Kalau terasa akan kalah, biarkan sahaja Parlimen terbubar dengan sendirinya
― Aspan Alias
The Malaysian Insider
Nov 13, 2012
13 Nov ― Ada dua perkara yang saya hendak sentuh sekali gus hari ini.
Yang pertamanya ialah tentang program UMNO Seremban yang mengadakan
majlis parti di Kem Tentera Sikamat, Seremban, dan yang kedua ialah isu
Himpunan Rakyat 1Malaysia yang dianjurkan oleh UMNO dan BN melalui
penganjuran oleh beberapa NGO pada 24 hb November ini.
Saya tidak berapa perasan bila program itu diadakan tetapi yang nyata
ada jemputan Dato’ Ishak Ismail kepada semua penduduk Sikamat untuk
mereka hadir di majlis anjuran beliau di dalam kem Rejimen Ke-4,
Artileri Di- Raja, Sikamat dan ini amat memeranjatkan banyak pihak
kerana ia dibenarkan oleh pemerintah Kem tersebut untuk UMNO mengadakan
majlis politik itu.
Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, yang berucap dalam majlis itu
sepatutnya memberikan penjelasan kenapa UMNO mengheret tentera dalam
politik dan jika tentera menjadi aktif dalam politik ini merupakan
petanda buruk akan melanda negara dan tidak siapa akan dapat mengenali
politik yang sebenarnya dalam tempoh yang terdekat ini. Ini merupakan
satu fenomena baru di dalam UMNO dan ini hanya menunjukkan betapa
terdesaknya parti yang telah memerintah negara sejak merdeka itu.
Jika tentera digiatkan dalam politik maka kita sudah tidak ada lagi
sistem politik yang betul dan ia akan hanya membawa negara kepada
keadaan dan situasi yang mana rakyat tidak akan tahu lagi yang mana satu
sistem yang betul sebagai sebuah negara demokrasi kerana semua sistem
dan tata cara bernegara itu sudah berkecamuk dan tidak menentu lagi.
Anak-anak muda tidak akan lagi tahu siapa yang sepatutnya bergiat dan
siapa yang sepatutnya duduk di tengah-tengah dengan ‘magnanimous’ kerana
setiap rakyat sudah tidak tahu lagi yang mana yang sepatutnya mereka
lakukan dan yang mana yang tidak boleh dan beretika untuk dilakukan.
Oleh kerana keadaan ini sudah mula berlaku ia sepatutnya menjadi
pengukur kepada kemampuan untuk mempertahankan sistem demokrasi negara
ini. Maka tidak boleh kita biarkan perkara seperti ini berlaku justeru
pilihanraya inilah sebaik-baik masa untuk memperbetulkan apa yang tidak
kena dalam negara kita ini.
Himpunan rakyat 1Malaysia
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, telah membuat sidang media
semalam yang beliau sedang mengetuai satu sekatariat untuk menganjurkan
himpunan rakyat 1Malaysia pada November ini di Kuala Lumpur. Ia
bermatlamatkan untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada kepimpinan pada
hari ini dan UMNO sedang menggunakan badan-badan bukan kerajaan untuk
menganjurkannya. Menggunakan NGO-NGO seperti ini merupakan satu-satunya
jalan untuk mengumpulkan manusia yang sudah menjauhi UMNO dan BN itu.
Tetapi masalahnya UMNO menggunakan cara yang sama yang digunakan oleh
Pakatan Rakyat dan ia bukan cara UMNO yang lazim mereka lakukan. UMNO
terpaksa menciplak dan mengadakan perhimpunan seperti yang dilakukan
oleh pembangkang. Tetapi perbezaannya amat jauh di antara UMNO dan
pembangkang kerana UMNO sudah pasti terpaksa menggunakan badan-badan NGO
dan tentulah ia memakan belanja yang banyak untuk menyempurnakannya.
