Biografi: Rosmah nafi kaitan dengan Altantuya
19 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin
Seri Rosmah Mansor menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan
wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tujuh tahun lalu.
Beliau berkata demikian dalam biografinya yang dilancarkan oleh bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.
Dalam biografi setebal 180 muka surat itu, Rosmah berkata, beliau
menghadiri sesi berbuka puasa bersama Persatuan Kebajikan Anak-Anak
Yatim Islam di Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2006 iaitu hari Altantuya
dibunuh.
"Saya berada di bangunan Tabung Haji dari petang hingga tengah malam.
Ada ramai saksi di sana," kata beliau di muka surat 140 dalam
biografinya yang dijual dengan harga RM150.
"Saya takut jika cicak jatuh ke atas saya. Saya juga takut gelap.
Kenapa pula saya nak panjat bukit di tempat pembunuhan?" kata Rosmah
dalam buku tersebut.
Dipetik The Malaysian Insider, Rosmah menambah, beliau "disoal siasat" selama enam jam di Bukit Aman sebagai respons dari "tuduhan" ke atasnya.
Biografi tersebut menceritakan perjalanan hidup Rosmah dari remaja hingga menjadi isteri Najib.
Apabila melancarkan biografi tersebut, Dr Mahathir berkata, buku
tersebut akan diedarkan ke sekolah-sekolah sebagai panduan kepada
generasi akan datang "100 atau 200 tahun dari sekarang".
"Saya selalu kata pemimpin kita harus menulis pengalaman dan
pemerhatian mereka. Ini adalah buku yang baik dan akan menjadi panduan
kepada generasi akan datang 100 hingga 200 tahun dari sekarang," katanya
lagi.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, penulisan biografi oleh pemimpin
harus digalakkan kerana ia boleh menjadi sebahagian penulisan sejarah
untuk merekodkan iklim keadaan yang berlaku pada ketika itu.
Beliau berkata, penulisan biografi juga penting sebagai rujukan masa
depan dan untuk memberi pandangan dari sudut seseorang pemimpin itu
mengenai sesuatu isu dan pengalaman.
Justeru, katanya, penulisan sedemikian juga dapat memberi peluang
kepada pembaca untuk mengetahui penjelasan dari sudut pandangan orang
yang menjadi sasar, dan kemudiannya membuat keputusan secara adil
mengenai sesuatu isu itu.
Dipetik Bernama, katanya, buku biografi Rosmah itu akan
sedikit sebanyak membantu mejelaskan tohmahan yang dibuat ke atas isteri
Perdana Menteri itu.
"Buku ini mampu memberi penjelasan kepada orang ramai tentang apa yang
berlaku dari sudut sasaran. Ia akan membolehkan pembaca membuat
penilaian sendiri," kata beliau.
Biografi kulit keras setebal 180 muka surat itu mempunyai 12 bab yang
mengisahkan perjalanan hidup beliau dari zaman kanak-kanak sehingga
sekarang.
Ia turut memuatkan jawapan Rosmah terhadap pelbagai persoalan yang disering dikaitkan dengan beliau.
Buku itu ditulis oleh penggiat teater dan novelis Siti Rohayah Attan
dan Noraini Abd Razak dan diterbitkan oleh Yayasan Amanah Perdana
Malaysia (YAPM).
Pengerusi YAPM Shamsulbahrin Ludin berkata buku itu sepatutnya
dipasarkan Januari lepas, tetapi ditangguh untuk memasukkan bahan serta
gambar tambahan terkini, termasuk lawatan beliau ke Gaza bersama Perdana
Menteri awal tahun ini.
Sementara itu, Rosmah memberitahu pemberita selepas sesi tandatangan
buku itu, bab kegemaran beliau dalam biografi itu ialah 'Pandangan
Kenalan' dan 'Menjawab Persoalan' kerana ia memberi peluang untuk beliau
menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Biografi itu dijual pada harga RM150 senaskhah dan setakat ini, 500,000
naskhah telah dijual dengan 50 peratus daripada hasil jualan didermakan
kepada Yayasan Kepimpinan Perdana.
0 orang berkata:
Post a Comment