Thursday, November 8, 2012
Murid dipaksa mengaku zina dengan guru
PENDANG,
8 Nov - Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di
sini membuat laporan polis mendakwa dipaksa membuat pengakuan berzina
dengan seorang guru sandaran wanita di sekolah itu.
Laporan itu dibuat pelajar berusia 16 tahun itu di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Pendang, di sini, kira-kira jam 3.30 petang semalam selepas
pengakuan yang dipaksa dibuatnya itu menyebabkannya menerima kesan,
termasuk diberhentikan sekolah.
Pelajar itu yang hanya ingin dikenali sebagai Wan berkata, dia dipaksa
membuat pengakuan itu kira-kira sebulan lalu ketika dipanggil ke sebuah
bilik oleh guru disiplin pada 2 Oktober lalu.
Katanya, seorang guru yang ditemui kemudian menuduhnya melakukan
hubungan sulit dengan seorang guru sandaran wanita berusia 20-an yang
mengajar bahasa Inggeris. Malah, guru itu turut mendakwa mempunyai bukti
kukuh mengenai kejadian itu.
“Saya menafikannya dan meminta guru berkenaan menunjukkan bukti, namun
guru itu enggan atas alasan ia untuk simpanan sekolah. Guru itu kemudian
memberikan saya sehelai kertas dan pen lalu memaksa saya menulis surat
pengakuan.
“Akur dengan arahan itu, saya menulis surat pengakuan dalam keadaan
terpaksa, walaupun tidak berpuas hati kerana berasa dianiaya atas
tuduhan tanpa bukti itu.
“Susulan itu, pihak sekolah menghubungi bapa saya dan memintanya datang
ke sekolah sebelum saya dimaklumkan digantung persekolahan sehingga 15
Oktober lalu,” katanya ketika ditemui.
Wan mendakwa, dua hari kemudian dua guru lelaki datang semula ke rumahnya memaksanya mengisi borang pertuduhan kes berkenaan.
“Dua guru lelaki itu termasuk ustaz datang ke rumah dan mengajak saya ke
sebuah kedai makan atas alasan untuk menenangkan fikiran saya.
Bagaimanapun, saya tidak dibawa ke kedai berkenaan, sebaliknya diminta
mengisi borang pertuduhan dan menandatanganinya sebelum dihantar semula
ke rumah.
“Selepas itu, pada 21 Oktober lalu, saya terima surat pemberhentian
daripada pihak sekolah yang bertarikh 15 Oktober. Ia amat memusykilkan
kerana surat penggantungan bertarikh 4 Oktober hanya diterima pada 24
Oktober.
“Justeru, saya tampil membuat laporan polis untuk membersihkan nama selepas berasakan diri teraniaya,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara pelajar terbabit yang enggan dikenali
berkata, keluarganya tidak berpuas hati dengan cara pihak sekolah
mengendalikan kes berkenaan kerana mereka dinafikan hak untuk
mendapatkan penjelasan yang sewajarnya.
“Saya terima jika tuduhan itu benar, namun mereka tidak memanggil
keluarga berbincang dan langsung tidak menunjukkan sebarang bukti jelas
serta semuanya hanya pada peringkat dakwaan,” katanya.
Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan yang dibuat pelajar terbabit. - KLpos
0 orang berkata:
Post a Comment