Pekerja Lynas sambut keputusan mahkamah dengan linangan air mata gembira
November 08, 2012
KUANTAN, 8 Nov — Tiada ungkapan yang mampu dilafazkan
sebilangan besar pekerja kilang Lynas Advance Material Plant (Lynas),
Gebeng dekat sini selain mengalirkan air mata gembira tanda kesyukuran
selepas Mahkamah Tinggi memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi
hari ini.
Hakim Datuk Mariana Yahya dalam keputusannya hari ini menolak
permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang
diberikan kepada Lynas sebelum ini, oleh tiga penduduk Kuantan sekaligus
membolehkan Lynas memulakan operasinya setelah digantung sementara
waktu ekoran injunksi berkenaan.
Kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 500 orang itu berkumpul di
perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan di sini sejak awal pagi dan
laungan takbir bergema sejurus seorang wakil memberi perkhabaran gembira
tersebut.
Suasana di kompleks tersebut menjadi sayu seketika apabila ada di
kalangan mereka mula menangis dan manadah tangan berdoa tanda bersyukur
di atas ‘kemenangan’ kecil tersebut.
Dengan memakai pakaian seragam berwarna kuning manakala penyokong
pula memakai baju berwarna biru muda, mereka turut membawa kain rentang
tertulis ‘jangan kacau periuk nasi kami’, ‘siapa nak bagi anak kami
makan’, ‘hentikan fitnah terhadap Lynas’, ‘saya memang sayang Lynas’ dan
‘Lynas Kuantan bakal Pusat Teknologi Hijau Negara’.
Keputusan itu bagaimana pun disambut dengan keadaan yang berbeza oleh
pihak anti-Lynas yang hanya dianggarkan sekitar 200 orang sahaja hadir.
Kumpulan anti-Lynas seperti Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) yang
sebelum ini begitu ghairah hadir ke mahkamah bagi mengikuti kes
berkenaan seperti tidak dapat menerima kenyataan apabila beredar
meninggalkan mahkamah sebaik sahaja mengetahui permohonan mereka
ditolak.
Dalam pada itu, Naib Presiden Lynas Corporation Datuk Marshal Ahmad
berkata kepada pemberita, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah
hari ini kerana kesusahan yang dialami oleh pihaknya sejak sekian lama
berakhir.
“Kami sekarang akan menumpukan segala usaha untuk memulakan operasi
kilang secepat mungkin kerana ia adalah pelaburan yang terbesar.
Mudah-mudahan dengan keputusan ini pelabur-pelabur asing akan kembali
yakin dan melabur di Malaysia yang kita kasihi,” katanya.
Beliau juga berharap dengan keputusan itu segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas Lynas dapat dihentikan segera.
“Saya juga ingin menjemput semua pihak termasuk kumpulan anti-Lynas
untuk datang sendiri ke kilang kami dan membawa pakar masing-masing
supaya mendapat fakta yang betul,” katanya.
Seorang pekerja, Muhammad Syafiq Sukri, 24, berkata kebenaran telah
terbukti dengan keputusan mahkamah hari ini dan berharap yang menentang
dapat berhenti daripada terus menabur fitnah ke atas ‘periuk nasi’
beliau dan rakan-rakan sekerja yang lain. — Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment