Selasa, 26 Mac 2013
PRU13 : Tak lari gunung di kejar, pilihanraya akan sampai juga
Tidak usah kita membuat spekulasi
tentang pilihanraya lagi kerana ia akan tetap datang. Tidak lari gunung di
kejar, kata pepatah kita. Yang terpenting arus perubahan sudah tidak dapat di
hambat lagi oleh pihak yang cuba
menahan arus perubahan itu. Setiap hari arus itu semakin pantas berkembang.
Perubahan jelas akan berlaku jika di izin Tuhan.
Bagi saya pilihanraya akan di
adakan pada bulan Mei yang akan datang ini. Penggal kali ini adalah penggal
yang penuh dan terpanjang dalam sejarah Malaysia Merdeka. Penggal yang
terpendek ialah penggal 1978 sehingga 1982 yang hanya selama 3 tahun lapan
bulan.
Kita sedang melalui pengalaman
pertama kali di mana penggal pilihanraya yang di bawa sampai kepenghujung
penggalnya kerana pihak yang berkuasa amat takut menghadapi kekalahan.. Najib
tidak dapat mengukur sejauh mana rakyat menyokong beliau dan partinya walaupun
berbagai-bagai ‘hand-outs’ di berikan kepada rakyat sekarang ini.
Dengan penangguhan ini ia
memberikan keyakinan penuh kepada sebilangan besar rakyat yang UMNO sudah
sampai kepenghujung kuasa. Sikap dan perasaan takut UMNO itu merupakan
penyumbang besar terhadap kehilangan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Perasaan takut UMNO itu telah membuat rakyat juga dalam ketakutan untuk
memberikan sokongan kepada parti yang sedang mengalami ketakutan itu.
Keadaan ini seolah-olah telah di atur
untuk memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat pula untuk mengambil alih. Saya
sendiri merasakan yang sudah sampai waktunya menggilirkan pusaka mentadbir negara
kepada pihak ‘alternative’ dam melakukan perubahan itu bukannya satu tindakan
jenayah seperti yang cuba
di yakinkan oleh pihak UMNO dan BN.. Masa untuk membuktikan tuduhan dan lekehan
UMNO yang Pakatan tidak pandai untuk mentadbir negara itu salah, sudah hampir
sampai masanya.
Rakyat negara mahu merasakan
‘ambience’ politik yang berbeza kerana rakyat sudah terlalu lama menghadapi
tekanan dan dakyah di bina oleh UMNO itu. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang
membina pemikiran baru rakyat dan keluar dari ancaman dakyah busuk UMNO dan BN
itu.
Saya ingin memberikan pandangan
yang agak susah bagi mereka yang malas untuk berfikir. Pilihanraya kali ini
kita akan menghadapi arus perubahan rakyat. Mana-mana parti mesti mengikut kehendak
dan aspirasi rakyat yang sebenarnya. Rakyat bukan lagi terikut-ikut dengan
dakyah yang di lakukan oleh UMNO dan BN yang menggunakan alat propaganda mereka
seperti saluran TV dan akhbar Utusan dan sebagainya.
Rakyat berkehendakkan bukan
setakat untuk memberikan kemenangan kepada pihak ‘alternative’ tetapi rakyat
mahukan perubahan dalam segala-galanya. Kerosakan yang di lakukan oleh UMNO dan
BN sejak Dr Mahathir mentadbir negara terlalu besar dan sudah melepasi sempadan
kemampuan orang ramai untuk melakukan penyelesaiannya.
Kali ini ia bukan setakat
mendapat kemenangan bagi pihak ‘alternative’ tetapi aspirasi rakyat kemahuan
rakyat lebih besar dari mendapat kemenangan ke atas UMNO dan BN itu. Kini
rakyat memerlukan parti atau pihak yang benar-benar seorang ‘planner’,
teknokrat, dan berkemampuan untuk membina sebuah negara yang baru dengan
memulakan dasar dan perancangan baru yang selari dengan kehendak waktu dan
zamannya serta berteraskan kepada perlembagaan yang ada.
Apa yang boleh menyelesaikan
segala kekalutan negara ialah kegagalan pimpinan untuk membina ‘national unity’
yang betul dalam erti kata yang sebenarnya. Pimpinan hari ini tidak berusaha
untuk menyatukan rakyat kerana penyatuan rakyat itu akan memisahkan mereka dari
kuasa. Mereka sanggup untuk terus menyuburkan perasaan saling mencemburui dan
membenci di antara satu dengan yang lain kerana kepentingan politik sempit dan
haloba mereka.
