Bank Islam dakwa Azrul Azwar bocor dokumen
22 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Bank Islam Malaysia Berhad hari ini
membuat laporan polis kedua terhadap ketua pakar ekonominya yang
digantung tugas, Azrul Azwar Ahmad Tajudin kerana mendapat dan
membocorkan dokumen sulit bank.
Azrul Azwar menjadi perhatian baru-baru ekoran pandangannya bahawa
Pakatan Rakyat (PR) ada kemungkinan menang Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13).
Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, laporan polis yang pertama dibuat di Balai Polis Dang Wangi Jumaat lepas.
"Dalam proses siasatan kami tentang pelanggaran peraturan, bank
mengesan bukti pelanggaran lain yang mewajarkan kami membuat laporan
polis pada Jumaat.
"Penggantungan tugas adalah akibat tindakan Azrul melanggar dasar
dalaman bank, dengan butirannya telah disampaikan kepada beliau dalam
surat tunjuk sebab, yang diserahkan kepadanya pada 17 Januari dan
selepas siasatan selanjutnya, bank membuat laporan polis yang kedua hari
ini," kata kenyataan itu dipetik Bernama hari ini.
Sabtu lalu, Azrul Azwar menegaskan, beliau berpegang kepada analisis yang mencetuskan kontroversi bahawa PR ada kemungkinan boleh menang PRU13, sekali gus membentuk kerajaan pusat.
Azrul Azwar berkata, beliau mengetengahkan pandangannya pada Singapore
Regional Outlook Forum tempoh hari secara profesional, jujur dan tanpa
memihak mana-mana pihak.
"Saya berpegang kepada analisis saya dan pembentangan saya pada forum (dimaksudkan)," katanya.
Kata Azrul Azwar lagi, beliau menyediakan analisis berdasarkan tiga
senario iaitu kemenangan tipis Barisan Nasional (BN), kemenangan tipis
PR dan kemenangan besar bagi PR.
PRU13 dijangka akan diadakan Mac ini. Mandat kerajaan pusat berakhir penghujung April.
Sambil menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau ahli PKR, Azrul
Azwar berkata, tidak ada alasan munasabah untuk mengambil tindakan
disiplin ke atas dirinya.
Azrul yang telah bertindak sebagai penganalisis di Meridian Asset
Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development Finance
Bhd (MIDF) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), dilaporkan
telah berkata dalam sebuah forum awam di ibu negara yang "terdapat
kemungkinan tinggi" Pakatan Rakyat akan menang dalam PRU13.
Rabu lalu, pengurusan Bank Islam menegaskan, Azrul Azwar telah
digantung tugasnya kerana ia mempunyai "asas-asas yang wajar" untuk
mempercayai yang beliau telah melanggar dasar dalaman bank.
Perkara berhubung dengan pelanggaran dasar itu akan diketahui sebaik sahaja siasatan selesai, kata Bank Islam.
Sementara bank itu terus mengulangi yang pandangan politik dan komen
Azrul Azwar tidak seharusnya dikaitkan dengan bank berkenaan, ia terus
ingin menegaskan yang penggantungan beliau tidak ada kaitan dengan
tindakannya menyuarakan pandangan politik peribadi beliau.
0 orang berkata:
Post a Comment