Kat Kelantan ada anak buah Abdullah bin Ubai ?
Ulama Kelantan dakwa undi PAS haram
February 13, 2013
KUALA
LUMPUR, 13 Feb — Beberapa orang ulama di Kelantan berkata mengundi PAS
dalam pilihan raya akan datang adalah haram kerana kerjasama parti
tersebut dengan DAP yang mahu kalimah ‘Allah’ dibenarkan dalam kitab
Injil Bahasa Melayu.
Menurut pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah, kegagalan PAS
mempertahankan Islam terutamanya penggunaan kalimah Allah bagi orang
bukan Islam tidak boleh dimaafkan sama sekali, malah demi politik
pemimpin PAS dilihat seolah-olah jahil agama.
“Membiarkan kalimah Allah digunakan seperti itu berdosa dalam hukum.
Maknanya kita mesti mempertahankan kalimah Allah dan akidah orang Islam.
“Dalam pilihan raya umum kita mahu perdana menteri dan timbalannya
orang Islam, maka disinilah kita berjihad, kita jangan undi PAS,” kata
Abdullah yang dipetik kenyataannya dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Abdullah, PAS perlu ditolak kerana menyokong kenyataan Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyatakan sokongan ke
atas hasrat DAP meskipun bertentangan dengan Majlis Syura Ulama PAS.
“Orang seperti Anwar ini kami orang pondok tak boleh terima kerana
terlalu nyata kepada kami satu daripada itu, adalah membenarkan kalimah
Allah digunakan untuk bukan Islam,” katanya lagi.
Ahli jawatankuasa Minda Pondok, Mohd Syamsul Mohd. Yusof al-Hafiz
berkata, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) kononnya atas tahaluf
siyasi sebenarnya atas nama semata-mata, sebaliknya apa yang berlaku
ialah PAS adalah kuda tunggangan DAP.
“Tahaluf siyasi PAS adalah haram, maka wajib kita menolak mereka atas
beberapa fakta, antaranya PAS bukan parti dominan, sebaliknya kerjasama
itu dibuat dengan DAP yang jelas menolak penubuhan kerajaan Islam.
“Tahaluf siyasi yang sebenar kita lihat jelas dalam Barisan Nasional,
dimana Umno adalah ‘imam’ manakala MIC dan MCA adalah ‘makmum’ yang
akan bersama-sama berjuang atas arahan imam,” kata Mohd Syamsul lagi.
Seorang lagi ulama di Kelantan, Mohd Zawawi Awang berkata, permintaan
DAP supaya kalimah Allah digunakan orang bukan Islam sama berlaku di
Indonesia apabila ramai masyarakat Islam negara itu menyokong pemikiran
sekular.
“Gerakan ini sebenarnya bermula berpuluh tahun lalu dan masuk ke
Malaysia secara senyap-senyap tanpa kita sedari,” kata Zawawi, yang juga
ahli jawatankuasa Ikatan Cendikiawan Islam Kelantan (ICIK).
Isu penggunaan kalimah Allah timbul kembali pada Disember lalu
apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga merupakan ketua
menteri Pulau Pinang mendesak kerajaan membenarkan kalimah digunakan
dalam bible versi Bahasa Melayu.
Pakatan pembangkang PAS, DAP dan PKR kemudiannya membuat ketetapan
bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama tetapi
dengan syarat tidak disalahgunakan.
Walau bagaimanapun, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah
adalah kalimah khusus Islam dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan
kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar
kalimah itu.
0 orang berkata:
Post a Comment