Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Umno Tan Sri MuhyiddinYassin
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar Sabtu lepas bahawa orang Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama, sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.
  
Katanya beliau turut berkongsi pandangan yang sama disuarakan oleh tokoh-tokoh ulama termasuk rasa kecewa yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  
"Ini satu kenyataan yang tak sepatutnya dibuat. Yang paling kita bimbangi kenyataan itu telah bercanggah dengan perkara-perkara berkaitan akidah. Apatah lagi dikeluarkan oleh seorang Islam. Ia sesuatu yang tak sepatutnya berlaku," katanya ketika diminta mengulas perkara itu di sini, hari ini.
  
Ditanya tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, Muhyiddin berkata itu merupakan tindakan 'biasa' anggota pembangkang.
  
"Lagipun Utusan petik daripada portal, bukan? Yang itu dia tak nak saman, Utusan dia nak saman. Biasanya teknik itulah nak tunjukkan dia tak salah dan kenyataannya diputar-belitkan. Tapi fakta itu ada, kita boleh 'browse through' tengok apa yang berlaku," katanya.
  
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Konsesi Hab Pendidikan Tinggi Pagoh antara Kementerian Pengajian
Tinggi dan Sime Darby Property Selatan Sdn Bhd di sini.

DI JASIN, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Nurul Izzah mendalami dan memperinci hukum agama sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai Islam.
  
Katanya soal agama tidak boleh dijadikan bahan politik untuk meraih sokongan.
  
"Apapun perbezaan parti namun dalam soal agama kita hendaklah kembali kepada hukum yang berdasarkan kepada Al-Quran, hadis dan terjemahan ulama.

"Ayat yang menyatakan tiada paksaan dalam beragama ertinya adalah tidak boleh memaksa penganut agama lain untuk masuk Islam tetapi menyamaratakan orang-orang Islam supaya bebas memilih agama mereka selepas tempoh umur tertentu adalah sesuatu yang di luar daripada hukum Islam sendiri," katanya mengulas kenyataan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga terpakai kepada orang Melayu.
  
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata tindakan Anggota Parlimen Lembah Pantai atas nama liberalisme dan pluralisme itu ternyata tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam di negara ini.
 
"Saya merasakan apa yang dinyatakan oleh Nurul Izzah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin Islam dalam PKR," katanya.
  
Terdahulu, Ahmad Zahid menyertai 536 peserta melibatkan 438 motosikal berkuasa tinggi dalam program Kembara 1Malaysia, Bike Weel di Laman Belia 1Malaysia, Sungai Rambai di sini.
  
Laman belia tersebut merupakan perhentian pertama konvoi yang bertujuan mempromosi Gagasan 1Malaysia selepas bermula di Johor Baharu pagi tadi dan dijangka berakhir di Putrajaya pada 11 November ini.
  
Di TAWAU, Pengerusi Barisan Nasional Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar berkata kenyataan Nurul Izzah bukan sahaja mengelirukan malah bertentangan dengan Islam.
  
Sehubungan itu, Tawfiq yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah meminta umat Islam supaya jangan mudah terpengaruh dengan pandangan songsang seperti itu.
- Bernama