Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin
Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin
 
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) didakwa cuba mewujudkan keraguan dalam Islam kerana mempertahankan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama demi mencapai hasrat menawan Putrajaya.

Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin mendakwa, kenyataan Nurul Izzah mempunyai persamaan dengan Majlis Peguam yang menyokong usaha menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).


Menurutnya, kenyataan dan kesepakatan ketiga-tiga parti komponen PR mempertahan kenyataan itu beri ancaman bahaya kepada Islam.


Katanya, Perlembagaan meletakkan Islam lebih dari agama lain dan termaktub sebagai Agama Persekutuan.


"Tindakan Pas memperlihatkan kesepakatan mempertahankan Nurul Izzah. Pas juga lebih mengutamakan kerusi berbanding isu kebebasan beragama.


“Saya hairan Pas boleh terima kenyataan ini, sedangkan sebelum ini Pas menentang Majlis Peguam dalam menuntut pelaksanaan IFC,” katanya.


Beliau mendakwa, kenyataan yang menyebutkan orang Melayu boleh menukar agamanya, mempunyai kesan besar sehingga boleh  hapuskan bangsa sendiri.


Sebelum ini, Zulkifli turut mencabar Pas menentang pandangan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang dipetik dalam laman portal berbahasa Inggeris mengenai hak kebebasan memilih agama tidak terhad kepada orang bukan Islam, sebaliknya diberi kepada orang Melayu beragama Islam.