat Hussain semalam
mengulangi pendiriannya bahawa beliau yakin sebahagian besar ahli parti
itu mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.
"Saya kira kalau rata-rata ahli Pas mahukan presiden (Abdul Hadi)
sendiri jadi Perdana Menteri, tetapi tuan guru dia mempunyai sikap yang
baik iaitu dalam masalah memimpin masyarakat itu yang terbaik adalah
pelaksanaan amanah, siapa yang hendak menjadi yang paling tinggi, ia
terserah kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian Online lewat
semalam.
Tidak kurang pula sokongan dan gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang
mahukan Anwar menggalas tugas penting itu kerana beliau adalah calon
paling layak.
Gesaan Lim Kit Siang itu dibuat ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat yang
berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam kelmarin.
Pendapat sama sebelum itu disuarakan oleh anaknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng awal tahun ini.
Sebaliknya, Hadi rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas
tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah
berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.
0 orang berkata:
Post a Comment