Raja Nazrin Shah
Raja Dr Nazrin Shah (kiri) ketika menyampaikan Syarahan Perdana Budaya bertajuk 'Institusi Raja Berperlembagaan:Kelangsungan Negara Bangsa' hari ini - Foto Bernama
 
PETALING JAYA - Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah mengingatkan pemimpin politik supaya berperanan memastikan suhu politik tidak terlalu panas dan sekata tidak menjadikan pilihan raya sebagai satu peperangan sivil.

Titah baginda, pilihan raya adalah satu daripada instrumen utama dalam sistem kerajaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen dengan rakyat diberikan hak untuk menentukan kerajaan.


"Pilihan raya bukan medan perang yang bermatlamatkan menang semua di mana kerajaan yang terbukti memenuhi janji dan mencipta rekod kejayaan membangunkan negara bangsa, sewajarnya memiliki keyakinan untuk kembali mendapat sokongan rakyat," titah baginda dipetik Bernama.

Negara kini bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka berlangsung bila-bila masa dari sekarang.


Ia merupakan satu daripada enam unjuran yang dirakamkan baginda ketika menyampaikan syarahan perdana budaya bertajuk "Institusi Raja Berperlembagaan:


Kelangsungan Negara Bangsa" di sini hari ini dalam memastikan kelangsungan survival negara bangsa yang diinginkan, terlaksana.


Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu turut dihadiri menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf serta beberapa jemputan khas termasuk artis.


Dalam memastikan kelangsungan survival negara bangsa berjalan lancar, baginda juga mengingatkan supaya pemimpin, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai kumpulan politik yang berlainan parti dengan kerajaan persekutuan supaya memahami konsep federalisme berasaskan Perkara-Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan agar tidak ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedaulatan Raja dan institusi Yang Dipertua di negeri-negeri.


Baginda bertitah hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kini menjelmakan satu dimensi baru hingga memeningkan penjawat awam yang berkhidmat di negeri-negeri kerana telah berlaku keadaan pegawai-pegawai awam Persekutuan yang bertugas di negeri, dilarang menghadiri acara-acara rasmi di peringkat negeri termasuk acara yang dihadiri oleh Raja.


Titah baginda, senario yang tidak mencerminkan kematangan budaya politik negara bangsa dan kurang mendalamnya kefahaman di kalangan penjawat awam berkenaan konsep Federalisme menyebabkan mereka menghadapi dilema ketika memenuhi tanggungjawab untuk mengimbangkan kesetiaan di antara pihak berkuasa negeri dengan Persekutuan, terutama kepada mereka yang bertugas di negeri yang dikuasai kumpulan politik berlainan parti dengan kerajaan Persekutuan.


Sehubungan itu, baginda mahu satu atur urusan orde yang baru antara kuasa negeri dan kuasa Persekutuan diwujudkan, supaya tidak akan menyulitkan penjawat awam untuk menyempurnakan amanah dan tidak menjadi mangsa kepada pertelingkahan politik berpanjangan.


"Konsep Federalisme wajib difahami dan diperkenalkan orientasi baru terutama di kalangan penjawat awam agar kelainan politik itu jangan sampai menjejaskan hubungan warga, hingga memungkinkan warga kembali bersifat parokial kenegerian, lalu semakin tipis kesetiaan kepada negara," titah baginda.