Hasan Ali
Dr Hasan Mohamed Ali
SHAH ALAM – Pelantikan Karpal Singh sebagai Pengerusi DAP membuktikan Kongres Agung Tahunan DAP bersetuju dengan segala pandangan dan penentangan beliau terhadap Islam, khususnya dasar yang diperjuangkan Pas selama ini baik hudud mahupun negara Islam.

Menurut Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali, pelantikan semula itu merupakan satu tamparan hebat buat Pas meskipun Karpal berkeras menolak pelaksanaan negara Islam dan hudud jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat.


“Tan Seng Giaw yang dilihat lebih lunak dengan Islam tidak dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi DAP,” kata beliau dalam kenyataan yang dipetik dari akaun Facebooknya hari ini.


Mengulas lanjut pelantikan itu, Hasan mendakwa pimpinan Pas melihat sikap anti Islam Karpal itu sebagai pandangan peribadi beliau walhal pimpinan DAP yang lain dikatakan lebih terbuka kepada perjuangan parti Islam itu.


“Sudah terang lagi bersuluh. Seluruh ahli dan pendokong Pas harus bangun dari tidur dan menyedari bahawa DAP selamanya akan menentang apa juga hasrat Pas dan cita-cita ahlinya untuk melihat Islam ditegakkan di bumi Malaysia,” katanya.


Beliau mendakwa sekiranya DAP dibiarkan menjadi komponen terbesar dalam Pakatan Rakyat, sudah tentu nasib Islam dan orang Melayu akan terancam sekiranya mereka memerintah negara ini.