Saya tidak menjangka yang orang ramai akan memberikan sokongan padu
terhadap perhimpunan ini kerana mereka dijemput dengan semua persediaan
yang mahal-mahal dengan karipap dan minuman serta tambang menambang
serta bas-bas percuma untuk mengangkut manusia yang kebanyakannya
terdiri dari pelajar-pelajar dan budak sekolah.
Berlainan dengan pihak PR yang hanya mengumumkan tempat dan waktu
perhimpunan diadakan tanpa perlu membayar dan menyediakan makanan dan
khemah-khemah untuk menarik orang ramai untuk datang. Kita telah melihat
berapa ramainya kedatangan serta kehadiran rakyat jelata dalam
perhimpunan rakyat di Senawang, Seremban pada 3hb Nov yang lepas. Mereka
datang dalam hujan lebat dan berpayung dan berbaju hujan yang tidak
diberikan oleh PR. Mereka berbelanja sendiri kerana yang memberikan
motivasi mereka untuk hadir itu adalah semangat dan perasaan ingin
kepada perubahan kerajaan dalam pilihanraya yang akan datang.
UMNO atau BN tidak mungkin mampu untuk memanggil kehadiran yang besar
tanpa disediakan makanan, pengangkutan, topi serta baju T yang
mahal-mahal. Sebaliknya bagi UMNO, mereka akan diberikan kontrak untuk
membekalkan baju T dan topi. Mereka tentulah mendapat habuan yang besar
dan mereka yang mendapat kontrak itu tentulah mereka yang hampir dengan
pejabat setiausaha agong dan setiausaha kerja UMNO Pusat. Satu
perhimpunan rakyat anjuran BN itu akan memakan belanja yang
berjuta-juta.
Bagi UMNO ia hanya untuk menunjukkan kepada ramai yang mereka juga
mendapat sokongan tetapi rakyat tahu tujuan pimpinan BN hanyalah untuk
merawati jiwa mereka yang tertekan dalam menghadapi pilihanraya yang
hampir tiba ini. Mereka (UMNO) hanya hendak menunjukkan dan menempelkan
imej sokongan sahaja tetapi ia hanyalah ibarat seorang wanita yang
mengenakan bedak sejuk di muka mereka sahaja. Bedak sejuk di muka-muka
mereka akan hilang setelah baru bangun dari tidur dan selepas mandi.
Bedak sejuk itu tidak kekal melekat di muka-muka mereka.
Mengikut kata-kata Ahmad Maslan di antara mereka yang berucap nanti
adalah mereka yang mewakili berbagai-bagai bidang masyarakat. Beberapa
professor kangkong serta mereka yang bergelar dan bernama yang mewakili
berbagai pihak akan berucap. Mereka termasuklah Chandra Muzaffar dan Lee
Lam Thye. Apa yang akan mereka perkatakan tidaklah dapat kita jangkakan
kerana selalunya mereka akan memberikan retorik dan ucapan
mengungkit-ngungkit tentang apa yang BN telah lakukan kepada rakyat dan
sebagainya.
Mereka tidak akan berani bercakap tentang segala kemungkaran politik,
ekonomi dan sosial yang BN telah lakukan oleh mereka selama ini. Satu
yang pasti perhimpunan anjuran BN akan menggunakan belanja yang besar
untuk menjayakannya. Untuk mengekalkan BN memerintah rakyat terpaksa
berbelanja terlalu mahal tetapi tidak juga mendapat perhatian ramai.
Bagi pandangan peribadi saya jika BN tidak berkeyakinan dengan diri
sendiri untuk menghadapi PRU ini biarkan sahaja penggal ini terbubar
dengan sendirinya pada 28hb April yang akan datang. Mengadakan
perhimpunan besar pun bukannya memberikan faedah apa-apa pun. Apa
perbezaan di antara 29hb April dengan Mac? Yang pasti Najib merupakan
satu-satunya PM yang belum mendapat mandat sehingga hari ini.
Kalau
UMNO sudah masuk kem tentera untuk mengadakan ceramah, itu adalah
petanda yang UMNO tidak relevan lagi kepada rakyat biasa.
0 orang berkata:
Post a Comment