Membersihkan siasah dan politik
serta kerajaan hari ini bukan setakat menghapuskan rasuah dan penyalah gunaan
kuasa sahaja. Membersihkan negara dari rasuah itu hanya ibarat menghilangkan sakit
seperti pesakit yang memakan ubat tahan sakit (pain killer) semata-mata. Memakan
‘pain killer’ itu hanya boleh menahan sakit tetapi penyakitnya tetap tidak
sembuh juga. Tugas yang lebih besar dari itu ialah untuk menyembuhkan penyakitnya,
iaitu penyakit yang menyebabkan kesakitan itu.
Negara perlukan sebuah negara
yang di tadbir dengan jujur dan mempunyai pelan jangka panjang yang mantap yang
boleh di guna pakai buat jangka masa yang panjang. Rakyat sudah tidak termakan
dan tertarik dengan ‘handouts’ yang ‘one off’ sahaja kerana itu bukanlah
pentadbiran sebuah kerajaan yang progresif dan membeli perasaan dan jiwa rakyat
tidak lagi laku di zaman moden dan yang penuh ‘competitive’ ini.
Rakyat tidak lagi mahu melihat segala
projek yang melibatkan rakyat di tentu dan di lakukan secara ‘adhoc’ dan tidak
membawa rakyat untuk bersama-sama menyokongnya. Itu sebabnya seperti yang di
sebutkan tadi pimpinan mestilah seorang ‘planner’ yang berpengalaman dan
memahami roh politik negara yang mencukupi dan bukan setakat di beri tempat
kerana mereka termasuk di dalam koridor mereka yang berkuasa.
Kita tidak lagi memerlukan
pengumuman-pengumuman yang berbentuk ‘adhoc’ kerana itu akan memudharatkan
tahap kewangan negara dan tidak mempunyai ‘prudence’ yang tinggi dalam sesuatu
keputusan yang di buat. Kita tidak mahu lagi setiap hari ada sahaja pengumuman
yang boleh di takrifkan sebagai membeli undi kerana ia membuatkan kos
menyelenggara kerajaan terlalu tinggi.
Rakyat sudah begitu jemu dengan
tindakan memaksa agensi-agensi kerajaan di paksa membawa manusia yang ramai
untuk menunggu kedatangan pemimpin-pemimpin besar negara kerana menunjukkan
sokongan politik sebagai yang di alami oleh pegawai-pegawai kerajaan sekarang
ini, lebih-lebih lagi semasa menunggu ketibaan pilihanraya.
Jika kerajaan sekarang ini
benar-benar kerajaan yang bertanggung jawab, kerajaan tidak akan menggunakan
tenaga dan waktu kerja pegawai kerajaan untuk menumpukan kepada usaha membawa
rakyat ramai ke perhimpunan politik pimpinan kerajaan. Tindakan ini
sesungguhnya merupakan satu tindakan yang tidak beretika dan amat rendah darjatnya
di sisi demokrasi dan moral sebuah kerajaan berdaulat.
Semuanya ini amat di gusari oleh
penjawat-pemjawat awam terutamanya mereka yang bertugas di Jabatan-Jabatan yang
melibatkan orang awam yang ramai. Mereka juga mempunyai perasaan bersalah
kerana terpaksa berbelanja wang rakyat yang banyak dengan menyewa ratusan bas
dan kenderaan yang lain untuk memaksa rakyat menghadiri program lawatan
pemimpin.
Kerajaan ini sesungguh nya ibarat
kereta tua yang sangat tinggi kos penyelenggaraannya dan kos ini di tanggung
oleh rakyat. Pihak yang mendapat sokongan ialah pihak yang menganjurkan program
yang di hadiri oleh puluhan ribu manusia yang datang dari jauh dan dekat tanpa
di bayar dan di berikan pengangkutan seperti yang di anjurkn oleh parti-parti
dalam Pakatan Rakyat.
Budaya ini nampaknya hanya boleh
dihapuskan jika rakyat beriltizam untuk melakukan perubahan kerana melakukan
perubahan terhadap budaya buruk ini merupakan satu perjuangan yang sangat
penting di lakukan.
Aspan Alias



0 orang berkata:
Post a Comment