BN Perak tolak jangkaan Pakatan, dakwa pembangkang menang nasib PRU 2008
February 11, 2013
IPOH, 11 Feb — Barisan Nasional (BN) Perak menolak jangkaan
Pakatan Rakyat (PR) mereka boleh menang sekurang-kurangnya 40 kerusi
dari 59 kerusi dewan undangan negeri (Dun), sambil mengatakan kemenangan
pembangkang dalam Pilihan Raya 2008 cuma ‘menang nasib’.
Mereka mendakwa kemenangan tipis PR tidak akan berulang, terutamanya rakyat Perak kini mengetahui gaya pemerintahan PR.
“Situasi sekarang berbeza, (PR) dalam pilihan raya ke-12 (kemenangan
mereka) hanya kerana perpecahan BN,” kata Datuk Zainol Fadzi Paharudin
kepada The Malaysian Insider.
Ahli dewan undangan negeri Sungai Manik itu mendakwa BN begitu lemah
dalam pilihan raya lalu kerana ahlinya kecewa tidak dipilih bertanding
dan mengambil keputusan memboikot gabungan itu dan menyokong PR.
“Mereka lupa isu yang dimainkan pada 2008 sudah lapuk,” kata setiausaha BN Perak Datuk Ramly Zahari.
Menurut Adun Manong, rakyat kini boleh menilai cara negatif PR
memerintah negeri, seperti Pulau Pinang dan Selangor yang sering
bercanggah dengan kerajaan persekutuan.
Mereka juga mentertawakan kenyataan PR bahawa rakyat Perak marah
dengan krisis perlembagaan pada 2009 apabila tiga Adun Perak
mengisytiharkan diri mereka sebagai bebas, dan menubuhkan kerajaan baru
oleh BN.
“Krisis itu disebabkan manipulasi pembangkang, rakyat kini sudah dijelaskan, mereka faham mengapa itu berlaku,” kata Ramly.
Zainol menafikan pengundi di kawasannya masih marah dengan peristiwa
itu, mendakwa rakyat Perak marah kepada PR kerana membebankan mereka
dengan kontroversi.
“Mereka bermesyuarat di bawah pokok, negeri lain mentertawakan Perak, mereka (Adun PR) memalukan Perak,” katanya lagi.
Adun Chenderiang Datuk Dr Mah Hang Soon mendakwa krisis tersebut
berpunca dari masalah dalaman PR, yang menyebabkan tiga ahlinya melompat
ke BN.
“Saya minta maaf tapi jika saya adalah seperti mereka (mahu
menfapatkan ahli untuk lompat parti), sudah pasti saya malu dengan diri
sendiri,” kata Dr Mah yang menghentam PR dalam memanipulasi isu
tersebut.
Adun MCA itu yakin rakyat Perak kini sudah memahami situasi politik dan menghargai pemerintahan BN sepanjang empat tahun ini.
“Kini minda mereka sudah jelas,” kata Ramly.
Dr Mah mengatakan rakyat Perak, terutamanya masyarakat Cina kini menghargai BN, terutamanya dari segi pembangunan.
“Apa yang penting, kami bekerja keras untuk rakyat, dan mereka tahu,” kata ketua pemuda MCA Perak itu lagi.
“Jika rakyat membuka minda mereka, tidak ada satu kawasan pun di Perak untuk pembangkang,” kata Ramly lagi.
Dalam pilihan raya 2008, PR memenangi negeri Perak dengan majoriti
tipis, dengan 32 kerusi berbanding BN 27. Kemudian, seorang Adun kembali
melompat ke BN sementara tiga ahli PR menggelarkan diri mereka sebagai
bebas dan menyokong BN.
Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kemudian memohon
Sultan Perak Sultan Azlan Shah membubarkan dewan undangan negeri, namun
Sultan bertitah agar Nizar dan exconya meletak jawatan.
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Umno kemudiannya dipanggil
Sultan untuk menubuhkan kerajaan, dan mengangkat sumpah pada 6 Februari
2009.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pada Mei 2009
pengambilalihan kuasa itu sebagai “tidak sah”, tetapi keputusan tersebut
ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Februari 2010.
0 orang berkata:
Post a Comment