Muka depan akhbar Sinar Harian edisi Selangor & KL Khamis 8 November 2012
Muka depan akhbar Sinar Harian edisi Selangor & KL Khamis 8 November 2012
PETALING JAYA – “Kasihan Izzah. Sabarlah ye nak...” Dia mengusap-usap gambar Nurul Izzah yang tersiar di muka hadapan Sinar Harian.

Walau tersenyum nipis, tetap ada raut sayu hiba hati ibu. Itulah aksi spontan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila menatap wajah anaknya, Nurul Izzah Anwar di muka depan akhbar Sinar Harian semalam.

"Saya memang sedih apabila kontroversi ini timbul. Naluri keibuan saya terasa dijerut. "Anak saya dituduh menggalakkan murtad! Satu tuduhan berat!"

Itu yang diluahkan Dr Wan Azizah apabila ditanya tentang kontroversi yang mendakwa anaknya itu menggalakkan kebebasan memilih agama pada forum Islamic State: Which Version Whose Responsibility? baru-baru ini.

Katanya, walaupun beliau dan keluarga sudah lali dengan serangan politik dan peribadi sejak suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Kabinet 14 tahun lalu, namun serangan yang mengaitkan sentimen agama amat keterlaluan.

“Dulu suami saya dikaitkan dengan kes sodomi, tetapi tidak berjaya, timbul pula sodomi II juga tidak berjaya. Lepas itu dikaitkan pula dengan Kristian dan pluralisme. Sekarang tiba giliran anak saya pula.

“Kepada anak-anak saya pesan, hadapilah segala ujian yang mendatang dengan tabah untuk dapatkan keredaan ALLAH.

"Jangan putus memohon dan berdoa kepada-NYA moga perjuangan kita diterima.”

Katanya lagi, beliau dan suami sering menasihatkan anak-anak agar jangan berputus asa dan sentiasa meminta petunjuk ALLAH jika berhadapan dengan situasi sukar.