Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yakin kenyataan pembangkang mengenai perubahan yang akan berlaku di Sabah tidak menggambarkan sokongan sebenar rakyat di peringkat bawahan.

Rosnah merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa rangka lawatannya ke Sabah, baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Bilik Mesyuarat Bangunan Umno di Kota Kinabalu petang semalam, Rosnah berkata, kenyataan tersebut tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Sebaliknya, negeri Sabah yang sebenarnya akan membuat kejutan dengan menambah lagi kekuatan BN selepas pilihanraya nanti, bidas Rosnah yang juga timbalan menteri kesihatan.

Ahad lalu, semasa berucap di Luyang, Kota Kinabalu, Anwar dilaporkan sebagai berkata, Sabah akan menerajui peranan penting menawan Putrajaya dalam PRU13 akan datang.